Ribut suria tidak akan sebabkan 'Bumi bergelap beberapa hari berturut-turut' pada 2024: pakar

  • Diterbitkan pada hari Selasa 20/02/2024 pukul 03:07
  • Dikemas kini pada hari Selasa 20/02/2024 pukul 13:19
  • Durasi bacaan 6 minit
  • Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
  • Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Para pakar berkata siaran TikTok yang mendakwa ribut suria akan menyebabkan bumi bergelap selama 17 hari adalah mengelirukan, sambil menyatakan bahawa ribut suria tidak pernah mempunyai kesan sedemikian terhadap planet ini. Walaupun ribut suria yang kuat boleh mengganggu sistem grid elektrik, pakar berkata gangguan itu hanya bersifat sementara dan tidak mungkin meluas.

"Bumi bergelap 17 hari," tulis sebahagian teks yang ditindih pada video TikTok yang dikongsi pada 29 November 2023. "Solar storm, Bumi bergelap selama 17hari dalam kajian." 

Video yang menampilkan langit gelap berserta petir dan kilat sabung-menyabung juga menunjukkan teks bertindih yang menggesa penonton untuk "Persiapkan amalan, fizikal & mental". Ia secara khusus menasihatkan agar mempersiapkan peralatan seperti lampu suluh, lilin dan mancis.

Video berdurasi 14 saat itu telah ditonton lebih 8.5 juta kali.

Image
Tangkapan skrin video mengelirukan, diambil pada 6 Februari 2024

Ribut suria disebabkan oleh letusan kuat di permukaan matahari yang memancarkan sinar elektromagnet. Ini boleh menyebabkan ribut geomagnet kuat yang menjejaskan medan magnet bumi, mengganggu sistem telekomunikasi dan grid elektrik (pautan arkib).

Video itu telah ditonton lebih daripada 36,000 kali selepas turut dikongsi bersama dakwaan yang serupa di TikTok di sini, sini dan sini.

Walaupun ribut suria sekali dalam satu abad boleh menyebabkan lonjakan dalam grid kuasa elektrik sehingga berlaku gangguan bekalan elektrik  dalam tempoh yang lama, pakar memberitahu AFP sangat tidak mungkin fenomena itu menyebabkan Bumi bergelap selama 17 hari (pautan arkib).

Rakaman tidak berkaitan

Hasil carian imej terbalik menerusi Yandex menemui sebuah klip yang serupa dengan ribut petir sebelumnya disiarkan di Instagram di sini pada 21 November 2020, oleh sebuah akaun yang telah menyiarkan beberapa video ribut petir yang serupa (pautan arkib).

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, kapsyen video itu mengatakan: "Sebutkan seorang pemburu ribut. Menara Giant Strobe di Adria. Ribut terbaik yang pernah saya lihat sepanjang tahun dalam semua kejayaannya."

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi rakaman dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video yang dikongsi di Instagram pada 2020 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi rakaman dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video yang dikongsi di Instagram pada 2020 (kanan)

Rakaman itu turut dimuat naik berdefinisi tinggi pada saluran YouTube milik pengguna itu di sini pada 5 September 2020 (pautan arkib).

Menurut keterangan video itu, klip itu menunjukkan "ribut petir matang yang besar ... di atas Perairan Adriatik di sekitar Trieste, Itali."

'Tidak mungkin'

Dr Roslan Umar, pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin, memberitahu AFP bahawa fenomena yang dinyatakan dalam siaran-siaran terbabit adalah tidak mungkin berlaku secara saintifiknya (pautan arkib). 

"Tidak mungkin berlaku gelap selama 17 hari seperti yang ditularkan," katanya. 

Dakwaan mengelirukan itu diedarkan selepas Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat meramalkan matahari akan mencapai "maksimum suria" -- kemuncak kitaran aktiviti semasa -- antara Januari dan Oktober 2024 (pautan arkib).

"Pada masa ini, akan berlaku lonjakan dalam aktiviti suria dan cuaca angkasa yang boleh memberi kesan kepada Bumi (contohnya, gangguan terhadap GPS dan isyarat komunikasi) serta satelit dan juga angkasawan di angkasa," kata seorang jurucakap NASA dari Pusat Penerbangan Angkasa Goddard kepada AFP pada 17 Februari 2024, "namun, tiada bukti menunjukkan ia akan menyebabkan kesan malapetaka dalam tempoh jangka panjang di Bumi" (pautan arkib). 

Dr Nurul Shazana Abdul Hamid dari Jabatan Fizik Gunaan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata walaupun matahari pernah mengalami kemuncak kitaran semasa, apabila aktiviti ribut suria semakin ketara, tiada duluan terhadap fenomena itu yang diramalkan dalam siaran-siaran terbabit (pautan arkib).

"Tidak pernah berlaku kejadian bergelap yang berpanjangan," katanya.

Sangeetha Abdu Jyothi, penolong profesor di Universiti California, Irvine, di Amerika Syarikat, memberitahu AFP bahawa negara di latitud yang lebih tinggi lebih terdedah kepada gangguan berbanding kawasan yang lebih dekat dengan khatulistiwa seperti Malaysia (pautan arkib).

"Ribut suria yang terburuk berpotensi menjejaskan grid kuasa, komunikasi satelit dan kabel dasar selam," katanya.

Nurul Shazana juga berkata walaupun ribut suria adalah sebahagian semula jadi dalam kitaran suria, ia boleh mengganggu teknologi dan infrastruktur.

Tetapi "kerosakan yang ketara dan meluas jarang berlaku," kata beliau. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami