Siaran kongsi dakwaan keliru tentang 'pemberian baucar Shopee RM400 untuk rakyat Malaysia'
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Khamis 20/04/2023 pukul 04:36
- Dikemas kini pada hari Khamis 20/04/2023 pukul 04:41
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Syafique SHUIB, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Cara Claim RM400 Kredit Shopee April 2023 Untuk Rakyat Malaysia," tulis siaran Facebook yang dikongsi pada halaman dengan lebih 185,000 pengikut.
Catatan yang bertarikh 31 Mac 2023 itu berkongsi gambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sedang tersenyum dengan teks: "Kredit Shopee RM400 untuk rakyat Malaysia".
Gambar itu juga memaparkan logo Shopee dan logo "Malaysia Madani" (pautan arkib).
Catatan itu memberikan pautan ke catatan blog tentang cara "claim" kredit beli-belah bernilai RM400.
Catatan serupa diedarkan di Facebook di sini, di sini dan di sini; dan di Telegram di sini dan di sini.
Tuntutan itu juga muncul pada artikel blog -- seperti di sini, di sini dan di sini -- dengan beberapa pautan dikongsi dalam sejumlah catatan Facebook.
Bagaimanapun, dakwaan itu mengelirukan.
'Berita palsu'
Jabatan Perdana Menteri telah menafikan dakwaan itu dalam kenyataan yang disiarkan di halaman Facebook mereka pada 5 April 2023.
"Berita tersebut adalah PALSU," kata kenyataan itu. "Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu."
Turut disertakan ialah gambar yang digunakan dalam siaran mengelirukan, dengan cop merah yang berbunyi: "PALSU".
Shopee turut berkongsi siaran Facebook daripada Jabatan Perdana Menteri pada hari berikutnya, dan menafikan dakwaan akan memberikan baucar RM400 kepada warga Malaysia (pautan arkib).
"Poster yang menyatakan bahawa Shopee akan mengkreditkan RM400 untuk warga Malaysia ini adalah palsu dan tidak tepat. Kami menyarankan agar para pengguna untuk hanya mengongsikan informasi daripada sumber yang sah sahaja," kata Shopee dalam siaran itu.
Walaupun tajuk artikel blog clickbait yang mengelirukan mencadangkan terdapat pemberian baucar Shopee kepada rakyat Malaysia, isi artikel tersebut menyebut kempen khas yang dipanggil "Jimat Air 4.0".
Kempen itu adalah kerjasama antara Shopee dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mempromosikan peralatan rumah yang cekap air.
Menurut laman web Shopee, kempen itu memberi pengguna rebat sehingga RM400 apabila mereka membeli peralatan rumah terpilih: RM 200 untuk mesin basuh, RM150 untuk peralatan tandas dan jamban, dan sehingga RM50 pembelian kepala paip air atau kepala paip pancuran (pautan arkib).
SPAN menyiarkan perasmian kempen itu di halaman Facebook mereka pada 12 Mac 2023 (pautan arkib).
"Pelaksanaan Program Jimat Air 4.0 pada kali ini melibatkan nilai rebat berjumlah RM100,000 yang ditawarkan melalui platform e-dagang Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd (SHOPEE)," tulis catatan SPAN itu.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami