Ini gambar kebakaran di Arab Saudi tahun 2022, bukan 'serangan AS dan UK di Yaman pada 2024'

  • Diterbitkan pada hari Jumaat 19/01/2024 pukul 03:49
  • Dikemas kini pada hari Rabu 24/01/2024 pukul 09:40
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Pakistan, AFP Malaysia
  • Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Sebuah foto kebakaran besar muncul di media sosial dengan dakwaan salah bahawa gambar itu menunjukkan serangan tentera Amerika Syarikat dan Britain di Yaman pada Januari 2024, sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan Houthi ke atas kapal-kapal di Laut Merah. Sebenarnya, gambar itu menunjukkan kejadian kebakaran di tempat simpanan minyak Saudi pada Mac 2022 susulan serangan Houthi.

"Yaman diserang," tulis kapsyen pada catatan Facebook yang berkongsi foto kebakaran pada 13 Januari 2024.

Menurut kapsyen itu lagi: "dan Inilah Negara-negara yang mengambil bahagian dalam serangan ke atas Yaman sebentar tadi," menyebutkan nama enam negara, termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom. 

Image
Tangkapan skrin catatan palsu, diambil pada 18 Januari 2024

Catatan itu muncul selepas tentera AS dan Britain melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Houthi pada 11 Januari 2024. Kumpulan pemberontak Houthi, yang menguasai sebahagian besar wilayah Yaman sejak perang saudara meletus pada 2014, adalah sebahagian daripada "paksi penentangan" yang disokong Iran sebagai perlawanan terhadap Israel dan sekutunya.

Susulan perang Israel-Hamas yang mula pada Oktober 2023, Houthi menyerang kapal-kapal yang mereka anggap terkait dengan Israel di Laut Merah -- yang dilalui 12 peratus perdagangan maritim global. Serangan Houthi, yang kumpulan itu katakan adalah sebahagian daripada solidariti mereka dengan warga Palestin di Gaza -- mencetuskan kebimbangan perang Israel-Hamas Gaza meluas di Timur Tengah. 

Amerika Syarikat, Britain serta lapan negara sekutu berkata serangan mereka bertujuan "mengurangkan ketegangan". Namun, Iran dan kerajaan lain mengecam tindakan negara-negara Barat itu dan memberi amaran bahawa pergolakan boleh menjadi lebih teruk.

Gambar itu juga dikongsi dengan dakwaan serupa di catatan Facebook ini dan ini.

Foto itu dikongsi dalam siaran serupa di X dalam bahasa Inggeris di pelbagai negara, seperti Pakistan, India, Nepal, Somalia, Nigeria dan Amerika Syarikat, serta juga dalam bahasa Arab dan bahasa Indonesia.

Kebakaran di Arab Saudi

Carian imej terbalik di Google mendapati gambar itu pada asalnya diterbitkan oleh agensi berita Reuters pada 26 Mac 2022 dalam laporan mengenai serangan Houthi di tapak simpanan minyak di bandar pelabuhan Jeddah, Arab Saudi (pautan arkib).

Kapsyen gambar itu berbunyi: "Pemandangan kebakaran di pusat simpanan petroleum Saudi Aramco di Jeddah, Arab Saudi, selepas satu serangan, pada 25 Mac 2022."

Menurut laporan Reuters, kumpulan Houthi berkata mereka melancarkan serangan ke atas kemudahan tenaga Arab Saudi, meletupkan stesen pengedaran produk petroleum syarikat gergasi minyak Aramco di Jeddah dan menyebabkan kebakaran pada dua buah tangki simpanan. Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dalam serangan tersebut. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin gambar dalam siaran palsu (kiri) dan foto tulen dari Reuters (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar dalam siaran palsu (kiri) dan foto tulen dari Reuters (kanan)

Gambar Reuters itu turut muncul dalam laporan mengenai kebakaran pada ketika itu, seperti akhbar Malaysia The Star, CNN Indonesia dan media Filipina GMA Network (pautan arkib ini, ini dan ini). 

Laporan ini dikemas kini untuk membetulkan kesalahan tarikh bermulanya serangan AS dan UK di Yaman.
24 Januari 2024 Laporan ini dikemas kini untuk membetulkan kesalahan tarikh bermulanya serangan AS dan UK di Yaman.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami