![](/sites/default/files/medias/factchecking/g2/2024-07/6da7d1f2ad28da271f5c1062b8d5ad9cfb5ebaa9.jpeg)
Polis beri amaran tentang siaran berkongsi iklan palsu tawaran jawatan PDRM
- Diterbitkan pada hari Selasa 16/07/2024 pukul 09:32
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"TEMUDUGA TERBUKA POLIS DIRAJA MALAYSIA SELURUH MALAYSIA," tulis teks pada iklan yang disiar di TikTok pada 30 Jun 2024, yang telah ditonton lebih 22,000 kali.
Iklan palsu itu menunjukkan gambar pegawai polis beruniform bersama lambang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sambil mendakwa temu duga itu akan diadakan di seluruh negara pada 5, 6 dan 9 Julai.
Siaran TikTok itu juga menggesa pengguna untuk "memohon di pautan (pada) bio"; pautan yang membawa kepada sebuah laman web yang meminta orang ramai memasukkan nama penuh dan nombor telefon mereka.
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2024-07/ab0008e2e5b7180410267df3e949de75c0f78299.jpeg?itok=5uTfwHmP)
Iklan tawaran jawatan palsu yang serupa turut diedarkan di TikTok di sini, di sini dan di sini dan telah meraih lebih 100,000 tontonan.
Peluang pekerjaan palsu itu juga muncul di Facebook di sini, di sini dan di sini.
Tetapi carian kata kunci di Google menemui siaran Facebook oleh unit pengambilan jawatan PDRM pada 2 Julai yang memberi amaran bahawa iklan itu adalah palsu (pautan arkib).
"JANGAN TERPEDAYA: IKLAN PALSU TAWARAN JAWATAN DALAM PDRM," tulis siaran itu.
"Terdapat sebaran maklumat yang tidak benar dan palsu mengenai Urusan Pengambilan Jawatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya lagi.
Hantaran itu juga menyatakan beberapa pautan akaun TikTok yang dipercayai menyebarkan iklan yang direka bersama beberapa tangkapan skrin siaran penipuan dengan cop merah yang berbunyi: "PALSU".
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2024-07/0ab87571cd4687a3616eff9000d3cef75acaab9e.jpeg?itok=Z3dEa7EQ)
Menurut PDRM, badan beruniform itu hanya menyiarkan iklan pengambilan di saluran media sosial rasminya di bawah nama "Unit Pengambilan Polis Diraja Malaysia", termasuk di Facebook, Instagram dan Telegram (pautan arkib ini, ini dan ini).
Selain itu, AFP mendapati pautan disertakan dalam siaran-siaran palsu terbabit, dimana ia membolehkan para pengguna "memohon" untuk temu duga kerja palsu itu tiada kaitan dengan PDRM.
Salah sebuah laman web penipuan itu mendakwa bahawa pengguna akan berpeluang untuk bekerja dengan kerajaan dan memperoleh gaji sehingga RM12,000 setelah mendaftarkan maklumat peribadi.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin laman web penipuan (kiri) dan laman web rasmi pengambilan jawatan PDRM (kanan):
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2024-07/0aa883ea3dda404e2246e3ebd0d7da76737bd4ce.jpeg?itok=axpn5A-J)
AFP sebelum ini menyangkal siaran-siaran penipuan serupa yang meminta maklumat peribadi pengguna, seperti yang menyamar sebagai skim bantuan kerajaan, di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami