Kerajaan sangkal dakwaan 'duit bank hilang selepas daftar PADU'

  • Diterbitkan pada hari Rabu 06/03/2024 pukul 07:46
  • Dikemas kini pada hari Rabu 06/03/2024 pukul 09:26
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Kerajaan menjamin sistem Pangkalan Data Utama sangat selamat dan berkata adalah tak benar dakwaan bahawa orang ramai kehilangan duit akaun bank selepas mendaftar PADU. Kementerian Ekonomi menafikan dakwaan itu sebagai "palsu", manakala Bank Negara Malaysia mengesahkan bahawa PADU tidak dikaitkan dengan mana-mana sistem maklumat perbankan.

"PADU MEMBAWA PADAH...Ramai kehilangan duit selepas daftar PADU," tulis satu siaran yang dikongsi di sini oleh sebuah akaun Facebook yang memiliki lebih 7,000 pengikut pada 8 Februari 2024.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 27 Februari 2024

Pangkalan Data Utama (PADU) adalah sebuah platform dalam talian yang bertujuan untuk menjadi repositori data pusat yang akan digunakan untuk mengagihkan bantuan dan subsidi bersasar kepada rakyat Malaysia (pautan arkib). 

Orang awam diberi tempoh tiga bulan sehingga 31 Mac 2024 untuk mengemas kini dan mengesahkan maklumat mereka dengan hab pangkalan data negara itu. 

Sejak pelancarannya pada 2 Januari 2024, PADU telah menerima kritikan dan kebimbangan daripada orang ramai serta para pakar mengenai kelemahannya, potensi penyalahgunaan dan keselamatan data.

Dakwaan palsu yang serupa tentang potensi kesan sistem itu terhadap akaun-akaun bank turut dikongsi di sini, di sini dan di sini di Facebook.

Maklumat 'palsu'

Bagaimanapun, Kementerian Ekonomi berkata dakwaan itu adalah palsu.

Menerusi satu catatan di Facebook rasmi pada 8 Februari 2024, kementerian itu berkongsi tangkapan skrin siaran palsu terbabit, ditindih dengan teks "PALSU" (pautan arkib).

"Tular mesej di aplikasi Facebook dan WhatsApp mengenai kehilangan duit dari akaun bank selepas pendaftaran PADU. Sekiranya anda menerima mesej seperti gambar yang tertera, maklumat tersebut adalah PALSU," kata menteri itu dalam catatan tersebut. 

"Berhati-hati dan semak dengan saluran rasmi kerajaan sebelum berkongsi apa-apa maklumat daripada sumber tidak rasmi."

Image
Tangkapan skrin kenyataan Kementerian Ekonomi, diambil pada 27 Februari 2024

Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan bahawa PADU tidak dikaitkan dengan mana-mana sistem maklumat perbankan.

Bagaimanapun, BNM memberitahu AFP pada 5 Mac 2024 bahawa terdapat beberapa kes di mana penipu menggunakan nama "PADU" dalam penipuan pancingan data yang memperdaya mangsa untuk mendedahkan maklumat akaun mereka melalui platform pemesejan segera.

"BNM menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan pautan boleh diklik yang diterima atau dikongsi melalui media sosial dan mesej daripada nombor telefon yang tidak dikenali untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan," tambahnya.

Polis menjelaskan pada 9 Februari 2024 bahawa beberapa individu di negeri Terengganu yang dilaporkan kehilangan wang daripada akaun bank mereka itu adalah berikutan kes penipuan dan kes itu tiada kaitan dengan PADU (pautan arkib).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi jaminan pada 23 Februari 2024 bahawa PADU "sangat selamat", sambil menekankan bahawa keselamatan data sistem itu sentiasa dipantau (pautan arkib).

Terdahulu pada Disember 2023, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengesahkan bahawa pangkalan data itu tidak akan diintegrasikan dengan sistem maklumat bank (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami