Imej 'Elon Musk bersama isteri robot' ialah hasil kejuruteraan dengan kecerdasan buatan

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 13/06/2023 pukul 08:58
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: Erin FLANAGAN, AFP Malaysia
Pelbagai catatan media sosial berkongsi dakwaan tak benar bahawa beberapa imej menunjukkan mogul teknologi Elon Musk dengan "isteri robot" yang dijadualkan untuk keluaran komersil pada September 2023. Gambar-gambar itu sebenarnya palsu. Artis yang membuat dan memuat naik foto ini di Facebook dan Instagram dengan jelas mengatakan bahawa semua imej ini adalah hasil kejuruteraan dengan kecerdasan buatan (AI).

"Elon Musk dan syarikatnya sedang berada di peringkat akhir dalam pengeluaran Isteri Robot. Pengeluaran Isteri Robot dijangka akan dilancarkan pada September 2023. Mereka akan sampai di Afrika menjelang November 2023," tulis catatan Facebook ini, yang dikongsi pada 19 Mei 2023.

Siaran itu memuat naikkan tiga gambar yang menunjukkan Elon Musk memeluk, menari dan mencium beberapa "robot wanita" yang berbeza, yang kesemuanya mempunyai wajah seperti manusia, tetapi anggota badan mereka kelihatan seperti campuran ciri robotik dan manusia.

Catatan itu yang telah dikongsi lebih daripada seribu kali.

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 12 Jun 2023

Gambar-gambar itu telah dikongsikan lebih daripada 330 kali selepas muncul dengan tuntutan yang serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Ketiga-tiga gambar itu dan gambar lain Musk dengan robot wanita juga tersebar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia, bahasa Mandarin dan bahasa Burma.

Tetapi dakwaan itu adalah palsu.

Hasil rekaan AI

Carian imej terbaik menemui foto tersebut pertama kali dimuat naik pada 3 Mei 2023 pada halaman yang dipanggil "AI Art Universe" (pautan arkib).

Halaman itu menggambarkan ia sebagai tempat untuk "mereka yang berkongsi minat untuk menggunakan AI dalam kerja anda".

Berikut ialah tangkapan skrin siaran asal di Facebook:

Image
Tangkapan skrin siaran asal, diambil pada 24 Mei 2023

Pemuat naik ialah pengguna Facebook dengan akaun bernama Guerrero Art, yang menggambarkan dirinya sebagai "digital creator".

Dalam kumpulan AI Art Universe, ia kerap menyiarkan imej AI lain, termasuk imej Musk berjabat tangan dengan robot dan "kereta terbang Tesla" pada 21 Mei 2023 (pautan arkib).

Disertakan dalam foto tersebut adalah tera air akaun media sosialnya iaitu Guerro Art di Facebook dan @art_is_2_inspire di Instagram.

AFP menyemak akaun Instagram dan menemui tiga imej Musk dengan robot wanita yang dimuat naik pada 4 Mei 2023 (pautan arkib).

Dalam ruangan komen posting Instagram, seorang netizen bertanya alat apa yang digunakan untuk membuat imej ini, dan pemilik akaun menjawab: "midjourney".

Berikut ialah tangkapan skrin siaran asal di Instagram dan komen yang berkaitan dengan ditandakan oleh AFP:

Image
Tangkapan skrin siaran asal dan ulasan yang diserlahkan, diambil pada 24 Mei 2023

Midjourney ialah alat AI yang digunakan untuk menjana imej berdasarkan arahan teks yang dimasukkan oleh pengguna.

AI, atau artifical intelligence, merujuk kepada kecerdasan buatan, yang boleh digunakan untuk mencipta imej yang realistik.

Kapsyen untuk menyiarkan gambar robot wanita dalam kumpulan AI Art Universe termasuk arahan teks yang digunakan untuk mencipta imej. Contohnya: "Prompt : Elon Musk dancing with hyper feminine humanoid robot, the photo should be a full-length portrait .. " dan "Prompt : Elon Musk kissing hyper feminine humanoid robot, the photo should be a full-length portrait ... "

Di samping itu, apabila imej diperbesarkan, kita dapat melihat tanda cacat yang sering ditemui dalam imej AI.

Sebagai contoh, tangan kanan seorang "isteri robot" kelihatan ganjil kerana jari manisnya kelihatan terbelah di bahagian atas.

Berikut ialah tangkapan skrin imej AI, dengan jari ganjil ditandakan oleh AFP:

Image
Tangkapan skrin imej yang dijana AI dan tangan yang diserlahkan, diambil pada 24 Mei 2023

Pemilik akaun tersebut ialah seorang penduduk Chicago bernama Pablo Xavier, lapor akhbar Chicago Tribune dan majalah Fast Company (pautan arkib di sini dan sini).

Xavier juga mencipta imej AI "Pope Balenciaga", iaitu imej Pope Francis memakai jaket puffer putih yang menjadi viral. Gambar Pope Balenciaga juga telah dimuat naik ke akaun Instagramnya.

Berikut ialah tangkapan skrin akaun Instagram @art_is_2_inspire, ihsan Xavier:

Image
Tangkapan skrin akaun Instagram @art_is_2_inspire, diambil pada 1 Jun 2023

Imej AI sering disalah anggap sebagai imej sebenar, seperti imej bekas presiden AS Donald Trump ditangkap dan raksasa Neanderthal.

AFP menerangkan cara mengenali imej AI di sini.

Tesla Bot

Musk memiliki syarikat teknologi Tesla yang sedang mengusahakan robot humanoid yang "mampu melakukan tugasan yang tidak selamat, berulang atau membosankan," menurut laman web mereka (pautan arkib).

Syarikat teknologi itu mengumumkan pada 16 Mei 2023 bahawa "Tesla Bot" kini boleh berjalan perlahan dan mengambil objek (pautan arkib).

Tetapi tiada apa-apa di laman web mereka tentang mencipta "isteri robot," dan robot yang digambarkan dalam bahan promosi Tesla tidak mempunyai sebarang ciri muka manusia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami