Ini klip kapal tentera AS terbakar pada 2020, bukan 'akibat serangan Houthi pada 2024'

Imej dan klip salah tersebar di media sosial susulan pencerobohan berterusan oleh kumpulan Houthi terhadap kapal-kapal di Laut Merah, yang menyebabkan serangan tentera AS dan Britain di Yaman. Contoh terbaharu adalah sebuah video kapal tentera AS yang terbakar telah ditonton puluhan ribu kali selepas dikongsikan dengan dakwaan palsu bahawa kapal itu telah menjadi sasaran Houthi di Laut Merah pada tahun 2024. Rakaman itu sebenarnya menunjukkan USS Bonhomme Richard yang terbakar pada tahun 2020 di San Diego. Kapal tentera tersebut akhirnya ditamatkan perkhidmatan pada tahun berikutnya akibat kebakaran besar itu.  

"Kapal US Yang Rosak Diserang Houthi," tulis teks pelekat pada video TikTok ini, yang dikongsi pada 11 Januari 2024.

Klip yang telah ditonton lebih daripada 1,500 kali itu menunjukkan kepulan asap tebal menjulang ke langit dengan bot tunda menyembur air ke atas kapal yang terbakar itu dan anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran kapal terbabit.

Sebahagian kapsyen pada siaran itu berbunyi: "Dilaporkan kapal perang USS Bonhomme Richard yang menjadi sasaran Houthi di Laut Merah malam kelmarin."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 23 Januari 2024

Pada November 2023, Houthi mula menyasarkan kapal-kapal di Laut Merah yang mereka dakwa ada kaitan dengan Israel -- serangan yang mereka katakan sebagai menyokong rakyat Palestin di Gaza, lokasi di mana Israel katakan sedang memerangi Hamas.

Sekitar 12 peratus daripada perdagangan global biasanya melalui Selat Bab al-Mandeb, pintu masuk Laut Merah antara barat daya Yaman dan Djibouti, tetapi serangan pemberontak Houthi itu telah menyebabkan banyak perkapalan perlu menukar laluan perjalanan beribu kilometer lebih jauh mengelilingi Afrika. 

Pada Januari 2024, Amerika Syarikat dan Britain melakukan berpuluh-puluh serangan menyasar Houthi. Tentera Amerika juga menembak jatuh peluru berpandu yang menurut Washington boleh mengancam kapal-kapal awam dan tentera

Video itu telah ditonton lebih daripada 24,000 kali selepas ia muncul bersama dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini, serta TikTok di sini dan di sini.

Siaran serupa juga dikongsikan dalam bahasa Arab.

Walau bagaimanapun, kapal USS Bonhomme Richard ditamatkan perkhidmatannya pada April 2021 setelah mengalami kerosakan akibat kebakaran besar yang terjadi beberapa bulan sebelumnya (pautan arkib ini dan ini).

Carian imej terbalik di Google mendapati video dalam siaran itu sebelum ini dikongsi dalam siaran Facebook di sini pada 13 Julai 2020, yang menyatakan bahawa ia menunjukkan kapal tentera itu terbakar selepas letupan di atas kapal (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video tulen Facebook dari tahun 2020 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video tulen Facebook dari tahun 2020 (kanan)

Seperti dilaporkan AFP, USS Bonhomme Richard berada di pelabuhan bandar San Diego, di pantai barat Amerika Syarikat, untuk penyelenggaraan ketika letupan berlaku pada 12 Julai 2020, dengan 160 kelasi berada di atas kapal. 

Menurut pegawai tentera laut, 17 kelasi dan empat orang awam cedera dan dibawa ke hospital manakala beberapa anggota bomba turut melecur dan tersedut asap. 

Usaha memadamkan kebakaran berlangsung selama empat hari. 

Menurut satu laporan CNN pada September 2022, seorang kelasi yang didakwa menyebabkan kebakaran itu didapati tidak bersalah oleh hakim tentera laut AS (pautan arkib).

Rakaman udara AFP ketika kejadian kebakaran kapal USS Bonhomme Richard -- disiarkan di sini dan di sini -- juga menunjukkan adegan serupa.

AFP telah menafikan maklumat salah terkait serangan Houthi di Laut Merah, seperti iniini dan ini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami