Ini video peminat penyanyi Louis Tomlinson di Argentina, bukan 'warga Israel yang panik'
- Diterbitkan pada hari Isnin 22/04/2024 pukul 05:50
- Dikemas kini pada hari Isnin 29/04/2024 pukul 07:19
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: Bill MCCARTHY, AFP Amerika Syarikat, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Syafique SHUIB
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Video menunjukkan penduduk Israel lari lintang pukang kerana ketakutan dengan serangan peluru berpandu dari Iran," tulis sebagahian kapsyen siaran Facebook ini, yang dikongsikan pada 14 April 2024.
Siaran itu memuat naikkan satu video yang menunjukkan orang ramai bergegas di sebuah jalan pada waktu malam.
Klip berdurasi tujuh saat itu telah ditonton lebih daripada 170 kali.
Video itu turut dikongsi dengan tuntutan yang serupa di catatan Facebook ini, ini, ini dan ini, serta di TikTok, dan telah ditonton lebih daripada 1.8 juta kali.
Siaran serupa turut beredar dalam bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol dan bahasa Arab.
Klip itu bahkan turut disiarkan dengan naratif serupa oleh Sputnik, media negara Rusia.
Siaran itu muncul susulan serangan Tehran ke atas Israel pada 13 April 2024, sebagai tindakan balas kepada Israel, yang dipercayai melakukan serangan maut terhadap gedung konsular kedutaan Iran di Damsyik, ibu negara Syria, pada 1 April 2024.
Serangan berturut-turut ini makin meningkatkan ketegangan di Timur Tengah lebih daripada enam bulan sejak perang antara Israel dan Hamas bermula.
Dalam serangan langsung pertama terhadap musuh ketatnya itu, Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu, yang ditembak oleh Israel dengan bantuan Amerika Syarikat dan sekutunya dari Eropah.
Penduduk di bandar Baitulmaqdis berlindung ketika siren berbunyi dan letupan menerangi langit.
Tetapi klip yang tersebar dalam talian tidak berkaitan.
AFP tidak dapat mengesahkan asal usul rakaman itu, tetapi banyak komen di X mengatakan ia dirakam di luar Hotel Four Seasons di Buenos Aires ketika peminat berkumpul untuk melihat penyanyi Louis Tomlinson (pautan arkib).
Sesetengah pengguna mengatakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada orang ramai dan berharap dapat bertemu dengannya (pautan arkib ini dan ini).
AFP menemukan geolokasi video itu ke Four Seasons, memadankan lintasan pejalan kaki, bangunan dan struktur lain dalam klip dengan yang ditangkap melalui imej Google Street View (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video di siaran palsu (kiri) dan imej Google Street View (kanan), dengan bahagian sepadan ditandai AFP:
Delfina Daponte, pengurus perhubungan awam Four Seasons, mengesahkan dalam e-mel bertarikh 15 April 2024 bahawa video itu menunjukkan "hartanah kami yang terletak di Buenos Aires, Argentina".
"Ada peminat menunggu seorang selebriti yang berada di hotel dua hujung minggu lalu," kata Daponte. "Tiada kena mengena dengan Israel."
Akaun TikTok rasmi milik Tomlison berkongsi video interaksinya dengan para peminat pada siang hari di Buenos Aires pada 7 April 2024 -- sebulan sebelum ia dijadualkan mementaskan konsert di ibu negara Argentina pada 18 Mei 2024 (pautan arkib ini dan ini).
@lthqofficial Meeting fans in Buenos Aires, Argentina. Louis will be back next month performing at Velez Sarsfield on his #FITFLatinAmerica♬ original sound - lthqofficial
Adegan di luar Hotel Four Seasons nampaknya terjadi pada 6 April 2024.
Sebuah video yang disiarkan dalam laporan Infobae, akhbar dalam talian Argentina, pada malam itu menunjukkan Tomlinson berinteraksi dengan para penyokong, mengambil foto dengan mereka dan memberikan tandatangan di kawasan yang sama di luar hotel (pautan arkib).
Kejadian itu juga dirakam dalam video yang disiarkan oleh akaun peminat Tomlinson di X (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video di siaran palsu (kiri) dan video Infobae (kanan), dengan bahagian sepadan ditandai AFP:
AFP menghubungi pengurus dan wakil publisiti Tomlinson untuk mendapatkan komen, tetapi tiada maklum balas yang diberikan.
AFP Semakan Fakta telah menafikan maklumat salah lain mengenai konflik Iran-Israel di sini.
Laporan ini dikemas kini untuk menambahkan pautan arkib laman web Tomlinson dan menggantikan pautan arkib video yang dikongsikan di akaun TikTok rasminya.29 April 2024 Laporan ini dikemas kini untuk menambahkan pautan arkib laman web Tomlinson dan menggantikan pautan arkib video yang dikongsikan di akaun TikTok rasminya.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami