Ini video kejadian eskalator rosak di Rom pada 2018, bukan 'warga Israel lari dari serangan Iran' pada 2024

  • Diterbitkan pada hari Jumaat 24/05/2024 pukul 08:56
  • Dikemas kini pada hari Jumaat 24/05/2024 pukul 09:06
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Pakistan, AFP Malaysia
  • Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Berikutan serangan Iran yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel pada April 2024, video orang ramai menuruni eskalator yang bergerak laju di Rom muncul dalam siaran media sosial yang mendakwa secara palsu ia menunjukkan warga Israel melarikan diri dari serangan terbabit. Video itu sebenarnya dirakam pada Oktober 2018 apabila kejadian kerosakan eskalator itu telah mencederakan lebih 20 orang peminat bola sepak Rusia di ibu negara Itali itu.

"Katanya selepas serangan daripada Iran, Rakyat Israel bertempiaran lari untuk melepaskan diri ke Negara lain," bunyi kapsyen pada video yang dikongsi di Facebook pada 15 April 2024.

Video berdurasi 20 saat itu menunjukkan orang ramai bergegas menuruni eskalator yang bergerak laju dan merempuh satu sama lain di bahagian bawah dan telah ditonton lebih daripada 16,000 kali. 

Seorang lelaki di eskalator sebelah dilihat cuba menarik tangan mangsa kejadian ke tempat selamat.

"Bila bukan tanah sendiri, tiada istilah 'Tanah tumpahnya darahku'…" bunyi sebahagian lagi kapsyen siaran Facebook itu.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 21 Mei 2024

Video itu turut dikongsi berserta dakwaan serupa oleh pengguna X yang mempunyai jumlah keseluruhan lebih daripada 13,000 pengikut di sini

Siaran itu muncul susulan Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel pada 13 April yang menyebabkan ketegangan serantau meningkat.

Serangan Tehran adalah sebagai tindakan balas terhadap serangan udara Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang telah meragut nyawa tujuh orang Pengawal Revolusi Iran, dua daripadanya berpangkat jeneral.

Walau bagaimanapun, video itu tidak menunjukkan warga Israel melarikan diri dari serangan 13 April itu. 

Eskalator rosak di stesen kereta api Rom

Hasil carian imej terbalik video itu di Google mendapati ia disiarkan di YouTube oleh sebuah akhbar Britain, Guardian pada Oktober 2018 -- beberapa tahun sebelum serangan terus Tehran ke atas Israel (pautan arkib).

Menurut keterangan video YouTube itu, seramai 24 peminat kelab bola sepak Rusia, CSKA Moscow cedera selepas eskalator yang digunakan dalam jumlah yang ramai itu memecut laju di sebuah stesen kereta api di ibu negara Itali, Rom.

Klip itu, yang memberi kredit kepada akaun kelab peminat bola CSKA, @RBWorldorg, bertajuk dalam bahasa Inggeris: "Eskalator memecut laju dan runtuh di Rom, mencederakan peminat bola sepak". 

Kejadian itu berlaku di stesen Repubblica pada 23 Oktober 2018, lebih satu jam sebelum perlawanan Liga Juara bermula antara Roma Itali dan kelab Rusia CSKA Moscow, lapor AFP.

AFP menerbitkan video itu dengan memberi kredit kepada kelab peminat CSKA yang sama berserta satu gambar dari pihak bomba dan penyelamat Itali yang berada di tempat kejadian. 

Image

Kelab peminat CSKA berkongsi klip itu di X berserta butiran talian bantuan di laman webnya untuk mangsa-mangsa yang terlibat (pautan arkib ini dan ini).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami