Siaran palsu dakwa rancangan jenama Yeo's 'untuk buat minuman daripada darah babi'

Pembuat minuman Yeo's memberitahu AFP bahawa mereka tidak akan mencipta minuman baharu yang mengandungi darah babi, bertentangan dengan dakwaan palsu yang tersebar di media sosial di Malaysia. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga mengesahkan pensijilan halal syarikat itu di Malaysia kekal sah. Rakaman berita yang dipakai dalam dakwaan palsu sebenarnya menyebut "Veos", syarikat di Belgium -- bukan Yeo's. 

"YEOS akan tampil dgn air minuman baru dari darah babi. HINDARI MINUMAN JENAMA YEOS MULAI DARI SKRG. Kita tak tahu bila jenis minuman itu akan diedarkan!!!" tulis satu catatan di Facebook pada 5 Februari 2024. 

Catatan itu memuat naikkan klip berdurasi 48 saat daripada 15 Minit MMTV, sebuah program berita dalam talian (pautan arkib).

Laporan itu menyebut sebuah syarikat bernama Veos, tetapi tidak menyebut Yeo's, jenama minuman popular dengan ibu pejabat di negara jiran Singapura (pautan arkib).

Penyampai berita itu berkata: "Syarikat Veos mampu menghasilkan air dengan memproses darah dan kolagen haiwan sehingga menjadi serbuk protein berkualiti tinggi yang kemudiannya boleh digunakan dalam penghasilan produk makanan manusia dan haiwan."

Teks di atas klip berbunyi "Kita Berada di Akhir Zaman" manakala satu lagi teks di bawah video bertulis: "Darah Babi Diproses Jadi Minuman."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 20 Februari 2024

Tuntutan palsu telah beredar sejak sekurang-kurangnya Jun 2023 dan muncul semula pada Februari 2024 di Facebook di sini dan di sini.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu palsu. 

Syarikat 'Veos' di Belgium

Carian imej terbalik di Google mendapati laporan 15 Minit MMTV telah disiarkan ke akaun TikTok miliknya pada 10 Jun 2023, dengan kapsyen yang berbunyi: "Darah babi diproses jadi minuman" (pautan arkib).

Yeo's tidak disebut di mana-mana dalam laporan itu.

Ia bermula dengan pembawa berita berkata: "Sebuah syarikat di Belgium mencipta teknologi penyulingan air yang berupaya memproses darah babi menjadi air minuman baharu."

Syarikat yang bernama Veos itu mengumumkan pelaburannya dalam teknologi dalam kenyataan media di laman webnya (pautan arkib ini dan ini).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan klip tulen daripada 15 Minit MMTV (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan klip tulen daripada 15 Minit MMTV (kanan)

Sijil halal masih sah

Wakil untuk Yeo's memberitahu AFP bahawa dakwaan itu adalah "berita palsu".

Yeo's merujuk AFP kepada kenyataan yang diterbitkan di halaman Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  pada 2 Februari 2024 (pautan arkib).

Yeo's Malaysia turut berkongsi semula kenyataan itu di halaman Facebook rasminya (pautan arkib).

Sebahagian kenyataan itu berbunyi: "Untuk makluman semua, syarikat yang dimaksudkan dalam video berkenaan ialah Syarikat Veos yang beroperasi di negara Belgium dan tiada sebarang kaitan dengan produk jenama Yeo's keluaran Syarikat Yeo Hiap Seng (Malaysia) Sdn Bhd yang merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah."

Rekod agensi menunjukkan Yeo Hiap Seng (Malaysia) Sdn Bhd memegang sijil halal yang sah sehingga Mei 2026, seperti yang ditunjukkan dalam tangkapan skrin Portal Rasmi Halal Malaysia di bawah (pautan arkib):

Image
Tangkapan skrin pensijilan halal yang sah Yeo Hiap Seng (Malaysia) Sdn Bhd daripada Portal Rasmi Halal Malaysia

AFP sebelumnya menerbitkan laporan semakan fakta tentang dakwaan palsu yang menyasarkan status halal jenama makanan dan minuman lain, termasuk Starbucks, Coca-ColaAjinomoto dan jenama bubble tea Tealive.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami