Iklan KFC ini disalah tafsirkan, tak ada kaitan dengan perang Israel-Hamas

Pengguna media sosial berkongsi dakwaan palsu bahawa KFC memperolok-olokkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang Israel-Hamas dalam siaran media sosial mereka. KFC telah memadamkan siaran iklannya yang menggunakan tanda pagar "NoTentsJustChicken". Tetapi rangkaian makanan segera dari Amerika Syarikat (AS) itu berkata siaran itu merujuk pada perbualan dalam talian mengenai hilangnya khemah milik agensi kerajaan Antigua dan Barbuda, negara di Caribbean -- bukan konflik di Gaza.

"KFC dalam siaran terbarunya: Maaf kami tiada khemah di sini cuma ayam yang sedap," bunyi kapsyen catatan yang dikongsi di Facebook pada 19 Februari 2024.  "Adakah mempersendakan perkara ini menjadi perkara biasa?" 

Catatan itu berkongsi tangkapan skrin siaran dari laman Facebook rasmi KFC dalam bahasa Inggeris.

Diterjemahkan ke bahasa Melayu, kapsyen siaran KFC itu berkata: "Maaf, tiada khemah di sini, hanya daging ayam yang sedap, seperti yang anda suka untuk menyerikan hujung minggu anda. #NoTentsJustChicken #KFCAntigua."

Catatan itu diletakkan dalam album bernama: "SAVE PALESTINE SAVE GAZA"

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 23 Februari 2024

Kira-kira 1.9 juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza telah kehilangan tempat tinggal sejak perang Israel-Hamas mulai pada 7 Oktober 2023. Sekitar 1.4 juta dari mereka tinggal di tempat perlindungan yang sesak dan kem berkhemah di bandar Rafah, di selatan Gaza.

Tangkapan skrin itu turut dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebok di sini, di sini, di sini dan di sini

Tuduhan serupa juga muncul dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Dakwaan tentang KFC itu tidak benar. 

Iklan KFC baru-baru ini bukanlah satu ejekan yang ditujukan kepada penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan, kata syarikat restoran makanan segera Amerika itu kepada AFP.

"Siaran ini dikongsi oleh saluran media sosial KFC Antigua dengan niat untuk menyertai trend perbualan di Antigua berkaitan khemah yang dilaporkan hilang oleh Antigua Public Utilities Authority (APUA)," kata jurucakap KFC dalam e-mel  pada 20 Februari 2024.

"Siaran ini sama sekali tidak berkaitan dengan konflik di Timur Tengah dan telah dipadamkan apabila kami menyedari ia disalah tafsir. Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang berlaku."

APUA merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atas kuasa elektrik, telekomunikasi dan perkhidmatan air di Antigua, salah satu daripada dua pulau utama di Antigua dan Barbuda, sebuah negara di Caribbean (pautan arkib). 

Pada 15 Februari 2024, pihak APUA, menyiarkan di Facebook bahawa salah satu khemahnya yang digunakan untuk sesi latihan telah "hilang" dan "disyaki dicuri" (pautan arkib).

Pengumuman APUA menjadi bahan olok-olok di Antigua (pautan arkib). Selepas itu, beberapa syarikat tempatan, termasuk francais KFC tempatan dan North Coast Hardware, kedai perkakasan tempatan, menggunakan insiden khemah hilang sebagai strategi pemasaran (pautan arkib ini dan ini)

KFC Antigua menyiarkan iklan itu di halaman Facebooknya pada 17 Februari 2024, di mana dapat dilihat bahawa beberapa pengguna menyebut tentang APUA di bahagian komen. Catatan KFC Antigua itu kini telah dipadamkan.

Dalam catatan susulan pada 18 Februari 2024, APUA berkongsi foto khemah tersebut dengan kapsyen jenaka (pautan arkib).

Menanggapi siaran APUA, KFC menulis komen: "Kami fikir yang ini lebih ditujukan kepada North Coast Hardware dan bukan kami" (pautan arkib).

AFP telah menafikan maklumat salah lain yang berkaitan dengan perang Israel-Hamas di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami