Video tsunami di Jepun ini dirakam pada tahun 2011, bukan 2024

Gempa bumi magnitud 7.5 yang melanda pantai barat Jepun pada 1 Januari 2024 telah mencetuskan ombak tsunami berketinggian lebih daripada satu meter. Walau bagaimanapun, video yang memaparkan bot nelayan yang dipukul ombak dan telah ditonton ratusan ribu kali itu tidak berkait dengan bencana Tahun Baharu itu. Klip itu sebelum ini telah diedarkan sejak tahun 2011, susulan gempa bumi dan tsunami yang memusnahkan pantai timur Jepun.

"Tsunami Jepun 2024," bunyi kapsyen siaran Facebook, yang dimuat naikkan pada 1 Januari 2024.

Siaran itu berkongsi video yang menunjukkan kawasan pantai yang dinaiki air deras dan bot-bot nelayan dipukul ombak kuat.

Tulisan "Japan Tsunami Oirase Town" dilihat tampil pada video yang telah ditonton lebih daripada 220 kali itu.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 4 Januari 2024

Gempa bumi magnitud 7.5 melanda pantai barat wilayah Ishikawa, di Pulau Honshu, Jepun, pada Hari Tahun Baharu 2024. 

Pihak berkuasa berkata pada 4 Januari 2024 bahawa sekurang-kurangnya 62 orang maut dan lebih daripada 300 orang lainnya cedera. Gempa bumi kuat itu turut memusnahkan bangunan, menyebabkan kebakaran besar dan jalan raya terputus.

Ombak setinggi sekurang-kurangnya 1.2 meter melanda pelabuhan bandar Wajima, dan beberapa siri tsunami yang lebih kecil dilaporkan di tempat lain, termasuk Pulau Hokkaido, di bahagian utara Jepun.

Amaran ombak yang lebih besar terbukti tidak berasas dan kerajaan Jepun menarik balik semua amaran tsunami itu keesokan harinya.

Video berdurasi satu minit dan 17 saat itu telah ditonton lebih daripada 219,000 kali selepas turut dikongsi di catatan TikTok ini,  ini, ini dan ini.

Siaran serupa juga disebarkan oleh pengguna media sosial di Indonesia dan Korea Selatan

Tetapi video itu sebenarnya menunjukkan sebuah pelabuhan Jepun dilanda ombak tsunami pada 2011, dan bukannya pada 2024.

Video tsunami 2011

Carian imej terbalik dengan Google mendapati video berdurasi sekitar sembilan minit yang dikongsikan di YouTube oleh pengguna "wngad869" pada 18 Mac 2011 (pautan arkib).

Keterangan dalam bahasa Jepun pada video YouTube itu berbunyi: "3:48 petang. Pelabuhan Perikanan Momoishi, Bandar Oirase, Wilayah Aomori. 11-3-2011. Anda boleh nampak cerobong asap Kilang Kertas Mitsubishi dan kapal penerokaan Chikyu."

Video itu dimuat naikkan beberapa hari selepas gempa bumi Tohoku yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac 2011. 

Gempa bumi 9.0 magnitud di luar pesisir Fukushima mencetuskan gelombang tsunami yang menyebabkan kematian penduduk di pantai timur laut Jepun (pautan arkib). Bencana itu mengorbankan lebih 18,500 nyawa atau hilang.

Oirase terletak di bahagian timur laut Pulau Honshu, sekitar 450 km utara wilayah Fukushima (pautan arkib ini dan ini).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan palsu (kiri) dan video tulen tahun 2011 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan palsu (kiri) dan video tulen tahun 2011 (kanan)

Video yang sama telah disiarkan pada 16 Jun 2022 pada saluran YouTube bernama "Arkib Tsunami Jepun 2011", yang mengumpulkan rakaman bencana itu (pautan arkib). Kredit video juga diberikan kepada "wngad869".

Rakaman yang sama juga diterbitkan di Niconico, platform perkongsian video Jepun, pada 22 Mac 2011, dengan keterangan yang serupa (pautan arkib).

Menggunakan keterangan dan ciri yang dilihat dalam video YouTube tulen, AFP melakukan geolokasi dan menemukan rakaman itu diambil di kawasan pelabuhan di Oirase, Aomori (pautan arkib).

 

Pantai barat Pulau Honshu dan Pulau Hokkaido dilanda amaran tsunami semasa gempa bumi pada Tahun Baharu 2024 (pautan arkib). Bagaimanapun, bandar Oirase hanya berdepan "potensi tsunami" dan tidak mencapai tahap "amaran tsunami".

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami