Ini video AI untuk mengkritik fast fashion, bukan 'demonstrasi pro-Palestin terhadap iklan Zara yang kontroversi'

Sebuah video yang menunjukkan timbunan pakaian yang dibuang di hadapan kedai Zara di Times Square, New York City, tidak ada kaitan dengan kemarahan rakyat Amerika terhadap kempen pengiklanan Zara yang dianggap tidak sensitif kepada mangsa perang Israel-Hamas. Video itu dicipta dengan kecerdasan buatan (AI) dan dikeluarkan oleh Vestiaire Collective, platform jual beli barangan mewah terpakai, pada November 2023 sebagai kenyataan syarikat Perancis itu menentang fast fashion.

Video berdurasi 10 saat itu dimuat naik di Facebook di sini pada 14 Disember 2023.

Kapsyen catatan itu bertulis: "DAHSYAT RAKYAT AMERIKA PUNYA BANTAHAN... / Selepas Zara membuat iklan yang tidak sensitif tentang konflik di Gaʐa, ribuan rakyat Amerika membuang semua pakaian yang dibeli di Zara di hadapan syarikat tersebut."

Video yang kelihatan menunjukkan timbunan pakaian yang dibuang di hadapan kedai Zara di Times Square, di New York City, itu telah ditonton lebih daripada 300 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 27 Disember 2023

Video itu telah ditonton lebih daripada 41,000 kali selepas turut dimuat naik di TikTok di sini, di sini dan di sini, serta di Facebook dan di Telegram.

Siaran serupa turut dipaparkan dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Thai, bahasa Sepanyol dan bahasa Perancis.

Catatan itu dikongsi selepas pada awal Disember 2023, Zara melancarkan kempen pengiklanan yang menampilkan model diantara runtuhan yang kelihatan seperti mayat yang dibalut dengan kain kafan (pautan arkib).

Zara, yang dimiliki oleh kumpulan Inditex Sepanyol, peruncit fesyen terbesar di dunia, menjelaskan bahawa gambar-gambar itu diambil pada September 2023, sebelum perang Israel-Hamas meletus, dan figura yang dibungkus itu bertujuan untuk menjadi karya arca yang belum siap.

"Malangnya, sesetengah pelanggan tersinggung dengan foto ini -- yang kini telah dipadamkan -- dan melihatnya sebagai sesuatu yang jauh berbeza daripada yang dimaksudkan semasa ia dicipta," kata Zara dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun Instagram mereka pada 12 Disember 2023 (pautan arkib).

Berikutan kritikan umum bahawa iklan Zara menghina mangsa dan keadaan di Semenanjung Gaza, serta banyak gesaan untuk memboikot Zara, peruncit fesyen itu menarik balik iklannya (pautan arkib).

Serangan udara Israel telah memusnahkan kawasan perumahan di Semenanjung Gaza dan meragut banyak nyawa (pautan arkib). Sehingga 26 Disember 2023, jumlah kematian Palestin telah mencecah 20,900 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah Palestin itu.

Israel mula mengebom Gaza selepas serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober 2023 membunuh kira-kira 1,140 orang -- kebanyakannya orang awam -- dan mengambil kira-kira 250 tebusan, menurut angka rasmi terbaru dari Israel.

Kontroversi pengiklanan Zara mencetuskan demonstrasi pro-Palestin di kedai mereka di pelbagai negara, dari Jerman dan Tunisia ke Turki dan Australia (pautan arkib ini, ini dan ini). Ini berlaku ketika gesaan yang semakin meningkat untuk memboikot perniagaan yang dilihat menyokong Israel (pautan arkib).

Walau bagaimanapun, video yang tersebar dalam siaran di atas tidak menunjukkan demonstrasi ini.

Carian kata kunci pada platform media sosial mendapati video tersebut telah dimuat naik sebelum ini pada 16 November 2023 pada akaun Instagram dan TikTok Vestiaire Collective, platform untuk membeli dan menjual barangan mewah terpakai (pautan arkib ini dan ini).

"Dengan 92 juta tan tekstil dihantar ke tapak pelupusan setiap tahun, inilah masanya untuk bertindak. Sebab itu, mulai hari ini, kami mengharamkan 30 jenama fast fashion dari Vestiaire Collective, termasuk Zara, H&M, Gap, Abercrombie & Fitch, Mango , Urban Outfitters dan Uniqlo," baca sebahagian daripada kapsyen siaran Instagram.

Berikut perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asal daripada Vestiaire Collective (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asal daripada Vestiaire Collective (kanan)

Marie Tobaly, jurucakap Vestiaire Collective, memberitahu AFP dalam e-mel bertarikh 13 Disember 2023 bahawa sebuah agensi Perancis yang pakar dalam AI mencipta video itu.

Tobaly menjelaskan lagi bahawa klip itu dilancarkan pada 16 November 2023 -- "hampir sebulan" sebelum iklan Zara dilancarkan -- sebagai sebahagian daripada inisiatif start-up Perancis itu menentang fast fashion dan pembaziran pakaian (pautan arkib ini dan ini).

AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai perang Israel-Hamas di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami