
Ini gambar bangunan condong akibat gempa bumi Taiwan pada 2018, bukan 'pada 2024'
- Diterbitkan pada hari Selasa 09/04/2024 pukul 11:52
- Dikemas kini pada hari Rabu 10/04/2024 pukul 09:56
- Durasi bacaan 5 minit
- Oleh: Jan Cuyco, AFP Filipina, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Gambar itu dikongsikan di Facebook pada 3 April 2024 oleh syarikat radio yang berpangkalan di Sabah dalam siaran tentang gempa bumi di Taiwan.
Imej itu menunjukkan sebuah bangunan tinggi berada dalam kedudukan condong dengan teks pada gambar berbunyi: "Gempa bumi Taiwan : Tiada ancaman tsunami di Malaysia".
Sementara kapsyen siaran terbabit berbunyi: "Gempa bumi itu dikesan berpusat di 23.7 darjah utara dan 122.0 darjah timur dengan kedalaman 47 kilometer, kira-kira 130 kilometer ke arah tenggara Taichung, Taiwan."

Pada 3 April 2024, gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda bandar Hualien, di bahagian timur Taiwan, mencetuskan amaran tsunami di Jepun dan Filipina sebelum ia ditarik balik.
Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 1,100 cedera akibat gempa bumi, yang paling kuat pernah melanda pulau itu dalam tempoh 25 tahun.
Sejumlah bangunan di Hualien rosak dan condong kerana gempa. Walau bagaimanapun, kod bangunan ketat dan tahap kesiapsiagaan bencana meluas mengelakkan terjadinya malapetaka lebih besar.
Syarikat radio tempatan Sabah itu juga berkongsi siaran serupa di Telegram.
Dua gambar serupa dimuat naikkan oleh seorang pengguna Facebook lainnya dalam catatan tentang gempa bumi di Taiwan pada 3 April 2024.

Salah satu imej bangunan itu juga beredar dalam catatan bahasa Ilonggo di Filipina dan bahasa Thailand.
Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar. Imej struktur bertingkat yang condong itu adalah gambar lama.
Gempa bumi tahun 2018
Carian imej terbalik di Google mendapati gambar yang dikongsikan media tempatan Sabah itu diterbitkan oleh agensi berita Reuters pada 8 Februari 2018 (pautan arkib).
Kapsyen yang diterjemah dari bahasa Inggeris berbunyi: "Sebuah bangunan yang rosak dilihat pada 8 Februari 2018, selepas gempa bumi melanda Hualien, Taiwan."
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin gambar dalam siaran palsu (kiri) dan foto asli dari Reuters (kanan):

Manakala, gambar serupa pertama yang diedarkan di Facebook diterbitkan oleh Associated Press (AP) pada 7 Februari 2018 dan turut dikreditkan kepada Central News Agency, agensi berita kerajaan Taiwan (pautan arkib ini dan ini).
Kapsyen imej itu berkata sebuah bangunan kediaman bersandar pada tingkat satu yang runtuh susulan gempa bumi, pada 7 Feb 2018 di Hualien.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin gambar dalam siaran palsu (kiri) dan foto asli dari AP (kanan):

Sementara itu, gambar serupa kedua diterbitkan di laman web agensi foto Getty Images pada 8 Februari 2018 (pautan arkib). Kapsyen juga mengatakan foto itu diambil di Hualien selepas gempa terjadi sehari sebelumnya.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin gambar dalam siaran palsu (kiri) dan foto asli dari Getty Images (kanan):

Yun Men Tsui Ti, atau Yun Tsui, adalah salah satu bangunan yang rosak setelah gempa berkekuatan 6.4 magnitud melanda bandar Hualien pada 7 Februari 2018.
AFP dan ABC News, syarikat penyiaran Amerika, turut menerbitkan foto bangunan Yun Tsui itu pada Februari 2018 (pautan arkib).
Geolokasi AFP berjaya mendapati struktur itu terletak di Guosheng Second Street di Hualien, seperti yang dapat dilihat dalam imej Google Street View pada 2017 (pautan arkib).
Imej Google Street View dari Mei 2023 menunjukkan bangunan itu telah menjadi tempat letak kereta (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej Google Street View pada 2017 (kiri) dan imej pada 2023 (kanan):

Laporan AFP pada 9 Februari 2018 menyatakan bangunan Yun Tsui telah dirobohkan "untuk menjaga keselamatan orang ramai".
Foto AP sebelum ini dikaitkan secara salah dengan gempa bumi di Taiwan pada Disember 2020 dan telah disangkal oleh AFP di sini.
Foto-foto lain yang dikongsikan pengguna Facebook menunjukkan keadaan sebenar kejadian gempa April 2024 di Taiwan, iaitu ini, ini, ini, ini dan ini (pautan arkib ini, ini, ini dan ini).
Laporan ini diperbarui untuk menambahkan catatan palsu dalam bahasa lain.10 April 2024 Laporan ini diperbarui untuk menambahkan catatan palsu dalam bahasa lain.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami