Catatan keliru dakwa 'gereja di Boston disambar petir dan terbakar semasa perkahwinan sejenis'

Sebuah video telah ditonton ribuan kali selepas tular dengan dakwaan keliru bahawa ia menunjukkan sebuah gereja di Amerika Syarikat dipanah petir dan terbakar semasa perkahwinan sejenis berlangsung di dalam gereja. Video itu sememangnya menunjukkan bangunan gereja terbakar, dan anggota bomba mengesyaki ia disebabkan oleh kilat. Walau bagaimanapun, pada masa itu tiada sesiapa di dalam gereja.

Video bangunan yang dijilat api merah telah dimuat naik dalam siaran Facebook ini pada 13 Jun 2023.

Catatan tersebut berbunyi: "Pada 3 Jun 2023,Gereja Boston Yang Terkenal Dengan LGBTQ.Kebakaran Berlaku akibat Kilat Yang Menyambar Gereja Tersebut Semasa Hendak Melakukan Perkahwinan Homoseksual Antara Kaum Gay."

Logo "Boston 25 News" terlihat di sudut kanan bawah video.

Video yang berdurasi 23 saat itu telah ditonton lebih daripada 3,100 kali.

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 28 Jun 2023

Siaran itu tersebar bertepatan dengan Pride Month, perayaan komuniti LGBTQ yang berlangsung pada bulan Jun di Amerika Syarikat dan banyak negara lain (pautan arkib).

Video itu telah ditonton lebih daripada 730 kali selepas dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini.

Klip itu dikongsi dengan penceritaan serupa dalam bahasa Inggeris oleh pengguna media sosial di Nigeria, Afrika Selatan, Sri Lanka dan Singapura. Ia turut dikongsi dalam bahasa Indonesia.

Tetapi dakwaan itu mengelirukan.

Menggunakan alat pengesahan video InVID-WeVerify, AFP mendapati video itu sebelum ini disiarkan di Twitter oleh stesen televisyen Boston 25 News pada 2 Jun 2023 (pautan arkib).

"Video baharu menunjukkan beberapa saat menara gereja berusia berabad-abad runtuh pada hari Jumaat," tulis ciapan itu.

Catatan Twitter itu turut memasukkan pautan kepada laporan berita Boston 25 News bertajuk: "Sambaran petir disyaki menyebabkan kebakaran teruk di gereja bersejarah di Spencer" (pautan arkib).

Menurut laporan berita, gereja yang terbakar itu dipanggil First Congregational Church of Spencer.

Spencer, sebuah bandar kecil di negeri Massachusetts, di Amerika Syarikat, terletak kira-kira 90 km dari bandar Boston.

First Congregational Church of Spencer menyokong komuniti LGBTQ, seperti yang dilihat dalam siaran perayaan Pride Month di halaman Facebook mereka di sini dan di sini (pautan arkib ini dan ini).

Bagaimanapun, apabila kebakaran bangunan gereja dengan jemaah seramai 30 orang itu berlaku, tiada perkahwinan sejenis ketika itu.

Seperti yang dilaporkan oleh Boston 25 News: "Pastor Bruce MacLeod, pastor interim First Congregational Church of Spencer, berkata bangunan gereja itu dibina pada tahun 1800-an dan diperbuat sepenuhnya daripada kayu, itulah sebabnya ia terbakar dengan cepat.

"Tiada sesiapa di dalam ketika kebakaran bermula."

Ini bukan kali pertama gereja bersejarah itu terbakar. Gereja itu, yang diasaskan pada 1753, sebelum ini musnah akibat kebakaran pada 1862 tetapi kemudiannya dibina semula.

Agensi berita Associated Press melaporkan bahawa kebakaran bermula semasa ribut petir di kawasan sekitar dan anggota bomba mengesyaki kebakaran petang itu berpunca daripada sambaran petir (pautan arkib).

Menurut East Kentucky University, kilat adalah salah satu punca biasa kebakaran rumah (pautan arkib).

"Kebakaran kilat adalah yang paling biasa terjadi pada bulan-bulan musim panas apabila ribut petir petang dan malam hari berada di kemuncaknya," kata catatan blog di laman web universiti tersebut.

Kilat menyebabkan sekurang-kurangnya 7,467 insiden kebakaran di Amerika Syarikat pada 2022, menurut data National Interagency Fire Center (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami