Ini video masjid Syria yang musnah akibat serangan Rusia, bukan 'reruntuhan masjid setelah gempa Maghribi'

Sebuah video lama memaparkan seorang lelaki berdiri di atas tangga yang dipasang pada sebuah bangunan yang musnah telah ditonton belasan ribu kali selepas dikongsikan dengan dakwaan palsu bahawa azan dilaungkan di sebuah masjid yang runtuh akibat gempa bumi di Maghribi pada September 2023. Sebenarnya, video itu diambil pada tahun 2017 di Syria dan menampilkan masjid yang musnah akibat serangan udara Rusia.

"Rakyat Maghribi melaungkan azan di atas sisa runtuhan masjid akibat gempa bumi yang melanda negara itu," tulis teks pelekat pada video itu yang dikongsi di TikTok pada 13 September 2023.

Keterangan catatan itu mengulangi teks pelekat.

Video itu, yang telah ditonton lebih daripada 14,000 kali, memaparkan seorang lelaki sedang berdiri di atas serpihan bangunan menggunakan tangga yang bengkok.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 12 Oktober 2023

Video itu dimuat naikkan beberapa hari selepas gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda Maghribi berhampiran hab pelancongan di Marrakesh pada 8 September 2023, menyebabkan hampir 3,000 orang terbunuh, 5,600 lagi cedera dan memusnahkan seluruh kawasan penempatan.

Video itu juga telah ditonton lebih daripada 1,800 kali selepas dikongsi bersama dakwaan serupa di TikTok, di Facebook serta di Telegram.

Catatan serupa juga diedarkan dalam bahasa Indonesia dan bahasa Urdu.

Namun, dakwaan itu palsu.

Hakikatnya, masjid yang dilihat dalam video itu terletak di luar bandar Aleppo, Syria, dan telah musnah akibat serangan udara Rusia pada 2016.

Pengeboman Rusia

Carian imej terbalik Google mendapati video itu sepadan dengan adegan dalam sebuah video yang dimuat naik ke YouTube pada 11 Jun 2017 oleh sebuah saluran bernama Hayan Media Office (pautan arkib).

Tajuk berbahasa Arab itu berbunyi: "Hayan: Melaungkan azan Maghrib di Masjid #Sheikh Qasim 6/10/2017."

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan palsu (kiri) dan video tulen di YouTube (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan palsu (kiri) dan video tulen di YouTube (kanan)

Masjid Sheikh Qasim terletak di kota Hayan, di sebelah utara Aleppo (pautan arkib).

Carian lanjut di Google mendapati video runtuhan masjid itu yang diambil dari sudut berbeza, dimuat naik ke halaman Facebook milik syarikat penerbitan dokumentari Syria bernama AMC pada 15 Februari 2016 (pautan arkib ini dan ini).

"Azan zohor dilaungkan dari Masjid Besar Sheikh Qasim di bandar Hayan di kawasan luar bandar di utara Aleppo, selepas bangunan itu musnah sepenuhnya akibat pengeboman Rusia," kata kapsyen berbahasa Arab itu.

Aleppo pernah menjadi kubu kuat pemberontak semasa perang saudara Syria -- yang bermula pada 2011 -- dan serangan udara Rusia membantu tentera kerajaan menawan bandar itu pada 2015 dan 2016 (pautan arkib).

Moscow melakukan serangan udara di Aleppo dan kawasan sekitarnya sejak awal Februari 2016, membunuh ratusan orang awam, lapor Al-Jazeera (pautan arkib).

Reruntuhan masjid, termasuk tangga, gerbang dan bahagian bumbung yang tergantung, boleh dilihat dalam video AMC itu.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video palsu (kiri) dan video AMC (kanan), dengan ciri sepadan yang ditandakan oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin video palsu (kiri) dan video AMC (kanan)

Rakaman serupa daripada penyiar awam Turki, TRT yang disiarkan di YouTube pada 11 Februari 2016 juga menunjukkan masjid itu antara kemusnahan yang terkesan akibat serangan udara Rusia semasa perang saudara Syria (pautan arkib).

Di bawah ialah tangkapan skrin video laporan TRT pada saat ke-28, yang menunjukkan bangunan yang musnah itu.

Image
Tangkapan skrin laporan TRT tentang serangan udara Russia di Syria

AFP sebelum ini telah menafikan dakwaan tak benar tentang gempa bumi Maghribi di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami