Dakwaan palsu 'Brazil menamatkan hubungan diplomatik dengan Israel' tersebar di media sosial
- Diterbitkan pada hari Rabu 06/03/2024 pukul 04:07
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Natalie WADE, AFP Amerika Syarikat, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"TERKINI | Brazil menamatkan semua hubungan diplomatik dengan Israel," tulis kapsyen catatan di X pada 20 Februari 2024.
Siaran yang turut memuat naik gambar Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva telah dikongsikan lebih daripada 3,600 kali dan mendapat lebih 6,600 tanda suka (pautan arkib).
Dakwaan serupa juga muncul di Facebook.
Siaran yang berkongsi dakwaan itu di Instagram, serta di TikTok di sini dan di sini, telah ditonton lebih daripada 1,2 juta kali dan mendapat lebih 64,600 tanda suka.
Naratif itu juga beredar dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris dan bahasa Portugis.
Semua siaran itu dikongsi beberapa hari selepas Presiden Brazil Lula Da Silva menyifatkan operasi ketenteraan Israel di Gaza sebagai "pembunuhan beramai-ramai".
Apa yang berlaku di Semenanjung Gaza "bukan perang. Ia adalah pembunuhan beramai-ramai," kata Lula kepada wartawan semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika di Addis Ababa, Ethiopia, pada 18 Februari 2024.
"Apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza tidak pernah berlaku dalam sejarah. Sebenarnya, ia pernah berlaku: apabila Hitler memutuskan untuk membunuh orang Yahudi," tambahnya.
Pada 7 Oktober 2023, kumpulan militan Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, yang menurut angka rasmi terkini oleh pihak berkuasa Israel sekitar 1,160 nyawa terkorban, kebanyakannya orang awam.
Israel bertindak balas dengan mengebom Semenanjung Gaza selama berbulan-bulan. Pada akhir Februari 2024, angka kematian akibat serangan tentera Israel itu telah melepasi 30,000 -- kebanyakannya wanita dan kanak-kanak -- menurut kementerian kesihatan di wilayah Palestin yang dikuasai Hamas.
Lula, yang sebelum ini mengutuk serangan Hamas pada awal Oktober 2023 sebagai tindakan "pengganas", kini menjadi semakin kritis terhadap kempen ketenteraan Israel itu.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata komen Lula itu telah "melampaui batas".
Menteri luar Israel, Israel Katz, mengisytiharkan presiden Brazil itu sebagai "persona non grata" dan berkata Lula tidak lagi dialu-alukan di negara mereka sehingga beliau menarik balik komennya itu dan memohon maaf.
Hasil daripada respons Israel, Brazil memanggil semula dutanya, Frederico Meyer. Bagaimanapun, kedua-dua negara itu tidak memutuskan hubungan diplomatik mereka, seperti yang didakwa dalam siaran palsu itu.
“Kami telah menarik balik duta kami, tetapi ini tidak bermakna berakhirnya semua hubungan diplomatik antara Israel dan Brazil,” kata seorang pegawai media di Kementerian Luar Brazil kepada AFP pada 27 Februari 2023.
Tambah beliau, kedutaan Brazil di Tel Aviv masih dibuka (pautan arkib).
Sehingga 6 Mac 2023, Israel masih belum memanggil semula dutanya di Brazil, Daniel Zohar Zonshine (pautan arkib).
AFP sudah cuba mendapatkan komen daripada perwakilan diplomatik Israel di Sao Paulo dan Washington, D.C., namun gagal.
Beberapa negara, termasuk Afrika Selatan dan Turki, telah menarik balik duta mereka dari Israel sejak konflik Israel-Hamas tercetus (pautan arkib). Sekurang-kurangnya dua negara, Belize dan Bolivia, telah memutuskan hubungan diplomatik dengan negara itu (pautan arkib).
Sebilangan negara, termasuk Malaysia dan Brazil, menyokong permohonan Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, yang mendakwa bahawa serangan Israel ke atas Gaza adalah melanggar Konvensyen Genosid (pautan arkib ini, ini dan ini).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami