Ini video kebakaran gedung di AS, bukan 'serangan militan Iraq ke atas lapangan terbang Israel'

Sebuah video kebakaran besar telah tersebar dengan naratif palsu bahawa video itu menunjukkan kebakaran di lapangan terbang Haifa di Israel yang diserang oleh kumpulan militan Penentang Islam di Iraq pada Mac 2024. Video itu sebenarnya menunjukkan kebakaran di sebuah bangunan perindustrian di Michigan, Amerika Syarikat.

"Kumpulan Pejuang Islam di Iraq yang disokong Iran menyerang loji janakuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Haifa, dengan dron kamikaze, yang mengakibatkan letupan dan kebakaran di sana," tulis sebahagian kapsyen pada video Facebook pada 6 Mac 2024. 

"Media lain melaporkan sasaran yang terbakar adalah kereta kebal Zionis," tambah kapsyen itu. 

Siaran itu memuat naikkan sebuah video yang memaparkan sebuah kebakaran besar yang menyambar sebuah bangunan.

Video berdurasi satu minit dan lapan saat itu telah ditonton lebih daripada 10 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di Facebook, diambil pada 19 Mac 2024

Video ini tersebar selepas kumpulan Penentang Islam di Iraq berkata ia telah melancarkan serangan dron ke atas loji janakuasa di lapangan terbang antarabangsa Haifa di Israel pada 5 Mac 2024. Walau bagaimanapun, media Israel melaporkan bahawa serangan itu tidak berlaku (pautan arkib).

Kumpulan Penentang Islam di Iraq ialah pakatan kumpulan bersenjata yang disokong Iran. Berang dengan sokongan AS terhadap Israel dalam perang di Gaza, kumpulan militan itu mengaku bertanggungjawab atas beberapa serangan ke atas tentera AS dan sekutunya di Timur Tengah sejak konflik Israel-Hamas meletus pada Oktober 2023.

Video dengan dakwaan serupa telah ditonton lebih dari 8,100 kali selepas turut dikongsi di Facebook, di Instagram dan di Telegram di sini dan di sini.

Siaran serupa diedarkan dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Indonesia, bahasa Mandarinbahasa Arabbahasa Inggeris dan bahasa Thai.

Namun, dakwaan itu adalah palsu. Video sebenarnya menunjukkan kebakaran sebuah gudang di AS.

Kebakaran di Amerika Syarikat

Hasil carian imej terbalik dan kata kunci mendapati video itu sebelum ini dimuat naik oleh seorang  jurugambar Amerika bernama John William Versace di akaun Instagramnya pada 4 Mac 2024, disertai dengan kapsyen: "Kebakaran besar di Clinton Township" (pautan arkib ini dan ini).

Clinton Township terletak di pinggir bandar Detroit, di negeri bahagian Michigan, Amerika Syarikat (pautan arkib).

Rakaman Versace itu juga disiarkan oleh ABC News, saluran berita Amerika, di saluran YouTube mereka pada 5 Mac 2024 dalam satu laporan mengenai letupan maut di Michigan (pautan arkib).

Menurut kapsyen video itu, "letupan berapi di sebuah syarikat pengedar vape di Michigan mengorbankan nyawa seorang remaja berusia 19 tahun yang berada dalam jarak seperempat batu" -- atau kurang daripada setengah kilometer -- "dari lokasi kebakaran."

Menurut bomba, remaja itu maut selepas terkena silinder di bahagian kepalanya akibat letupan itu.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri), video tulen dari Versace (tengah) dan siaran ABC News (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri), video tulen dari Versace (tengah) dan siaran ABC News (kanan)

Jabatan polis Perbandaran Clinton mengeluarkan satu kenyataan pada 5 Mac 2024, mengulas kejadian kebakaran di sebuah bangunan komersial yang dipanggil Select Distributors (pautan arkib di sini dan di sini).

AFP menemui lokasi tersebut di Google Street View dan terlihat sepadan dengan apa yang dirakam dalam video terbabit (pautan arkib).

Menurut saluran berita Amerika CBS News, ketua bomba Clinton Township berkata kebakaran itu menyebabkan silinder butana di gudang itu meletup (pautan arkib).

AFP sebelum ini menafikan beberapa maklumat salah lain mengenai konflik Israel-Hamas di sini.

Laporan ini dikemas kini untuk membetulkan kesalahan taip di perenggan kedua.
8 April 2024 Laporan ini dikemas kini untuk membetulkan kesalahan taip di perenggan kedua.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami