Video lama pencerobohan padang bola sepak ini tiada kaitan dengan konflik Israel-Gaza
- Diterbitkan pada hari Jumaat 05/07/2024 pukul 10:24
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Brazil, AFP Indonesia, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Felix NATHANIEL , Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Di satu stadium Sepanyol, seorang penyokong perjuangan Palestine ditangkap polis lalu dipukul, tapi lihatlah apa yang terjadi," bunyi sebahagian kapsyen pada video yang disiar di Facebook pada 6 Jun 2024.
Klip itu menunjukkan seorang lelaki berlari melintasi padang sambil memegang sepanduk putih sebelum dia ditahan oleh beberapa orang pegawai.
"Ketika itulah pegawai keselamatan mula bertindak," kata suara latar pada video itu dalam bahasa Portugis. "Empat lelaki berpakaian hitam itu mula memukul lelaki berpakaian putih."
Orang ramai yang berada di stadium itu mula memasuki padang dan membuat kekecohan.
Video itu juga telah dikongsi di akaun Facebook lain seperti di sini, di sini, dan di sini, selepas Sepanyol, Norway dan Ireland secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada 28 Mei.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez berkata pengiktirafan itu adalah "penting" untuk keamanan, sambil menegaskan langkah itu "tidak menentang sesiapa, paling tidak di seluruh Israel".
Israel menyelar tindakan itu sebagai "ganjaran" untuk Hamas selepas lebih tujuh bulan konflik dahsyat di Gaza.
Pada 7 Oktober 2023, kumpulan militan Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, yang menurut angka rasmi terkini oleh pihak berkuasa Israel sebanyak 1,195 nyawa terkorban, kebanyakannya orang awam.
Israel bertindak balas dengan mengebom Gaza selama berbulan-bulan yang telah mengorbankan 37,953 nyawa, menurut kementerian kesihatan di wilayah Palestin yang dikuasai Hamas itu.
Pengadil Portugis
Carian kata kunci di YouTube menemui versi panjang video itu yang disiarkan pada 10 Ogos 2009.
Rakaman itu diambil ketika perlawanan antara pasukan Portugal, Benfica dan Switzerland, Étoile Carouge pada 2004 -- hampir 19 tahun sebelum konflik yang terbaru antara Israel-Hamas -- menurut penyiar Portugis, dikenali SIC Noticias (pautan arkib).
Kata SIC Noticias, lelaki terbabit menceroboh padang sejurus sebelum tamat perlawanan untuk menunjukkan sokongan kepada pengadil José Fonseca, dan peminat lain kemudian berlari ke padang untuk mempertahankan lelaki itu.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara rakaman yang dikongsi dalam siaran media sosial palsu (kiri) dan dalam laporan SIC Noticias (kanan):
Carian kata kunci juga menemui laporan-laporan mengenai perlawanan bola sepak itu di sini dan di sini, yang mengesahkan ia berlaku pada 17 Julai 2004 di Nyon, Switzerland (pautan arkib ini dan ini).
Akhbar sukan Portugis Record melaporkan bahawa sepanduk putih yang dipegang lelaki itu berbunyi: "Pengadil, keluarga bersama anda" (pautan arkib).
Walaupun tidak jelas mengapa lelaki terbabit memegang sepanduk, AFP tidak menemui mana-mana laporan yang menyebut insiden itu ada kaitan dengan konflik di Gaza. AFP telah menyemak fakta maklumat salah lain tentang konflik itu di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami