Jepun tidak 'melarang penerima vaksin derma darah kerana bimbang akan pencemaran'

Ketika Jepun menamatkan skim percuma vaksin Covid-19, siaran media sosial secara palsu mendakwa negara Asia Timur itu telah mengumumkan rancangan untuk mengharamkan vaksin dan menghalang penerima vaksin daripada menderma darah mereka kerana "risiko pencemaran". Kajian yang dipetik dalam catatan yang mengelirukan ditulis oleh seorang penyelidik yang terkenal dengan pendirian anti-vaksinnya dan belum disemak oleh komuniti saintifik. Vaksin kekal sebagai perlindungan berkesan terhadap gejala teruk virus Covid.

"Darah orang yang sudah divaksin tidak laku di Jepun. Malah darah mereka sudah dianggap sangat menjijikkan serta memudaratkan kepada penerima," tulis sebahagian kapsyen pada siaran Facebook ini, bertarikh 31 Mac 2024. 

Siaran yang telah dikongsi lebih daripada 20 kali itu turut memuat naik dua tangkapan skrin laman artikel berbahasa Inggeris yang diterbitkan pada 21 Mac 2024 . 

Kedua-dua tangkapan skrin diambil dari tajuk sebuah artikel The People's Voice, dulunya bernama News Punch, laman web Amerika yang menyebarkan maklumat palsu, seperti ini, ini dan ini

Tajuk itu berbunyi: "Japan Akan Halang Penerima Vaksin Daripada Menderma 'Darah Tercemar'" dan "Jepun telah mencadangkan melarang orang yang menerima vaksin Covid-19 daripada menderma darah, kerana kesan sampingan mRNA yang berbahaya."

Tangkapan skrin itu juga memaparkan gambar Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida (pautan arkib).

Image

Dakwaan serupa telah dikongsi lebih daripada 90 kali selepas dikongsi di siaran Facebook ini dan ini

Catatan serupa turut beredar dalam bahasa Thaibahasa Koreabahasa Inggeris dan bahasa Perancis

Walau bagaimanapun, dakwaan terbabit adalah palsu. Setakat 8 April 2024, Jepun tidak mengharamkan vaksin Covid dan penerima vaksin masih boleh menderma darah mereka.

Tiada larangan terhadap vaksinasi, derma darah

Jepun menamatkan program vaksinasi Covid-19 secara percuma pada 31 Mac 2024.

Bagaimanapun, rakyat Jepun di bawah umur 65 tahun boleh mendapatkan vaksin Covid atas perbelanjaan mereka sendiri, manakala kerajaan akan terus memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada kumpulan berisiko tinggi (pautan arkib).

Apabila diakses AFP pada 8 April 2024, laman web Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun menyatakan: "Vaksinasi tetap oleh kerajaan tempatan akan bermula pada musim luruh/sejuk 2020 untuk orang yang berumur 65 tahun ke atas, dan bagi mereka yang berumur 60 hingga 64 dengan masalah jantung, buah pinggang atau pernafasan" (pautan arkib).

Palang Merah Jepun menjelaskan di laman webnya bahawa individu yang telah menerima vaksin masih layak untuk menjadi penderma darah (pautan arkib). Mereka juga menasihatkan agar para penderma menunggu 48 jam selepas menerima vaksin mRNA sebelum menderma darah.

Artikel The People's Voice menyebutkan kajian Jepun baharu yang menyatakan bahawa terdapat potensi risiko kesihatan daripada "transfusi bahan genetik melalui vaksin", namun kajian itu belum disemak bersama.

Kajian itu kini dalam "pra-cetak" selepas diterbitkan pada pertengahan Mac 2024 di sebuah laman web yang membenarkan penerbitan tanpa sebarang semakan awal.

Kajian itu diterbitkan sehari selepas ia dihantar ke laman web itu, suatu tempoh yang terlalu singkat untuk membenarkan proses semakan secara menyeluruh.

Image
Tangkapan skrin dari preprints.org

Salah seorang penulis kajian itu ialah Masanori Fukushima, seorang bekas profesor yang dipanggil sebagai "demagog anti-vaksin" oleh Taro Kono, menteri yang sebelum ini bertanggungjawab atas program vaksinasi Covid-19 (pautan arkib).

Dakwaan mengelirukan mengenai darah individu yang divaksin "mencemarkan" individu yang tidak divaksin telah dikongsi sejak pelancaran vaksin Covid-19 bermula pada 2020 di pelbagai negara, termasuk di Amerika Syarikat di sini dan di sini, juga di Australia. 

Penurunan populasi Jepun

Penurunan populasi Jepun tiada kaitan dengan vaksinasi Covid-19, seperti yang didakwa oleh catatan mengelirukan dalam bahasa Perancis.

Seperti ditunjukkan laman web Bank Dunia, demografi Jepun telah menyusut bertahun-tahun sebelum pelancaran vaksin Covid-19, dan disebabkan oleh kadar pertumbuhan negatif -- di mana jumlah kematian melebihi jumlah kelahiran baharu (pautan arkib).

Di bawah ialah tangkapan skrin laman web Bank Dunia, yang menunjukkan penduduk Jepun sejak tahun 2010-an:

Image
Tangkapan skrin laman web Bank Dunia

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah berulang kali menyatakan bahawa vaksin Covid-19 kekal selamat dan kesan sampingan yang serius adalah "sangat jarang berlaku" (pautan arkib).

AFP sebelum ini menafikan dakwaan palsu bahawa dua pertiga daripada penerima vaksin Pfizer di Jepun telah meninggal dunia 10 hari selepas disuntik dan bahawa vaksin menyebabkan lonjakan kematian di Australia dan di Amerika Syarikat.

Laporan ini dikemas kini untuk menambahkan satu perenggan tentang gambar perdana menteri Jepun.
12 April 2024 Laporan ini dikemas kini untuk menambahkan satu perenggan tentang gambar perdana menteri Jepun.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami