Video kesan visual tidak menunjukkan 'pesawat yang terhempas di Selangor pada Ogos 2023'

Sebuah video telah ditonton puluhan ribu kali dalam siaran TikTok yang secara palsu mendakwa bahawa ia menunjukkan kapal terbang yang terhempas di Elmina, Selangor, pada Ogos 2023 dan mengorbankan 10 orang. Video itu disiarkan dalam talian oleh artis kesan visual Indonesia beberapa bulan sebelum pesawat terhempas. Artis itu memberitahu AFP bahawa dia membuat klip itu dengan perisian kesan visual.

Sebuah klip -- yang menunjukkan sebuah pesawat terbakar, meninggalkan kesan asap di belakangnya ketika ia terbang rendah di atas beberapa rumah -- telah ditonton lebih 24,000 kali selepas dikongsi di TikTok pada 18 Ogos 2023.

"Allahu Akhbar Detik2 sblm Kapal terbang Terhempas," tulis kapsyen catatan itu.

"Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, teks pelekat pada video itu bertulis: "Pesawat N28JV Dari Langkawi ke Subang Terhempas di Kawasan Elmina / Pengendali Jet Valet Sdn Bhd".

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 25 Ogos 2023

Klip itu tersebar sehari selepas sebuah pesawat ringan terhempas ke jalan empat lorong di Elmina, Selangor, dan mengorbankan lapan orang di dalam pesawat dan dua pemandu di darat (pautan arkib).

Pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV, milik Jet Valet Sdn Bhd, berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Video telah ditonton lebih daripada 10,000 kali bersama tuntutan palsu yang serupa di siaran TikTok ini, ini, ini, ini dan ini.

Komen pengguna menunjukkan ada yang percaya klip itu tulen.

"Enjin terbakar," tulis satu pengguna, manakala seorang lagi berkata: "innalillahiwainnalillahirajiun.slm takziah.."

Image
Tangkapan skrin komen pengguna TikTok

Walau bagaimanapun, tuntutan itu adalah palsu.

Rakaman yang disunting

Gabungan carian imej terbalik dan kata kunci di Google mendapati video itu mula dikongsi di Instagram di sini pada 29 Mei 2023 (pautan arkib).

Kapsyen bahasa Indonesia siaran itu diterjemahkan sebagai: "Menggunakan filter pesawat / Komposit Perisian: After Effects / Perisian 3D: After Effects."

View this post on Instagram

A post shared by Akbar Siregar (@ra6kaa)

Bio pengguna Instagram menyatakan akaun itu milik Akbar Siregar, yang mengatakan beliau adalah "artis kesan visual" (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video yang dimuat naik oleh Akbar (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video yang dimuat naik oleh Akbar (kanan)

Ketika dihubungi AFP pada 21 Ogos 2023, Akbar mengesahkan bahawa beliau menghasilkan video itu.

"Kandungan yang saya buat adalah kesan visual," kata Akbar kepada AFP.

Beliau menjelaskan bahawa beliau merakam video itu di hadapan rumahnya di Tangerang Selatan, sebuah bandar berhampiran Jakarta, dan beliau menggunakan Adobe After Effects untuk mencipta kesan visual (pautan arkib).

Beliau juga berkata, bendera yang boleh dilihat pada ekor pesawat adalah bendera Amerika Syarikat, bukannya bendera Malaysia (pautan arkib ini dan ini).

Model pesawat yang berbeza

Pesawat yang terhempas di Elmina ialah pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), yang dilihat di sini di laman web Jet Valet (pautan arkib).

Pesawat Beechcraft mempunyai enjin di bahagian belakang berhampiran ekor, manakala pesawat dalam video kesan visual mempunyai enjin di bawah sayapnya.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin pesawat dalam video kesan visual (kiri) dan foto pesawat di laman web Jet Valet (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin pesawat dalam video kesan visual (kiri) dan foto pesawat di laman web Jet Valet (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami