Konfederasi sukan Sweden tolak permohonan untuk menjadikan seks sebagai sukan

Dakwaan palsu mengenai Konfederasi Sukan Kebangsaan Sweden yang telah mengisytiharkan seks sebagai sukan nasional menjadi topik tular dalam pelbagai siaran media sosial dan laporan berita di pelbagai negara, termasuk Malaysia, pada Jun 2023. Konfederasi Sukan Kebangsaan Sweden sebenarnya menolak permohonan rasmi pengiktirafan seks sebagai sukan. Naratif itu datang beberapa hari sebelum "pertandingan seks" yang dianjurkan oleh Persekutuan Seks Sweden (SSF) dijadualkan bermula, tetapi acara itu tidak disokong oleh badan sukan kebangsaan negara Scandinavia itu.

"Pelik2 dah sekarang ne...," tulis ciapan bertarikh 4 Jun 2023 ini.

Catatan Twitter itu juga memuat naikkan sebuah tangkapan skrin tajuk berita berbahasa Inggeris. Diterjemahkan ke bahasa Melayu, tajuk itu berbunyi: "Sweden mengisytiharkan seks sebagai sukan, Kejohanan bermula minggu hadapan."

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 20 Jun 2023

Tuntutan serupa telah dikongsi lebih daripada 200 kali selepas muncul di Facebook di sini dan di sini.

Dakwaan itu beredar pula di blog dan laman web dari Indonesia, India, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Thailand, Afrika Selatan, Nigeria dan Colombia.

Pertandingan tidak rasmi

Khabar angin itu berpunca daripada kumpulan yang ditubuhkan pada 2016 bernama Persekutuan Seks Sweden, atau Swedish Sex Federation (SSF), yang memperkenalkan dirinya sebagai "satu-satunya organisasi di dunia yang mengamalkan seks sebagai sukan" (pautan arkib).

Di laman web, mereka berkongsi yang mereka "adalah yang pertama di dunia yang menganjurkan Kejohanan Seks Dunia".

Menurut laporan Sweden di sini dan di sini, pemilik kelab telanjang Sweden Dragan Bratic telah bekerjasama dengan SSF untuk mengemukakan permohonan menjadi ahli kepada Riksidrottsforbundets (RF), atau Konfederasi Sukan Kebangsaan Sweden (pautan arkib ini dan ini).

Pada 26 April 2023, RF keluarkan kenyataan, di mana mereka mengakui permohonan yang dibuat pada awal tahun itu tetapi mengatakan ia tidak lengkap dan ditolak "tanpa pemeriksaan" (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin kenyataan RF bertarikh 26 April 2023, diterjemahkan ke bahasa Inggeris

Dakwaan itu menjadi tular beberapa hari sebelum acara European Championship in Sex (Kejohanan Seks Eropah), yang dianjurkan oleh SSF, dijadualkan bermula pada 8 Jun 2023.

Image
Tangkapan skrin pop timbul halaman utama

Walau bagaimanapun, ciapan dari akaun hos acara mengumumkan penangguhan satu hari kerana "masalah teknikal" dengan "penggodam".

Pada 11 Jun 2023, pertandingan seolah sedang dijalankan, dengan ciapan yang meminta undian.

Namun, dakwaan bahawa sukan Sweden membenarkan acara itu dan meluluskan permohonan untuk menjadikan seks sebagai sukan rasmi di negara itu adalah palsu.

'Karut'

Pada bulan Januari 2023, pengerusi RF Björn Eriksson memberitahu stesen televisyen Sweden TV4 bahawa badan sukan itu telah menerima permohonan daripada SSF untuk status bertauliah tetapi ia akan ditolak sebulat suara.

"Saya hanya berharap perkara karut ini hilang," tambah Eriksson pada masa itu.

Image
Tangkapan layar temu bual ketua RF Bjorn Eriksson di TV4, diterjemahkan ke bahasa Inggeris

Beberapa bulan kemudian, kedudukan RF kekal tidak berubah.

"Sekarang ini, maklumat palsu disebarkan dalam beberapa media antarabangsa mengenai Sweden dan sukan Sweden -- ini dinafikan sekeras-kerasnya," Cecilia Lunell, pengurus interest policy RF, memberitahu AFP pada 9 Jun 2023.

"Konfederasi Sukan Sweden telah menarik perhatian kepada fakta bahawa di beberapa bahagian media antarabangsa, berita sedang tersebar bahawa persekutuan seks telah menjadi ahli Konfederasi Sukan Sweden," tambahnya.

"Ia adalah maklumat palsu dengan tujuan mencemarkan sukan Sweden dan Sweden. Tidak ada persekutuan seks yang menjadi ahli Konfederasi Sukan Sweden."

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami