Klip kejadian pesawat lama dikongsi secara palsu sebagai penerbangan Singapore Airlines yang dilanda gelora udara pada 2024
- Diterbitkan pada hari Khamis 30/05/2024 pukul 03:43
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Ara Eugenio, AFP Filipina, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Syafique SHUIB
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Kapsyen kepada satu catatan Facebook yang dikongsi pada 21 Mei 2024 berbunyi: "Seorang maut dan beberapa penumpang cedera selepas penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) dari London ke Singapura menghadapi gelora udara yang teruk, menurut syarikat penerbangan itu.
"SIA berkata, pesawat Boeing 777-300ER yang membawa sejumlah 211 penumpang dan 18 anak kapal telah dilencongkan ke Bangkok dan mendarat pada jam 3.45 petang waktu tempatan pada Selasa."
Video yang disertakan ditonton lebih daripada 2,000 kali dan menunjukkan penumpang menjerit di dalam pesawat ketika ia bergegar dengan kuat, melemparkan seorang pramugari ke arah siling.
Rakaman itu turut dikongsi dengan tuntutan yang serupa di catatan Facebook ini dan ini dan di X.
Rakaman ini dilihat lebih daripada lima juta kali dalam siaran serupa yang ditulis dalam bahasa Inggeris, bahasa Tagalog, bahasa Thai, bahasa Hindi, bahasa Burma, bahasa Portugis dan bahasa Cina.
Seorang lelaki Britain berusia 73 tahun maut dan lebih 80 orang yang lain cedera selepas penerbangan Singapore Airlines SQ321 dilanda gelora udara melampau di kelangitan Myanmar pada 21 Mei.
Pesawat itu yang terbang dari London ke Singapura melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok.
Sebuah penerbangan bantuan yang membawa 131 penumpang dan 12 anak kapal mendarat di Lapangan Terbang Changi Singapura pada hari berikutnya.
Walau bagaimanapun, klip itu telah dikongsi dalam konteks palsu.
Penerbangan Bulgaria
Sebelum ini, AFP telah menafikan catatan serupa yang secara palsu mengaitkan klip itu dengan nahas pesawat Indonesia pada Januari 2021.
Carian imej terbalik bagi bingkai utama mendapati rakaman itu telah disiarkan oleh Euronews yang berpangkalan di Perancis pada saluran YouTube rasmi mereka pada 18 Jun 2019 (pautan arkib).
Diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris, video itu bertajuk: "Pergolakan yang dirakam dalam video oleh penumpang dalam penerbangan Kosovo-Switzerland."
Dikreditkan kepada penumpang bernama Mirjeta Basha, rakaman itu menunjukkan penerbangan dari Kosovo ke Switzerland -- dikendalikan oleh ALK Airlines yang berpangkalan di Bulgaria -- selepas ia dilanda "gegaran gelora udara yang teruk", menurut laporan Euronews ini (pautan arkib).
"Sepuluh orang cedera dalam kejadian di dalam penerbangan ALK Airlines dari Pristina ke Basel, termasuk seorang anak kapal kabin yang tercampak ke siling," mengikut artikel itu.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip yang dikongsi dalam siaran palsu (kiri) dan video daripada laporan Euronews (kanan):
Video kejadian yang sama turut diterbitkan oleh agensi video Storyful dan Sky News yang berpangkalan di UK pada Januari 2019 yang mengkreditkan Mirjeta Basha (pautan arkib ini dan ini).
Video tahun 2019 menunjukkan seorang pramugari memakai pakaian seragam kuning, yang tidak sepadan dengan kebaya sarung Singapore Airlines untuk kru kabin wanitanya (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin pramugari dalam klip yang beredar, diserlahkan oleh AFP dengan warna biru (kiri) dan pakaian seragam pramugari Singapore Airlines seperti yang dilihat di laman webnya (kanan):
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami