Cadangan kumpulan aktivis doktor mengenai kenaikan harga konsultasi klinik awam disalah nyata

  • Diterbitkan pada hari Selasa 16/07/2024 pukul 09:30
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menaikkan harga konsultasi klinik, bertentangan dengan catatan keliru di media sosial yang mendakwa caj di klinik kerajaan itu akan dinaikkan kepada RM10. Siaran-siaran itu menyalahnyata tajuk laporan berita dalam talian yang lama dengan "cadangan" untuk menaikkan caj klinik awam. Laporan itu sebenarnya memetik cadangan aktivis penjagaan kesihatan dan bukannya inisiatif kerajaan. Menurut KKM, harga konsultasi di klinik kerajaan kekal pada RM1.

"Zaman buat duit / Tang mana membantu rakyat," tulis satu catatan di Facebook pada 28 Mei 2024. 

Siaran itu berkongsi satu tangkapan skrin yang memaparkan logo 15 Minit MMTV, sebuah program berita dalam talian (pautan arkib).

Tajuk dan teks pelekat yang sepadan berbunyi "CADANG NAIK RM10 HARGA KONSULTASI KLINIK AWAM."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 11 Julai 2024

Dakwaan itu timbul susulan laporan kekurangan doktor dan graduan perubatan di negara ini, mendorong kumpulan industri itu untuk memberi amaran keadaan itu boleh membawa kepada penjagaan kesihatan yang tidak berkualiti (pautan arkib).

Siaran serupa tentang maklumat salah itu juga muncul di Facebook di sini dan di sini.

Tetapi siaran itu menyalahnyata tajuk laporan berita dalam talian yang sebenarnya memetik pendapat seorang aktivis penjagaan kesihatan.

Laporan salah nyata

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengeluarkan satu kenyataan di laman Facebook rasminya pada 14 Jun 2024 dengan berkata cadangan yang disebut dalam program berita itu bukan datang dari kementerian beliau (pautan arkib).

"Cadangan kenaikan bayaran di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah daripada pihak ketiga. KKM tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini," menurut siaran itu. 

Setakat 15 Julai 2024, caj konsultasi di semua pusat kesihatan kerajaan kekal pada RM1, menurut laman web KKM (pautan arkib).

Hasil gabungan kata kunci dan carian imej terbalik di Google mendapati laporan 15 Minit MMTV telah disiarkan di akaun TikTok mereka pada 27 Mei 2023 dengan tajuk "CADANG NAIK RM10 HARGA KONSULTASI KLINIK AWAM" (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin laporan 15 Minit MMTV di TikTok, diambil pada 11 Julai 2024

"Kerajaan dicadang menaikkan bayaran konsultasi di semua fasiliti kesihatan kerajaan dari RM1 kepada RM10 bagi menampung kekurangan doktor dan menambah baik khidmat di pusat-pusat kesihatan," kata pembaca berita dalam laporan itu.

Pada saat ke-25 video itu, pembaca berita itu berkata cadangan tersebut dibuat oleh seorang jurucakap Hartal Doktor Kontrak, sebuah kumpulan yang menyokong pekerjaan tetap untuk doktor kontrak di negara ini (pautan arkib).

Laporan berita itu tidak memasukkan sebarang kenyataan daripada KKM mahupun pihak berkuasa lain yang berkaitan.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami