Ini video tsunami di Lapangan Terbang Sendai pada 2011, bukan 'susulan gempa Jepun 2024'

Sebuah video yang menunjukkan kereta-kereta, pesawat dan serpihan-serpihan lain dihanyut arus air telah ditonton jutaan kali selepas dikongsikan dengan dakwaan palsu yang mengatakan ia diambil susulan gempa bumi di Jepun pada 1 Januari 2024. Sebenarnya, rakaman itu diambil di Lapangan Terbang Sendai di wilayah Miyagi, Jepun, susulan gempa dan tsunami yang berlaku pada Mac 2011.

"SEMUANYA DIHANYUTKAN OLEH TSUNAMI. Termasuk Rumah...Kereta...Kapal Terbang...Helikopter," tulis teks pelekat pada video TikTok pada 2 Januari 2024.

Kapsyen catatan itu bertulis: "Tsunami melanda di jepun akibat gempa bumi bumi yang kuat pada 1.1.2024," diikuti tanda pagar seperti #bencanaalam2024 #gempabumijepun #tsunamijepun. 

Klip itu menunjukkan sejumlah besar objek dan kenderaan -- termasuk kereta, pesawat dan helikopter -- dihanyut arus air.

Video berdurasi seminit dan enam saat itu telah ditonton lebih daripada 425.000 kali. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada Januari 8, 2024

Video itu dimuat naik sehari selepas gempa bumi magnitud 7.5 melanda wilayah Ishikawa, di pantai barat Pulau Honshu, Jepun, yang telah mengorbankan lebih 200 nyawa, menurut pihak berkuasa.

Gempa bumi itu mencetuskan ombak tsunami setinggi tiga meter, menyebabkan kebakaran besar di pelabuhan bandar Wajima dan merosakkan jalan raya.

Video itu telah ditonton lebih daripada 2.2 juta kali selepas beredar dengan dakwaan serupa di TikTok di sini dan sini, serta di Facebook di sini.

Catatan serupa juga beredar dalam bahasa Indonesia

Namun, dakwaan itu tidak benar. Video itu sebenarnya diambil di sebuah lapangan terbang di timur laut Jepun susulan tsunami yang membadai negara itu pada Mac 2011. 

Video tsunami 2011

Carian imej terbalik di Google, diikuti carian kata kunci dalam bahasa Jepun, mendapati video yang lebih panjang disiarkan di YouTube oleh Sankei News, media dalam talian Jepun, pada 28 April 2011 (pautan arkib).

Video berdurasi empat minit dan 16 saat itu juga menunjukkan sebuah landasan ditenggelami air, dengan teks bahasa Jepun bertulis: "11 Mac 2011. Dirakam oleh Pangkalan Udara Sendai Pengawal Pantai Jepun" dan "Lapangan Terbang Sendai dilanda tsunami."

Menurut keterangan video, rakaman itu disediakan oleh Pengawal Pantai Jepun.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video tulen disiarkan Sankei News (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video tulen disiarkan Sankei News (kanan)

Lapangan Terbang Sendai terletak di bandar Natori, wilayah Miyagi, di timur laut Jepun (pautan arkib).

Pantai timur laut Jepun adalah yang paling teruk dilanda gempa dasar laut berukuran 9.0 magnitud dan tsunami besar yang berlaku pada 11 Mac 2011. Bencana itu menyebabkan kira-kira 18,500 orang maut atau hilang, dan mencetuskan krisis di loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi.

Video itu juga diterbitkan oleh stesen televisyen Jepun All-Nippon News Network dan The Wall Street Journal, akhbar perniagaan Amerika, pada akhir April 2011 (pautan arkib ini dan ini).

Ia kemudian dimuat naik oleh saluran YouTube "Arkib Tsunami Jepun 2011", yang menyiarkan rakaman-rakaman oleh saksi dan orang lain tentang bencana 2011 itu (pautan arkib).

Rakaman AFP ketika bencana itu memaparkan kesan-kesan kemusnahan selepas tsunami di lapangan terbang Sendai.

Menurut Kementerian Luar Negeri Jepun, landasan dan bangunan terminal Lapangan Terbang Sendai mengalami kerosakan teruk selepas tsunami Mac 2011 itu dan baru beroperasi semula sebulan kemudian (pautan arkib).

AFP sebelum ini telah menafikan klip lain daripada bencana 2011 yang secara salah dikaitkan dengan gempa 2024.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami