Menteri bercakap mengenai kontrak sosial global, bukan seru prinsip penubuhan negara diperbaharui

  • Diterbitkan pada hari Jumaat 28/06/2024 pukul 03:57
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyeru pembaharuan kontrak sosial global -- bagaimana negara harus bertindak terhadap satu sama lain -- bukan salah satu daripada prinsip penubuhan negara, bertentangan dengan catatan media sosial yang berkongsi tajuk berita mengelirukan mengenai ucapan menteri itu pada Persidangan Buruh Antarabangsa pada Jun 2024. Kontrak sosial Malaysia, yang memberikan kewarganegaraan kepada etnik minoriti negara sambil menjamin "kedudukan istimewa" kaum Bumiputera, tidak disebut dalam ucapan Sim. Saluran berita Astro Awani juga telah memadam artikel dengan tajuk mengelirukan itu.

"Bagi betis nak peha," tulis satu catatan Facebook dimuat naik pada 14 Jun 2024, yang telah dikongsi sebanyak 60 kali. 

Ia termasuk tangkapan skrin laporan oleh agensi berita Bernama dan diterbitkan oleh Astro Awani, dengan tajuk utama berbunyi: "Penting perbaharui kontrak sosial yang mampu berikan keadilan kepada semua."

Tangkapan skrin itu juga memaparkan gambar Menteri Sumber Manusia Steven Sim (pautan arkib). Teks pelekat di bawah gambar itu berbunyi: "KEPADA DYMM & RAJA-RAJA MELAYU. SILA AMBIL PERHATIAN."

Malaysia diasaskan atas dasar "kontrak sosial" yang memberikan kewarganegaraan kepada etnik minoriti Cina dan India, sambil juga menjamin bahawa dasar keutamaan untuk majoriti penduduk Melayu dan Orang Asal yang berasal dari negeri Sabah dan Sarawak kekal utuh (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook yang diambil pada 25 Jun 2024

Catatan serupa juga muncul di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Tetapi Sim sebenarnya bercakap tentang kontrak sosial antara negara, bukan sistem politik di Malaysia.

'Kontrak sosial global'

Carian kata kunci mendapati artikel yang sepadan diterbitkan oleh Astro Awani pada 13 Jun 2024 yang kini telah dipadam (pautan arkib).

Sebagai respons kepada siaran X yang mengkritik tajuk utama itu, seorang wartawan Astro Awani menjelaskan artikel itu telah ditarik balik penerbitannya sebaik sahaja saluran berita menerima panggilan telefon daripada pejabat menteri mengenai kesilapan itu (pautan arkib).  

Astro Awani memasukkan kenyataan Sim dalam laporan lain mengenai penyertaan Malaysia dalam Persidangan Buruh Antarabangsa yang diterbitkan pada 16 Jun (pautan arkib).

Pada 14 Jun 2024, Sim memuat naik rakaman penuh ucapannya di persidangan yang berlangsung di Geneva pada 12 Jun itu ke akaun X rasminya (pautan arkib).

"Mohon kawan-kawan menilai sendiri ucapan penuh saya kat ILO tentang 'kontrak sosial' yang diputarbelit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita sama-sama melawan fitnah dan pemfitnah," tulisnya dalam catatan itu.

Beliau turut memuat naik klip-klip ucapan itu ke akaun Facebook dan TikToknya (pautan arkib ini dan ini).

Tiada mana-mana dalam ucapan beliau yang menyebut tentang kontrak sosial Malaysia dan jelas bahawa beliau bercakap mengenai struktur kuasa global.

Segmen ucapan beliau boleh dilihat dalam transkrip yang dikongsi oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia di laman Facebook rasminya di sini (pautan arkib).

"Model pertumbuhan semasa menasionalisasikan keuntungan dalam tangan beberapa kuasa besar, sambil mengenakan beban peraturan, tanggungjawab, kos dan juga moral yang berat sebelah ke atas seluruh dunia - ini adalah kehilangan hak secara sistematik yang dunia perlu hapuskan jika kita mahu memperbaharui kontrak sosial kita," kata Sim.

Rakaman penuh ucapan Sim juga boleh dilihat di laman web rasmi persidangan itu di sini (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami