Pengguna media sosial kongsi dakwaan palsu 'projek nyamuk Malaysia akan sebarkan virus baharu'

  • Diterbitkan pada hari Khamis 28/09/2023 pukul 10:28
  • Dikemas kini pada hari Khamis 28/09/2023 pukul 10:45
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: Syafique SHUIB, AFP Malaysia
Pelbagai catatan media sosial berkongsikan dakwaan palsu bahawa projek pembiakan nyamuk di Malaysia yang bertujuan untuk mencegah penyakit melibatkan jutawan Bill Gates dan akan menyebarkan virus baharu. Pakar berkata spesies yang dilepaskan ke dalam hutan di Malaysia ialah spesies semulajadi yang membawa bakteria tidak berbahaya dan yang menghalang penularan tiga penyakit bawaan nyamuk, yaitu denggi, Zika atau chikungunya. Gates tidak memainkan peranan dalam projek di Malaysia tetapi membiayai projek yang serupa di tempat lain.

"Tak dapat suruh org cucuk vaksin 100% / lepas nyamuk berwolbachia...utk sebar kan virus terbaru / Hati2 le korg..takde nye org sesuka ati nak tolong / malaysia ..lagi2 bill gates tu... yg kkm pun haremmmmm.., ikut je...," tulis catatan ini, yang dimuat naikkan di Facebook pada 18 Jun 2023.

Siaran itu mengandungi tangkapan skrin catatan Facebook tulen dari akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Mei 2023 yang mengatakan nyamuk Wolbachia akan dilepaskan di 27 kawasan di seluruh negara (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 21 September 2023

Projek Wolbachia, yang dilancarkan pada 2017 oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), bertujuan untuk mencegah penyebaran virus denggi, Zika dan chikungunya (pautan arkib ini dan ini).

Ia melibatkan pembebasan nyamuk ke alam liar yang membawa bakteria semulajadi yang menghalang serangga daripada menyebarkan penyakit.

Wolbachia ialah sejenis bakteria biasa yang ditemui dalam pelbagai serangga dan tidak berpotensi menyebabkan manusia atau haiwan jatuh sakit, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, atau CDC (pautan arkib).

IMR berkata dalam laman webnya bahawa objektifnya adalah "untuk menggantikan populasi nyamuk liar yang membawa virus denggi dengan populasi yang tidak dapat memindahkan virus denggi, Zika atau chikungunya kepada manusia" (pautan arkib).

Dakwaan palsu yang serupa tentang Gates dan nyamuk Wolbachia yang menyebarkan virus baharu telah dikongsi oleh pengguna Facebook di Malaysia, seperti di sini dan di sini.

Bukan Gates

Yayasan Bill dan Melinda Gates mengatakan pada AFP bahawa mereka tidak terlibat dengan projek di Malaysia.

"Dakwaan ini adalah palsu. Pihak Yayasan tidak membiayai projek nyamuk Wolbachia di Malaysia," katanya dalam email pada 28 Septmber 2023.

Steven Sinkins, profesor mikrobiologi dan perubatan tropika (virologi) di Glasgow University, sedang bekerjasama dengan Malaysia dalam projek Wolbachia (pautan arkib ini dan ini). Beliau memberitahu AFP bahawa dakwaan mengenai Gates dan virus baharu adalah maklumat salah.

Projek di Malaysia tidak dikaitkan dengan jutawan atau pertubuhan amalnya, Yayasan Bill dan Melinda Gates, kata Sinkins.

Walau bagaimanapun, Gates menyokong projek Wolbachia yang serupa di tempat lain di dunia, termasuk Australia, Brazil, Indonesia, Sri Lanka dan Vietnam (pautan arkib).

Yayasan beliau juga telah membiayai program yang menggunakan nyamuk yang diubah suai secara genetik untuk mencegah malaria (pautan arkib ini dan ini). Ia mengatakan usaha ini telah menyelamatkan 10.6 juta nyawa.

"Projek Wolbachia Malaysia dibiayai oleh Wellcome Trust, UK, dan menggunakan jenis Wolbachia yang berbeza dengan yang digunakan dalam projek di beberapa negara lain yang disokong oleh Bill dan Melinda Gates Foundation," kata Sinkins pada 19 September 2023 (pautan arkib).

Sinkins menambah bahawa nyamuk Wolbachia di Malaysia tidak direka secara genetik.

"Wolbachia adalah simbion semulajadi yang benar-benar selamat dan tidak diubah suai secara genetik, hanya dipindahkan antara spesies nyamuk," katanya.

'Sangat berjaya'

Dr Riris Andono Ahmad, pengarah Pusat Perubatan Tropika di Universiti Gadjah Mada di Indonesia, berkata bakteria Wolbachia sudah ditemui secara organik dalam kebanyakan serangga di dunia semula jadi (pautan arkib).

"Dianggarkan 50% spesies serangga di alam semula jadi mengandungi Wolbachia," katanya kepada AFP melalui e-mel pada 9 September 2023.

Kedua-dua pakar bersetuju bahawa pembiakan nyamuk Wolbachia telah mengurangkan penularan denggi.

"Penggunaan Wolbachia adalah sangat berjaya, mengurangkan denggi dengan begitu ketara (kira-kira 80 peratus secara keseluruhan) di tapak di mana ia telah diperkenalkan ... Tapak-tapak ini dahulunya merupakan kawasan panas untuk penularan denggi," kata Sinkins.

Di Indonesia, Riris berkata kajian percubaan menunjukkan Wolbachia boleh mengurangkan kes denggi sehingga 77% dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit sehingga 86%.

Pada Julai 2023, AFP menafikan dakwaan palsu bahawa nyamuk diubahsuai secara genetik (GMO) milik Gates menyebabkan wabak malaria di Amerika Syarikat.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami