Video ciptaan digital ini sudah beredar tahun 2020, sebelum gempa bumi Maghribi tahun 2023

Sebuah video telah ditonton ratusan ribu kali selepas beredar dalam siaran media sosial dengan dakwaan salah bahawa video itu menunjukkan cahaya berkelip misteri sebelum gempa bumi dahsyat di wilayah Maghribi. Video asalnya ialah ciptaan digital yang dibuat oleh artis yang berkongsinya pada tahun 2020.

Catatan itu dikongsi di TikTok di sini pada 10 September 2023 dengan jumlah tontonan lebih daripada 864,000 kali.

Antara kapsyen video tersebut berbunyi: “Banyak lokasi bencana di seluruh dunia akan mengalami situasi yang hampir sama, apakah yang sebenarnya berlaku? Adakah ianya petanda akan terjadi bencana besar??”

Teks pelekat pada video itu bertulis: “Cahaya aneh di langit Morocco / Saksi menyatakan ia muncul sebelum gempa kuat."

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 25 September 2023

Catatan itu menyusuli gempa bumi dahsyat yang melanda Maghribi pada 8 September 2023, yang mengorbankan lebih 2,800 orang, kebanyakannya di kampung terpencil.

Video dengan tuntutan serupa juga muncul di catatan TikTok ini dan ini, dan telah ditonton lebih daripada 89,000 kali.

Catatan serupa juga diedarkan dalam bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol dan bahasa Arab.

Carian imej terbalik dan kata kunci menunjukkan rakaman itu dikongsi di TikTok pada 1 Mei 2020, oleh pengguna Jay Hideaway (pautan arkib ini dan ini).

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, kapsyen catatan itu berbunyi: "Pertama pandemik dan kini ALIEN?!?!?!"

Image
Tangkapan skrin video TikTok, diambil pada 11 September 2023

Pautan pada profil TikTok pengguna ini membawa anda ke akaun OpenSea, sebuah pasaran digital, di mana beliau menyenaraikan video untuk dijual sebagai NFT, atau non-fungible token (pautan arkib).

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, keterangan akaun itu berbunyi: "Seni Video Apokaliptik Asal".

Image
Tangkapan skrin profil OpenSea, diambil pada 11 September 2023

Profil TikTok juga menampilkan banyak video ciptaan digital lain yang kelihatan menunjukkan fenomena pelik termasuk kilatan cahaya yang tidak dapat dijelaskan dan objek terbang yang tidak dikenali di langit, dengan dakwaan ia dapat menangkap adanya makhluk luar angkasa.

AFP telah menafikan video lain yang dikaitkan secara palsu dengan gempa Maghribi di sini.

20 Oktober 2023 Laporan ini dikemas kini untuk membetulkan kesalahan taip di perenggan kedua dari akhir.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami