Kerajaan Jerman tidak 'akui' pandemik Covid-19 'penipuan terancang'
- Diterbitkan pada hari Khamis 30/05/2024 pukul 10:58
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Robert BARCA, AFP Slovakia, AFP Hong Kong, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Dokumen rahsia kerajaan Jerman setebal 2,000 muka surat dedahkan bahawa pandemik Covid19 adalah satu penipuan terancang," tulis kapsyen catatan di Facebook pada 7 April 2024.
Siaran itu turut memuat naik tangkapan skrin yang menunjukkan gambar Canselor Jerman, Olaf Scholz berserta imej catatan X, sebelum ini dikenali Twitter, yang kononnya beliau mendakwa bahawa pandemik Covid-19 sebenarnya tidak wujud.
Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, teks pada tangkapan skrin itu berbunyi: "Kerajaan Jerman Akui Tiada Pandemik."
Pandemik Covid-19 mencetuskan gelombang teori konspirasi yang tidak berasas, termasuk bahawa krisis itu dilakonkan oleh elit global untuk mengawal dunia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pandemik Covid-19 tamat pada Mei 2023 tetapi maklumat salah tentang penyakit itu terus tersebar dalam talian.
Dakwaan salah bahawa Jerman "mengakui" pandemik tidak berlaku itu dikongsi di siaran Facebook ini, ini, ini dan ini.
Ahli politik Perancis Nicolas Dupont-Aignan turut berkongsi catatan serupa dalam satu video di Facebook, manakala ia turut beredar dalam bahasa Jepun, Czech dan Yunani.
Dokumen-dokumen 'rahsia'
Catatan-catatan media sosial yang menyebarkan dakwaan itu ialah terjemahan artikel berbahasa Inggeris oleh The People's Voice, sebuah laman web yang sebelum ini dikenali sebagai News Punch. AFP pernah menyemak fakta di laman web itu sebelum ini.
Artikel itu kononnya menunjukkan catatan X dalam bahasa Inggeris oleh akaun Canselor Jerman Olaf Scholz yang berbunyi: "Covid adalah 'psy-op' untuk menguji pematuhan terhadap mRNA dan perintah berkurung. Tiada pandemik."
Walau bagaimanapun, AFP tidak menemui catatan itu di akaun X milik Scholz.
Menurut The People's Voice, kerajaan Jerman menerbitkan 2,000 halaman dokumen "rahsia" berikutan permintaan Kebebasan Maklumat yang difailkan oleh wartawan Paul Schreyer dan majalahnya Multipolar.
Walaupun artikel itu tidak memberikan butiran lanjut, Multipolar berkata dokumen-dokumen itu mendedahkan bahawa keputusan kerajaan pada Mac 2020 untuk meningkatkan tahap risiko wabak kepada tahap tinggi adalah suatu langkah politik diambil oleh "aktor luar" yang namanya disunting, bukannya oleh pegawai kesihatan.
The People's Voice memetik satu siaran X yang membuat kesimpulan bahawa wabak itu adalah suatu "penipuan" kerana klasifikasi Covid-19 sebagai risiko kesihatan yang tinggi adalah keputusan politik dan bukannya saintifik.
Walau bagaimanapun, agensi kawalan penyakit Jerman, Robert Koch Institute menjelaskan bahawa nama yang disunting itu adalah nama seorang pekerja institut, bukan "aktor luar" (pautan arkib).
Katanya, keputusan untuk mengklasifikasikan semula Covid-19 sebagai risiko kesihatan yang tinggi dibuat apabila kes meningkat di Eropah dan di seluruh dunia, dengan WHO mengisytiharkan pandemik itu beberapa hari sebelum pasukan petugas bertemu (pautan arkib).
WHO melaporkan lebih tujuh juta kematian Covid-19, setakat 5 Mei 2024 (pautan arkib).
AFP Semakan Fakta telah menafikan maklumat salah lain mengenai pandemik Covid-19 di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami