Pakar tolak dakwaan palsu bahawa 'Malaysia kini berada dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik'
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 30/05/2023 pukul 08:31
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Arfa YUNUS, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Catatan itu dimuat naikkan di sini pada 4 Mei 2023 di laman Facebook "I Love Borneo", yang mempunyai lebih daripada 100,000 pengikut.
Catatan itu dikongsikan bersama imej yang menunjukkan peta dan teks bertindih yang berbunyi: "Malaysia Kini Dalam Lingkaran Api Pasifik / Beberapa Kawasan Dikenal Pasti Akan Alami Gempa Bumi."
Kapsyen catatan itu menulis: "Menurut pakar, beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sudah dikenal pasti boleh mengalami gempa bumi sehingga 7 pada skala Richter."
Ia turut mengepilkan pautan artikel di laman web I Love Borneo yang membuat dakwaan sama.
Artikel itu menyatakan dakwaan tersebut dibuat oleh Profesor Ir Dr Azlan berdasarkan penyelidikannya selama 25 tahun.
"Beberapa tempat telah dikenal pasti untuk bersedia khususnya Kuala Lumpur, Kuala Pilah di Negeri Sembilan, Manjung dan Temenggor di Perak, dan Kenyir di Terengganu," tulis artikel itu.
Ia turut mendakwa beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak terdedah kepada gempa bumi "sehingga 7 pada skala Richter".
Dakwaan itu turut dikongsi oleh laman web lain di sini.
Pautan kedua artikel itu dikongsi di beberapa catatan Facebook, seperti ini, ini dan ini.
"Lingkaran Api" Pasifik merujuk kepada kawasan gempa bumi dan aktiviti gunung berapi yang merentasi Asia Tenggara dan Lembangan Pasifik.
Namun, pakar geologi menolak dakwaan itu dan mengatakan bahawa Malaysia masih terletak jauh dari Lingkaran Api.
'Agak jauh'
Dr Nor Shahidah Mohd Nazer, ahli geologi di Universiti Kebangsaan Malaysia, memberitahu AFP bahawa walaupun rakyat Malaysia merasakan gegaran dari semasa ke semasa, ini tidak bermakna negara terletak dalam Lingkaran Api (pautan arkib).
"Malaysia tidak berada dalam Lingkaran Api Pasifik, malah kita berada agak jauh dari kawasan itu," katanya pada 18 Mei 2023.
Nor Shahidah menjelaskan bahawa terdapat beberapa kawasan dalam negara yang mengalami gegaran kerana ia berhampiran dengan Indonesia yang berada dalam Lingkaran Api dan aktif secara seismik.
Walaupun terdapat kemungkinan Malaysia boleh bergerak ke Lingkaran Api, proses geologi "tidak berlaku dalam sekelip mata" dan kejadian ini boleh mengambil masa lebih daripada satu juta tahun, tambahnya.
Profesor Chris Elders, ahli geologi di Universiti Curtin di Australia, turut menjelaskan bahawa Malaysia "tidak terletak di Lingkaran Api" kerana ia agak jauh dari kawasan aktif seismologi yang membentuk gunung berapi dan menyebabkan gempa bumi (pautan arkib).
Elders berkata Lingkaran Api Pasifik termasuk pantai barat Amerika Utara dan Selatan, Kepulauan Aleutian di selatan Alaska, Semenanjung Kamchatka di timur Rusia, Jepun, Filipina, bahagian utara Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, bahagian timur Kepulauan Pasifik seperti Tonga dan Fiji, serta New Zealand.
Beliau juga berkata ia akan mengambil masa "jutaan hingga puluhan juta tahun" untuk Malaysia berada dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik.
“Oleh itu, kita tidak akan bangun pada suatu pagi dan tiba-tiba mendapati Malaysia sudah berada dalam Lingkaran Api Pasifik, walaupun itu tidak bermakna kita tidak akan merasakan gegaran gempa bumi atau aktiviti yang lebih kuat dari mata air panas dan gunung api lumpur dari masa ke masa," kata Elders pada 25 Mei 2023.
Beliau menambah: "Gempa bumi boleh dirasai lebih jauh dari sempadan plat, dan walaupun Malaysia mengalami gempa bumi, ia tidak sekerap atau sebesar magnitud seperti yang berlaku di negara yang berjiran dengan Lautan Pasifik atau Hindi."
Dakwaan luar konteks
Carian kata kunci mendapati kenyataan Profesor Ir Dr Azlan Adnan, ketua penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi di Universiti Teknologi Malaysia, diterbitkan dalam artikel Harian Metro pada 2 Mei 2023, dengan tajuk: "5 kawasan berisiko" (pautan arkib ini dan ini).
"Negara perlu bersiap sedia dengan risiko gempa bumi kerana Malaysia bukan lagi berada di luar 'Lingkaran Api Pasifik', sebaliknya sudah berada dalam lingkaran api terbabit yang menjadikan negara terdedah dengan risiko gempa," kata Azlan, seperti dipetik dalam laporan itu.
Bagaimanapun, catatan palsu itu tidak memetik artikel Harian Metro secara penuh, yang sebenarnya mengatakan bukti saintifik semasa menunjukkan Malaysia berada ratusan kilometer dari Lingkaran Api Pasifik.
Seorang lagi ahli geologi yang dipetik dalam laporan itu, Dr Muhammad Hatta Roselee dari Universiti Malaya, berkata bahawa kebanyakan gegaran yang dirasai di Malaysia adalah daripada gegaran susulan gempa bumi di negara jiran (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami