Dakwaan palsu kaitkan laporan lama kenaikan harga besi dengan penarikan subsidi diesel

Selepas penarikan subsidi diesel pada Jun 2024, satu laporan berita yang lama mengenai kenaikan harga besi di negara ini muncul dalam siaran media sosial yang secara salah mengaitkannya dengan kenaikan harga bahan api itu. Artikel akhbar Utusan Malaysia sebenarnya diterbitkan pada 2021, yang menyatakan harga besi meningkat disebabkan permintaan tinggi.

Dakwaan itu telah dikongsi dalam siaran di platform media sosial X pada 1 Julai 2024, dengan kapsyen sarkastik yang memaparkan emoji tersengih yang berbunyi: "Harga Diesel mendadak naik, belum ada lagi satu barangpun naik harga."

Siaran itu juga memasukkan satu tangkapan skrin akhbar Utusan Malaysia bertajuk: "Besi naik RM2,800 kepada RM4,000 satu tan."

Dakwaan itu timbul selepas kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel dalam usaha menjimatkan perbelanjaan negara dan penyeludupan bahan api ke negara jiran pada Jun 2024.

Langkah itu menyaksikan harga diesel melonjak sebanyak 56 peratus selepas penarikan subsidi diesel itu berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia -- Sabah dan Sarawak dikecualikan kerana jarak perjalanan yang lebih jauh -- menambahkan lagi masalah kos sara hidup rakyat (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di X, diambil pada 22 Julai 2024

Tangkapan skrin sama turut dikongsi dengan dakwaan salah serupa di platform lain termasuk di X di sini, dan di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Sebenarnya, artikel itu telah diterbitkan pada Oktober 2021, sebelum pelaksanaan penarikan subsidi diesel. 

Hasil carian imej terbalik dan kata kunci di Google mendapati artikel Utusan Malaysia itu diterbitkan pada 26 Oktober 2021 (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej dalam siaran palsu (kiri) dan laporan asal Utusan Malaysia (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej dalam siaran palsu (kiri) dan laporan asal Utusan Malaysia (kanan)

Laporan 2021 itu menyatakan projek-projek pembinaan di negeri Perak ditangguhkan berikutan harga besi meningkat hampir dua kali ganda disebabkan permintaan tinggi untuk bahan besi. 

Kenaikan harga itu turut dilaporkan portal berita dalam talian tempatan Suara TV pada 27 Oktober 2021 (pautan arkib).

Harga besi meningkat sedikit pada April 2024 -- dua bulan sebelum penarikan subsidi diesel -- sebanyak 0.7 peratus daripada RM3,702.88 kepada RM3,730.46 per tan, lapor Bernama (pautan arkib).

Menurut Bank Dunia, kenaikan harga pada April itu "mencerminkan sentimen positif mengenai permintaan yang lebih kukuh di tengah-tengah kebimbangan gangguan bekalan untuk beberapa logam utama" (pautan arkib).

Institusi kewangan antarabangsa itu turut meramalkan bahawa akan berlaku lagi peningkatan harga logam asas pada 2025.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami