Kematian jurubank Britain sekali lagi mencetuskan maklumat salah mengenai keluarga Rothschild
- Diterbitkan pada hari Rabu 20/03/2024 pukul 09:49
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: AFP Malaysia, AFP Amerika Syarikat
- Terjemahan dan adaptasi Syafique SHUIB
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Keluarga besar Yahudi memiliki kekayaan dunia moden," bunyi tulisan pada video berdurasi 13 saat yang dimuat naik di TikTok pada 26 Februari 2024. "Lord Jacob Rothschild meninggal dunia hari ini di usia 87 Tahun."
Video yang telah ditonton lebih dari 53,600 kali itu menampilkan foto Jacob Rothschild, jurubank Britain yang diberitakan meninggal dunia pada 26 Februari 2024 dalam usia 87 tahun.
Tulisan pada video turut mendakwa Rothschild adalah "manusia paling terkaya dunia moden hari ini".
Tuntutan serupa telah beredar sebelum Rothschild meninggal dunia, seperti dalam siaran TikTok ini dan ini, yang telah ditonton lebih daripada 53.000 kali. Di sana disebutkan keluarga Rothschild adalah "keluarga terkaya di dunia" dengan jumlah kekayaan "dipercayai melebihi 1 trilion US dolar".
Naratif mengenai kekayaan keluarga Rothschild yang dikatakan mencecah trilion dolar AS dan pengaruh mereka dalam mengawal bank pusat di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat, muncul dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris.
Keluarga Rothschild telah terlibat dalam dunia perbankan sejak abad ke-18 dan berkembang menjadi salah satu keluarga terkaya di dunia pada era itu (pautan arkib).
Walau bagaimanapun, dakwaan bahawa Rothschild mengawal bank pusat dan bernilai trilion dolar adalah palsu dan merupakan sebahagian daripada teori konspirasi antisemitik yang menyasarkan dinasti perbankan Yahudi tersebut (pautan arkib ini dan ini).
Kekayaan trilion dolar?
Naratif bahawa keluarga Rothschild mempunyai aset berjumlah trilion dolar AS adalah tidak masuk akal.
Laporan oleh UBS, bank Switzerland, menganggarkan jumlah kekayaan keluarga Rothschild di seluruh dunia pada $454 bilion menjelang akhir 2022 (pautan arkib).
Syarikat perbankan utama yang sebelum ini bergabung dengan Jacob Rothschild ialah Rothschild & Co, yang berpangkalan di UK, dengan permodalan pasaran kira-kira $3 bilion pada akhir Februari 2024 (pautan arkib).
Syarikat lain yang dikaitkan dengan keluarga Rothschild ialah Edmond de Rothschild, sebuah syarikat kewangan yang beribu pejabat di Switzerland, dengan nilai pasaran kira-kira $1.3 bilion dolar (pautan arkib).
Terdapat beberapa anggaran berbeza mengenai sejauh mana kekayaan keluarga Rothschild, kebanyakannya tanpa sumber terperinci. Tiada satu pun daripada anggaran ini sepadan dengan nombor yang disebut dalam catatan palsu:
- Senarai orang terkaya Britain menurut akhbar British The Sunday Times menganggarkan nilai bersih keluarga Rothschild adalah sekitar 825 juta pound sterling pada 2023, atau hanya lebih $1 bilion (pautan arkib).
- Tiada seorang pun ahli keluarga Rothschild disebut dalam senarai orang dan keluarga terkaya di dunia oleh agensi berita Bloomberg (pautan arkib ini dan ini). Sehingga 28 Februari 2024, senarai orang terkaya di dunia diketuai oleh Elon Musk dengan kekayaan $213 bilion, tetapi pada 8 Mac 2024, dia telah tergelincir ke tempat ketiga, di bawah Bernard Arnault, bilionair Perancis, dan Jeff Bezos, bilionair Amerika. Sementara itu, dalam senarai keluarga terkaya, tempat pertama diduduki oleh keluarga Al Nahyan, pemerintah Emiriah Arab Bersatu, dengan kekayaan sekitar $300 bilion.
- Senarai Real Time Billionaires oleh Forbes memberikan gambaran serupa, dengan Arnault dan keluarganya tepat di atas Bezos dan Musk pada $229.2 bilion (pautan arkib). Seorang lelaki bernama Jeff Rothschild, bernilai kira-kira $5.7 bilion, tidak berkaitan dengan keluarga perbankan British Rothschild, menurut majalah Forbes (pautan arkib).
Kawal bank pusat?
Siaran media sosial mengatakan bahawa keluarga Rothschild mengawal bank pusat di banyak negara, termasuk bank pusat AS, iaitu Rizab Persekutuan, atau The Fed.
AFP sebelum ini menolak dakwaan bahawa Fed dimiliki oleh keluarga Rothschild dan individu kaya yang lain.
Kongres AS membentuk bank pusat AS, manakala bank serantau Fed dibentuk sebagai entiti awam-swasta. Bank-bank serantau ini dikehendaki menyerahkan keuntungan daripada operasi pemberian pinjaman kepada Jabatan Perbendaharaan AS.
Kebanyakan bank pusat dunia dimiliki oleh kerajaan mereka, dan hanya beberapa yang mempunyai pelabur swasta, menurut catatan blog Bank of England pada Oktober 2019 (pautan arkib).
Bank of Japan, sebagai contoh, memerlukan pemilikan negara sebanyak 55 peratus, manakala European Central Bank dimiliki oleh bank pusat negara anggota Kesatuan Eropah (pautan arkib ini dan ini).
AFP tidak menemui maklumat mengenai pelaburan dalam bank pusat di laman web Rothschild & Co atau Edmond de Rothschild.
AFP sebelum ini menafikan dakwaan bahawa keluarga Rothschild memiliki Bank of France dan memiliki agensi berita Reuters dan Associated Press.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami