Gambar lama 'baju raya diletakkan di atas kubur' di Turki ini tiada kaitan dengan konflik Gaza

Gambar-gambar yang menunjukkan sepasang gaun kanak-kanak berwarna merah jambu yang ditinggalkan di atas kubur tersebar di media sosial yang mengaitkannya dengan perang di Gaza. Walaupun ribuan kanak-kanak dilaporkan terkorban dalam konflik itu, gambar-gambar itu sebenarnya diambil di Turki. Salah satu gambar tersebut telah tersebar dalam talian sejak April 2023, beberapa bulan sebelum meletusnya perang di wilayah Palestin.

"Saat kita bergembira di hari mulia ni.. seorang bapa dari Palestin meletakkan sepasang baju raya di atas kubur anak perempuannya (8 tahun)," bunyi sebahagian kapsyen pada gambar-gambar disiar di Facebook pada 17 Jun 2024.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 9 Julai 2024

Gambar-gambar serupa itu dikongsi beribu-ribu kali dalam siaran Facebook di sini, di sini dan di sini serta di TikTok selepas umat Islam di seluruh dunia menyambut perayaan Aidiladha.

Perayaan itu dikaburi dengan konflik di Gaza antara Israel dan kumpulan militan Palestin, Hamas.

Konflik itu tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas selatan Israel, yang mengakibatkan 1,195 orang terkorban, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP yang berdasarkan angka rasmi Israel. 

Hamas juga menahan seramai 251 tebusan, 116 daripadanya kekal di Gaza termasuk 42 orang yang dikatakan oleh tentera telah mati.

Israel bertindak balas dengan mengebom Gaza selama berbulan-bulan yang telah mengorbankan 38,243 nyawa, menurut angka dari kementerian kesihatan di wilayah Palestin yang dikuasai Hamas itu. 

Bagaimanapun, gambar-gambar yang dikongsi dalam talian itu diambil di Turki sebelum konflik itu bermula.

Kubur di Turki

Carian imej terbalik dan carian kata kunci di Google menemui salah satu foto dalam siaran X pada 21 April 2023 -- beberapa bulan sebelum meletusnya konflik di Gaza itu (pautan arkib).

Catatan berbahasa Turki itu berbunyi: "Zahide (8 tahun) membeli dan meninggalkan baju raya untuk adiknya pada hari raya ini. Beberapa gambar dan kenangan kekal seperti parut luka dalam hidup saya."

Image
Tangkapan skrin siaran X yang berkongsi foto itu pada April 2023

Satu lagi carian imej terbalik menemui video TikTok yang disiarkan dua hari kemudian yang dilihat menunjukkan tanah perkuburan yang sama dan menandakan lokasinya di Adiyaman di tenggara Turki (pautan arkib).

Petunjuk visual yang sepadan dalam video yang dikongsi di siaran palsu dan video TikTok terbabit mengesahkan ia menunjukkan lokasi yang sama.

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto yang dikongsi dalam siaran palsu (kiri) dan video TikTok (kanan)

Teyit Hatti, yang merupakan sebahagian daripada agensi berita kerajaan Turki, Anadolu melaporkan bahawa gambar itu diambil di Tanah Perkuburan Baharu di Adiyaman (pautan arkib).

AFP mengesahkan perkara itu dengan membandingkan foto tersebut dengan gambar tanah perkuburan menerusi imej satelit Google Maps (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara imej yang dikongsi secara palsu (kiri) dan imej Google Earth (kanan), dengan elemen sepadan yang ditandakan AFP

Tanah perkuburan itu dipenuhi dengan mangsa-mangsa yang terkorban akibat gempa bumi besar berukuran 7.8 magnitud melanda Turki pada 6 Februari 2023, lapor The Financial Times (pautan arkib).

Gempa itu meragut lebih 53,000 nyawa di Turki dan hampir 6,000 orang di negara jiran Syria.

Lebih satu pertiga daripada bangunan runtuh di wilayah Adiyaman yang dilanda teruk dalam gegaran itu (pautan arkib).

AFP tidak dapat mengesahkan sekiranya kubur dalam gambar terbabit merupakan milik kepada mangsa bencana itu. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami