Ini video kapal karam di Oman dan Brazil, bukan 'kapal Rubymar diserang Houthi di Laut Merah'

Dua video beredar dengan naratif palsu bahawa ia adalah rakaman kapal Rubymar, kapal kargo British, sedang karam selepas diserang oleh kumpulan Houthi di Laut Merah. Kedua-dua video itu sebenarnya menunjukkan dua kapal karam di lokasi yang berbeza, iaitu di Oman pada 2013 dan di Brazil pada 2020.

"Serangan Tentara Yaman Menenggelamkan Kapal Rubymar Terdaftar di Inggris," tulis sebahagian kapsyen pada video, yang dikongsi di Facebook oleh seorang pengguna dari Malaysia pada 23 Februari 2024.

Video itu telah ditonton lebih 40 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu pertama, diambil pada 7 Mac 2024

Video lain, yang menunjukkan sebuah kapal berwarna merah, putih dan biru tenggelam di tengah laut, dikongsi di Facebook pada 20 Februari 2024.

Sebahagian kapsyen pada video itu berkata: "Pemandangan menakjubkan tenggelamnya kapal Inggeris RUBYMAR, yang menjadi sasaran lelaki berani Ansarullah Yaman pada petang Isnin".

Video kedua itu mendapat tontonan lebih 30 kali. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu kedua, diambil pada 7 Mac 2024

Video berdurasi 30 saat ini telah ditonton lebih 100 kali selepas dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebook ini, ini, ini dan ini.

Kedua-dua video itu turut tersebar dalam siaran pelbagai bahasa, seperti bahasa Indonesiabahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Turki, bahasa Arab, bahasa Sepanyol dan bahasa Thai.

Siaran-siaran itu muncul ketika sedang meningkatnya serangan kumpulan Houthi -- yang secara rasmi menggelarkan diri mereka Ansarullah (Penyokong Allah) -- ke atas kapal komersial di Laut Merah (pautan arkib). 

Sejak November 2023, pemberontak Houthi, yang menguasai sebahagian besar Yaman, mula menyerang aktiviti perkapalan di Laut Merah. Mereka berkata serangan itu adalah satu bentuk solidariti terhadap penduduk Palestin di Gaza yang telah berbulan-bulan dibom Israel. 

Hal ini telah menimbulkan kebimbangan meningkatnya konflik di Timur Tengah selepas perang Israel-Hamas di Gaza. 

Pada 19 Februari 2024, Yahya Saree, jurucakap tentera Houthi, mengumumkan mereka telah menyerang tiga kapal, termasuk Rubymar yang berdaftar di UK (pautan arkib). 

UKMTO, agensi keselamatan maritim Britain, mengesahkan bahawa serangan Houthi berlaku pada 18 Februari 2024 ketika Rubymar melalui Selat Bab al-Mandeb, yang menghubungkan Laut Merah dan Teluk Aden (pautan arkib). Susulan serangan itu, anak kapal terpaksa meninggalkan kapal.

Komando Pusat Amerika Syarikat menyatakan pada 2 Mac 2024 bahawa Rubymar "tenggelam di Laut Merah selepas diserang" peluru berpandu balistik anti-kapal.

Bagaimanapun, kedua-dua video yang dikongsi di media sosial itu tiada kaitan dengan serangan Houthi atau kapal Rubymar.

Video pertama

Carian imej terbalik menerusi keyframe video mendapati klip pertama itu telah tersebar di media sosial beberapa tahun sebelum serangan Houthi (pautan arkib).

Menurut kapsyen siaran YouTube, video itu dirakam ketika kapal kargo Turki Atlantik Confidence sedang karam di luar pantai Oman pada April 2013 selepas bilik enjinnya terbakar (pautan arkib di sini dan di sini).

Tangkapan skrin video itu juga digunakan dalam laporan berita media Turki tentang bencana kapal Atlantik Confidence (pautan arkib).

Di bawah ialah tangkapan skrin laporan media Turki:

Image
Tangkapan skrin laporan di laman berita Turki, diambil pada 21 Februari 2024

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video palsu pertama (kiri) dan gambar di laporan berita Turki (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video palsu pertama (kiri) dan gambar di laporan berita Turki (kanan)

Video kedua

Carian imej terbalik menerusi keyframe video menemui klip kedua sebelumnya muncul dalam laporan berita pada Jun 2020 mengenai kes kapal kargo Stellar Banner yang dikaramkan di Brazil (pautan arkib ini dan ini).

Stella Banner, sebuah kapal Korea Selatan yang ketika itu membawa bijih besi, terkandas di lepas pantai Brazil pada Februari 2020 selepas menyimpang dari laluan perkapalannya. 

Tiga bulan kemudian, kapal itu sengaja ditenggelamkan selepas kos baik pulihnya didapati melebihi nilai insurans (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video palsu kedua (kiri) dan video tulen tahun 2020 (kanan): 

Image
Perbandingan tangkapan skrin video palsu kedua (kiri) dan video tulen tahun 2020 (kanan)

AFP Semakan Fakta sebelum ini telah menyangkal maklumat salah tentang serangan Houthi di Laut Merah di sini, di sini, di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami