Ini video gerhana matahari penuh pada 2017, bukan berlaku 'di Amerika Syarikat pada 2024'
- Diterbitkan pada hari Selasa 14/05/2024 pukul 05:00
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Ara Eugenio, AFP Filipina, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Detik Detik Gerhana Matahari Penuh di Amerika Syarikat Gaiss!!" tulis sebahagian teks pelekat pada video TikTok ini, yang dikongsi pada 8 April 2024. "siang menjadi malam!!!"
Keterangan siaran itu berbunyi: "indahnya ciptaan Allah gaiss... #gerhanamataharipenuh..."
Klip itu, yang mendapat lebih daripada 500,000 tontonan, menunjukkan fenomena siang bertukar menjadi malam dengan cepat apabila bulan menutupi keseluruhan matahari.
Orang ramai kedengaran sedang bersorak dan menjerit keterujaan.
Siaran itu muncul ketika rakyat Amerika Utara menyaksikan fenomena gerhana matahari penuh dan benua itu bertukar menjadi gelap dalam tempoh yang singkat.
Video itu disebarkan bersama dakwaan serupa dan telah meraih sebanyak 40,000 tontonan di TikTok di sini, sini dan sini, di Facebook di sini serta di Instagram di sini.
Sebenarnya, video itu telah dirakam beberapa tahun lalu, sebelum fenomena gerhana pada April 2024.
Video 2017
Carian imej terbalik di Google menemui video itu yang disiarkan di YouTube pada 22 Ogos 2017 oleh tapak teknologi yang berpangkalan di AS, GeekWire (pautan arkib).
Keterangan pada video itu berbunyi: "Imbas kembali keseluruhan fasa gerhana matahari 21 Ogos, seperti yang dirakam oleh John E. Hoots di Madras, Ore".
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara video dalam siaran palsu (kiri) dan video yang dimuat naik oleh Geekwire (kanan):
Pada 21 Ogos 2017, jutaan pemerhati langit menyaksikan fenomena dikenali "Great American Eclipse", gerhana matahari penuh yang melanda benua pantai ke pantai buat kali pertama dalam hampir satu abad.
Laluan penuh gerhana adalah meliputi seluas 70 batu (113 kilometer) yang merentasi 14 negeri-negeri AS.
Lebih 100,000 orang berkumpul di Madras, Oregon -- lazimnya sebuah bandar dengan populasi 7,000 orang -- yang disifatkan oleh para pakar sebagai tempat terbaik untuk menyaksikan fenomena itu, lapor AFP ketika itu.
Orang ramai kedengaran sedang bersorak dan menjerit keterujaan dalam video yang dikongsi di media sosial itu boleh didengari dalam video disiar GeekWire terbabit, termasuk orang menjerit "Tengok bayang-bayang itu!" dan "Ia cerah disebelah sini!"
Menurut artikel GeekWire, rakaman itu dirakam di Tapak Pesta Daerah Jefferson oleh seorang saintis bernama John E. Hoots (pautan arkib).
"Apabila (fenomena) penuh hampir bermula, Hoots mencabut penapis solar dan menetapkan dedahan untuk menangkap cahaya halus atmosfera luar matahari itu, yang dikenali sebagai korona," katanya.
Gerhana matahari separa
Tambahan pula, gerhana matahari penuh yang berlaku pada 8 April 2024 tidak kelihatan dari Madras.
Menurut peta gerhana NASA, bandar itu hanya melihat sekilas gerhana separa pada hari itu (pautan arkib).
Di bawah ialah tangkapan skrin peta NASA yang menunjukkan laluan penuh gerhana matahari penuh 2024, dengan Madras ditunjukkan dengan warna merah.
Menurut laman web NASA, gerhana matahari separa berlaku "apabila Bulan melintasi di antara Matahari dan Bumi tetapi Matahari, Bulan dan Bumi tidak berbaris dengan sempurna", yang membawa kepada hanya sebahagian daripada matahari yang dilindungi dan menghasilkan bentuk bulan sabit (pautan arkib).
Walaupun laluan penuh pada April 2024 tidak meliputi negeri Oregon, NASA berkata setiap negeri AS yang bersebelahan -- termasuk bahagian Alaska dan Hawaii -- telah dijangka mengalami sekurang-kurangnya gerhana matahari separa (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami