Ini video burung mati beku di Dakota Selatan, AS -- bukan 'ketika musim sejuk di Xinjiang, China'
- Diterbitkan pada hari Khamis 21/03/2024 pukul 08:32
- Dikemas kini pada hari Khamis 21/03/2024 pukul 09:36
- Durasi bacaan 7 minit
- Oleh: Carina CHENG, AFP Hong Kong, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Suhu turun mendadak ke -52C (-61.6F) menyebabkan kematian ribuan ekor itik di selatan Xinjiang, China," tulis kapsyen video yang disiar di Instagram di sini pada 21 Februari 2024.
"Penurunan suhu sehingga -52.3C merupakan yang terendah dalam tempoh 64 tahun sekaligus memecahkan rekod negara itu. (-63.4C di Amerika)."
Dalam rakaman video terlihat banyak burung mati di sebuah tasik yang berais, dengan tulisan: "Xinjiang, China" dan "Penurunan suhu mendadak di selatan Xinjiang, perubahan iklim atau buatan manusia?"
Video berdurasi 18 saat itu telah ditonton lebih daripada 1,000 kali.
Video itu mendapat jumlah tontonan lebih 200 kali selepas turut dikongsi di platform media sosial lain, iaitu Facebook dan TikTok.
Rakaman itu juga muncul dalam siaran palsu di X dalam bahasa China, bahasa Inggeris dan bahasa Thai, serta di Facebook dalam bahasa Burma dan bahasa Hindi.
Siaran itu diedarkan dalam talian selepas Xinhua, agensi berita kerajaan China, melaporkan bahawa Xinjiang merekodkan suhu terendah, iaitu -52 darjah Celsius, pada 18 Februari 2024 (pautan arkib).
Tetapi video itu sebelum ini dikongsi oleh seorang pengguna media sosial yang berkata ia dirakam di Dakota Selatan, negeri bahagian Amerika Syarikat, dan pakar memberitahu AFP bahawa burung itu bukan spesies yang ditemui di China.
'Ais di Dakota Selatan'
Carian imej terbalik di Google menerusi keyframe video yang dikongsi secara palsu menemui klip yang sama disiarkan di Instagram oleh seorang jurugambar bernama Sean Weaver di sini pada 17 Februari 2024 (pautan arkib ini dan ini).
Weaver menulis pada kapsyen siaran itu: "SUNTING: burung-burung ini mati dua bulan lalu. Video dirakam dua hari lalu dan merupakan kematian besar-besaran paling teruk pernah saya lihat. Terlihat dalam video mereka masih kecil dan mereka membeku di dalam ais di Dakota Selatan menandakan ini BUKAN baharu.
"Dihantar kepada saya oleh rakan saya Nate ... Saya tak tahu harus berkata apa. Selesema burung? Suhu beku mendadak? Kedua-duanya?"
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video tulen (kanan):
Weaver memberitahu AFP pada 12 Mac 2024 bahawa video itu "dirakam pada 9 Februari di Goose Lake," sebuah tasik "terletak di barat daya Watertown, Dakota Selatan" (pautan arkib).
"Ini adalah angsa salji yang lebih kecil, spesies yang berasal dari Amerika Utara, yang tidak tinggal di China dalam apa jua kapasiti," katanya (pautan arkib).
Weaver memberitahu majalah Outdoor Life bahawa video itu dihantar kepadanya oleh rakannya Nate Phinney, yang merakamnya di Watertown, Dakota Selatan (pautan arkib).
'Tidak ditemui di China'
Chris Elphick, profesor madya ekologi dan biologi evolusi di Universiti Connecticut, AS, memberitahu AFP dalam e-mel bahawa burung dalam video itu kebanyakannya kelihatan seperti angsa salji, yang "tidak sepadan dengan mana-mana spesies angsa liar yang terdapat di China" (pautan arkib).
Beliau berkata punca kematian burung itu tidak dapat disahkan tanpa membuat ujian ke atas mereka untuk mengesan penyakit atau bedah siasat.
"Seperti yang dinyatakan di Instagram, kebanyakannya adalah anak burung, yang mana seseorang akan menjangkakan sebagai kumpulan yang paling terdedah dalam populasinya," kata Elphick.
Ming Ma, naib presiden Persatuan Ornitologi Cina dan profesor di Akademi Sains China, memberitahu AFP dakwaan itu "tidak masuk akal" (pautan arkib).
Dalam email bertarikh 11 Mac 2024, beliau berkata suhu yang rendah tidak akan membunuh burung-burung dalam jumlah yang banyak.
Feng Xu, profesor madya di Akademi Sains China, memberitahu AFP: "Burung ini tidak ditemui di Xinjiang" (pautan arkib).
“Setahu saya, tiada kematian burung beramai-ramai di Xinjiang pada musim sejuk ini akibat penurunan suhu mendadak atau selesema burung,” tambahnya.
Carian kata kunci tidak menemui laporan rasmi mengenai kematian burung besar-besaran di Xinjiang pada musim sejuk ini.
"Platform penafian khabar angin" rasmi Xinjiang, yang dihoskan oleh Suruhanjaya Pusat Hal Ehwal Ruang Siber yang bergabung dengan Xinhua, juga telah menafikan siaran-siaran yang berkongsi video burung mati yang tidak berkaitan (pautan arkib ini dan ini).
Dakwaan itu juga telah disangkal oleh organisasi semakan fakta yang berpangkalan di UK Full Fact di sini (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami