Imej 'Mahathir Mohamad berbaring di hospital' ini hasil suntingan

  • Diterbitkan pada hari Sabtu 24/02/2024 pukul 08:38
  • Dikemas kini pada hari Sabtu 24/02/2024 pukul 09:07
  • Durasi bacaan 6 minit
  • Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah dimasukkan ke hospital beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi gambar beliau di atas katil dengan memakai alat bantuan pernafasan oksigen ialah imej yang diubah secara digital. Gambar yang beredar dalam talian itu sebenarnya merupakan imej stok seorang pesakit di atas katil hospital yang telah diubah dengan memasukkan wajah yang terlihat seperti Mahathir.

"Innalillahhiwainnaillahiraajiuuun.... Doa kan semoga beliau cepat sembuh dan discharge dalam masa terdekat. Aamiin³x Banyak urusan dan hal berkait....," tulis kapsyen catatan yang dikongsi pada 18 Februari 2024 dalam sebuah kumpulan Facebook dengan lebih daripada 22,700 ahli.

Catatan itu memuat naik imej hitam-putih yang sepertinya menunjukkan seorang lelaki warga emas berbaring di atas katil dengan alat bantuan pernafasan oksigen itu.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 21 Februari 2024

Siaran itu muncul beberapa hari selepas Mahathir Mohamad dilaporkan dibawa ke hospital pada akhir Januari 2024 akibat jangkitan dan akan mengambil tempoh rehat (pautan arkib).

Bekas perdana menteri berusia 98 tahun itu telah mengalami beberapa kali masalah jantung sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk sekurang-kurangnya dua serangan jantung, dan telah menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan pintasan jantung (pautan arkib).

Beliau juga dibawa ke hospital pada Ogos 2023, Januari 2022 dan Disember 2021 untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Imej diubah itu dikongsi di kumpulan Facebook lain, dengan jumlah keseluruhan lebih daripada 103,000 ahli, seperti di sini, di sini, di sini dan di sini.

Semua siaran itu mendapat lebih 220 komen secara keseluruhannya, dengan pelbagai pengguna Facebook dilihat percaya imej itu adalah foto Mahathir di hospital.

“Semoga Tun Mahathir Mohamed cepat sembuh sepenuhnya,” tulis seorang pengguna.

"Kesian Tun," kata pengguna lainnya. 

Image
Tangkapan skrin komen pengguna Facebook

Walau bagaimanapun, dakwaan itu palsu. 

Carian imej terbalik di Yandex mendapati imej itu telah diubah secara digital dengan menambahkan gambar wajah yang terlihat seperti Mahathir.

Gambar asal pesakit yang memakai alat bantuan oksigen itu diterbitkan oleh agensi foto Getty Images di sini pada 16 November 2016 (pautan arkib).

Menurut kapsyen gambar asal terbabit, satu imej stok menunjukkan seorang "wanita warga emas berbaring di atas katil hospital dengan alat pernafasan di hidungnya".

Image
Tangkapan layar foto tulen pada laman web Getty Images (Yenni KWOK)

Tangan, mulut dan hidung pesakit itu serta gelang tangan hospital dan alat pernafasan oksigen dilihat sepadan dengan apa yang dilihat dalam imej yang diubah itu. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej yang diubah (kiri) dan gambar tulen daripada Getty Images (kanan), dengan persamaan ditandakan AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej yang diubah (kiri) dan gambar tulen daripada Getty Images (kanan)

Imej stok itu juga digunakan dalam satu laman maklumat tentang penjagaan terapeutik untuk pesakit Covid-19 yang diterbitkan oleh Institut Kesihatan Kebangsaan AS (pautan arkib).

Dua gambar yang menunjukkan Mahathir sedang menulis dan membaca akhbar telah disiarkan di akaun Instagram rasminya pada 20 Februari 2024 (pautan arkib).

Bekas perdana menteri itu "kini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), sejak 26 Januari 2024. Beliau masih lagi dalam proses pemulihan," menurut kapsyen siaran itu. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami