Iklan penyembur serangga beri amaran palsu tentang 'risiko kesihatan ulat dinding'

  • Diterbitkan pada hari Rabu 17/01/2024 pukul 07:40
  • Dikemas kini pada hari Rabu 17/01/2024 pukul 08:18
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Catatan dalam talian yang mempromosikan penyembur serangga telah dikongsi berulang kali di media sosial yang mendakwa sejenis rama-rama rumah boleh menyebabkan keradangan kulit. Ahli entomologi memberitahu AFP bahawa serangga itu --dikenali sebagai ulat dinding atau ulat habuk -- secara umumnya tidak berbahaya. Iklan tersebut menggunakan imej stok yang berkaitan dengan gigitan dan sengatan serangga lain.

“Hati-hati kalau jumpa serangga ni....," tulis kapsyen pada catatan Facebook yang dikongsi pada 7 November 2023. "Kalau terkena, kulit akan bengkak, gatal dan sakit berhari hari."

Siaran itu kongsikan beberapa gambar kepompong sejenis rama-rama rumah dikenali sebagai "ulat dinding" atau "ulat habuk" dan beberapa imej kesan gigitan dan sengatan serangga pada kulit manusia.

Catatan itu juga memberikan pautan kepada produk penyembur yang tersedia di platform beli-belah dalam talian yang mendakwa semburan produk itu merupakan"satu cara je nak hapuskan benda ni" di Malaysia.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, yang diambil pada 17 Januari 2024

Dakwaan sama dengan pautan produk itu turut dikongsi di sini di Facebook. Di TikTok, penyembur itu telah diiklankan sejak hampir dua tahun lalu dengan dakwaan serupa di sini, di sini dan di sini.

Bagaimanapun, pakar memberitahu AFP bahawa ia pada umumnya tidak menyebabkan kerengsaan kulit atau masalah kesihatan.

AFP juga mendapati gambar-gambar yang digunakan dalam siaran itu adalah imej stok yang tidak berkaitan dengan serangga tersebut.

Tiada ancaman kepada manusia

Ahli entomologi memberitahu AFP bahawa serangga yang ditunjukkan dalam siaran palsu itu adalah sejenis rama-rama (Phereoeca uterella), juga dikenali sebagai "ulat habuk" atau "ulat dinding" (pautan arkib).

Norhisham Razi, pensyarah kanan dari Jabatan Sains Perhutanan & Biodiversiti di Universiti Putra Malaysia, memberitahu AFP bahawa rama-rama rumah ini "tidak mungkin menjadi penyebab kepada gigitan serangga" dan ia tidak dikenali sebagai serangga yang menyebabkan kerengsaan kulit secara langsung (pautan arkib).

Abdul Hafiz Ab Majid, pakar entomologi dan profesor madya dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat di Universiti Sains Malaysia, juga berkata bahawa rama-rama itu tidak menimbulkan ancaman secara langsung kepada manusia dan ia "tidak menggigit manusia atau membawa penyakit" (pautan arkib).

Namun, tambahnya, ia boleh mengganggu sekiranya rumah anda dipenuhi dengannya, menyebabkan kerosakan pada pakaian, perabot berasaskan fabrik, permaidani atau barangan lain.

“Bagaimanapun, kerosakan pada umumnya terhad kepada bahan yang terjejas dan tidak mempunyai sebarang implikasi kesihatan yang ketara,” katanya kepada AFP pada 11 Januari 2024.

Gambar tidak berkaitan

Carian imej terbalik di Yandex dan Google mendapati siaran-siaran itu berkongsi gambar-gambar stok yang digunakan untuk menggambarkan kesan gigitan dan sengatan pelbagai serangga dan araknid, tetapi bukan kesan gigitan rama-rama rumah itu. 

Imej pertama telah digunakan dalam artikel bahasa Rusia tentang gigitan nyamuk, seperti di sini dan di sini (pautan arkib ini dan ini).

Imej kedua pula telah dikongsi di artikel-artikel dalam pelbagai bahasa yang menyatakan kerengsaan kulit disebabkan oleh serangga dan araknid, termasuk tebuan dan kala jengking (pautan arkib ini dan ini).

AFP mengesan imej ketiga di laman web berbahasa Rusia yang menyatakan ia menunjukkan gigitan pepijat tilam (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej dalam siaran palsu (kiri) dan gambar generik yang disiarkan pelbagai laman web (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej dalam siaran palsu (kiri) dan gambar generik yang disiarkan pelbagai laman web (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami