Video menunjukkan mesin pembuat beras difortifikasi, bukan 'beras plastik'

Pelbagai catatan media sosial telah berkongsi sebuah video dengan dakwaan palsu bahawa video itu menunjukkan mesin pembuat "beras plastik" di sebuah kilang di China. Video itu sebenarnya memaparkan iklan mesin beras difortifikasi, atau beras dengan tambahan khasiat, di China.

Video yang menunjukkan beberapa orang pria menggunakan mesin yang mengeluarkan apa yang kelihatan seperti biji padi dikongsi di TikTok di sini pada 30 Mac 2023.

"#Industri beras tiruan awas beras import dari China," tulis kapsyen video itu.

Teks pelekat pada video berbunyi: "Nasi Plastic / kita semua ditipu industri makanan / orang ramai jangan panik / syarikat ini membuat beras / tiruan bagi menjimatkan kos / sara hidup yang tinggi."

Video berdurasi 41 saat itu telah ditonton lebih daripada 2.6 juta kali.

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 6 Julai 2023



Video itu telah ditonton lebih daripada 4,500 kali selepas turut dikongsi dengan dakwaan serupa tentang "kilang beras plastik" di TikTok di sini serta di Facebook di sini dan di sini.

Catatan serupa turut dikongsi dalam bahasa Tagalog dan bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu palsu.

'Tambahan khasiat pada nasi'

Carian imej terbalik dengan menggunakan bingkai utama video di Google menemukan video yang lebih panjang, dimuat naikkan di YouTube pada 13 Ogos 2021 (pautan arkib).

Video itu diterbitkan oleh SunPring Extrusion, sebuah syarikat di China yang mengeluarkan mesin makanan (pautan arkib).

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu, video tersebut bertajuk: "Penyemperit beras artifisial mesin pembuat beras berkhasiat mesin beras difortifikasi FRK."

FRK adalah singkatan dari Fortified Rice Kernels, atau biji beras yang difortifikasi (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video di catatan palsu (kiri) dan video asli di YouTube (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video di catatan palsu (kiri) dan video asli di YouTube (kanan)

"Beras artifisial" ialah beras yang diperbuat daripada beras pecah atau bahan lain seperti kentang, singkong dan lainnya menyerupai beras biasa, dan kemudian difortifikasi, atau ditambah khasiat dengan vitamin dan mineral (pautan arkib ini, ini dan ini).

Menurut Program Makanan Sedunia (WFP) dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beras difortifikasi meningkatkan jumlah vitamin dan mineral penting dalam makanan (pautan arkib).

WFP berkata proses tersebut membantu "meningkatkan kualiti nutrisi bekalan makanan dan melawan kekurangan mikronutrien dalam golongan miskin". Ini telah dilakukan di pelbagai negara, seperti China dan India.

Biji beras yang difortifikasi diperbuat daripada "tepung beras yang tidak difortifikasi, campuran vitamin dan mineral, air dan wap" menggunakan mesin penyemperit, tulis WFP (pautan arkib).

Jurucakap SunPring Extrusion memberitahu AFP pada 20 Jun 2023 bahawa dakwaan yang dikongsikan di media sosial adalah palsu.

Katanya, video itu menunjukkan "twin screw food extruder", atau "penyemperit makanan skru berkembar", dan mesin itu membuat beras difortifikasi -- bukan beras plastik -- dengan menggunakan tepung beras pecah sebagai bahan mentah.

Laman web SunPring Extrusion juga menjelaskan tentang mesin ini dan beras artifisial atau beras difortifikasi (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami