Dakwaan palsu vaksin Covid-19 mengandungi graphene petik laporan makmal 'mengarut'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Isnin 26/06/2023 pukul 06:48
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: Arfa YUNUS, AFP Malaysia
Pelbagai catatan media sosial berkongsi laporan makmal dengan dakwaan palsu bahawa vaksin Covid-19 buatan Pfizer, AstraZeneca dan Moderna mengandungi graphene. Ahli saintis telah berulang kali menyatakan bahawa ketiga-tiga vaksin Covid-19 itu tidak menggunakan graphene. Ketika dihubungi AFP, seorang pakar virologi menyifatkan kandungan laporan makmal itu sebagai "mengarut".

"Laporan penyiasatan ujian makmal ke atas kandungan vaksin di UK oleh makmal bebas," tulis sebahagian kapsyen catatan yang dimuat naikkan di Facebook di sini pada 12 Jun 2023.

"Laporan ini adalah hasil kerjasama antara EbMCsquared CiC dan UNIT dalam usaha utk mengenal pasti kandungan yang tidak diisytiharkan bagi vaksin yg sedang diberikan kepada orang awam di UK, menyebabkan jumlah yang tinggi menerima kesan sampingan dan kematian. Jenis vaksin yg terlibat dalam penyiasatan ini adalah Pfizer, AstraZeneca dan Moderna.

"Makmal bebas di UK telah menganalisis sampel menggunakan RAMAN spectroscopy dan mendapati kehadiran GRAPHENE."

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 19 Jun 2023

Graphene, bahan yang dianugerahkan Hadiah Nobel dan mempunyai potensi besar dalam bidang perubatan, telah menjadi topik maklumat palsu oleh anti-vaksin yang mendakwa ia boleh digunakan untuk "memagnetkan" dan "mengawal" manusia.

Catatan Facebook itu juga berkongsi pautan ke dokumen penuh yang mendakwa laporan makmal itu adalah hasil "kerjasama di antara EbMCsquared CiC dan UNIT".

Terdapat juga dalam dokumen tersebut logo sebuah kumpulan yang menggelarkan dirinya sebagai "Global Humanitarian Crisis Prevention and Response Unit" (Unit Pencegahan dan Tindak Balas Krisis Kemanusiaan Global).

Ia turut mengatakan sistem pemantauan vaksin di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) semuanya telah menunjukkan "kadar peningkatan kematian dan kemudaratan yang ketara dan tinggi" apabila vaksin Covid dilancarkan.

Catatan serupa turut muncul di Facebook di sini, di sini dan di sini seawal bulan Februari 2022.

Dakwaan itu juga terdapat dalam bahasa Inggeris dan bahasa Perancis.

'Mengarut'

Bagaimanapun, EbMCsquared CiC, UNIT dan Global Humanitarian Crisis Prevention and Response Unit, yang konon ialah entiti di belakang laporan itu, tidak mempunyai jejak digital, termasuk laman web atau akaun media sosial.

Ian Jones, profesor virologi di Universiti Reading, di United Kingdom, menyifatkan laporan itu sebagai "gobbledygook" atau "mengarut" (pautan arkib).

"Laporan itu menggunakan perkataan bombastik supaya ianya berbunyi seperti mencemaskan tetapi sebenarnya tidak mengandungi maklumat saintifik yang tepat," katanya kepada AFP pada 20 Jun 2023.

Selain itu, data sebenar daripada Agensi Pengawalseliaan Ubat dan Produk Penjagaan Kesihatan (MHRA) UK, Sistem Pelaporan Kejadian Advers Vaksin (VAERS) AS dan pangkalan data EudraVigilance EU bercanggah dengan dakwaan keselamatan vaksin yang dibangkitkan oleh dokumen tersebut.

"Vaksin adalah cara paling berkesan untuk mencegah penyakit berjangkit dan ia menyelamatkan berjuta-juta nyawa di seluruh dunia. Seperti semua ubat, vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan. Kebanyakannya adalah kesan ringan dan jangka pendek, dan tidak semua orang mengalaminya," menurut MHRA (pautan arkib).

"Laporan kepada VAERS tidak bermakna bahawa vaksin menyebabkan kejadian buruk," kata halaman web VAERS (pautan arkib). Sistem itu menerima semua laporan kejadian buruk yang berlaku selepas vaksinasi tanpa mengambil kira sama ada suntikan itu menyebabkan apa-apa berlaku.

Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA), yang mengendalikan sistem EudraVigilance, secara berasingan menyatakan: "Pengawal selia mempunyai jumlah data yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk mengesahkan keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19. Seperti semua ubat, vaksin COVID-19 mempunyai kesan sampingan, tetapi faedahnya jauh lebih banyak dari segi perlindungan terhadap penyakit berbahaya dan kematian" (pautan arkib).

Dakwaan graphene dikitar semula

Pakar perubatan telah berulang kali menyatakan bahawa vaksin Covid yang diluluskan tidak mengandungi graphene atau derivatifnya iaitu graphene oksida.

"Memandangkan isu ini telah dikongsi berulang kali sejak beberapa tahun lalu, sudah ada percubaan untuk memberikan maklumat yang tepat oleh beberapa ahli akademik serta Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat" atau FDA, kata Dr Thira Woratanarat, seorang profesor bersekutu perubatan pencegahan di Universiti Chulalongkorn, di Thailand, kepada AFP pada 19 Jun 2023 (pautan arkib).

Alessandro Faia, jurucakap Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA), sebelum ini memberitahu AFP pada 29 Mac 2023 bahawa mereka "belum pernah melihat sebarang bukti yang boleh dipercayai daripada penilaiannya atau ujian berterusan bahawa mana-mana vaksin Covid-19 tercemar dengan graphene oksida, yang bukan eksipien yang diiktiraf dalam ubat-ubatan".

Maklumat lengkap bahan vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Moderna yang tersedia secara umum tidak menyenaraikan graphene sebagai bahan yang digunakan (pautan arkib ini, ini dan ini).

AFP sebelum ini telah menafikan dakwaan serupa di sini, sini, sini, sini dan sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami