Cristiano Ronaldo tidak 'ingkar perintah UEFA mengenai gelang lengan LGBTQ' di Euro 2020
- Diterbitkan pada hari Selasa 06/08/2024 pukul 04:54
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: Sofia BARRAGAN, AFP Argentina, AFP Hong Kong
- Terjemahan dan adaptasi Celine SEO , Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Pada Euro 2020, Kesatuan Eropah mengenakan semua kapten pasukan kebangsaan untuk memakai lencana," tulis sebahagian kapsyen pada siaran Facebook pada 4 Julai 2024. "Tetapi Cristiano adalah satu-satunya pemimpin di Eropah yang tidak membawa tanda."
Siaran itu memaparkan gambar penjaga gol pasukan kebangsaan Jerman, Manuel Neuer, memakai gelang lengan kapten bercorakkan warna bendera LGBTQ dan Ronaldo memakai gelang lengan dengan perkataan "Respect".
Imej itu juga diedarkan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini.
Dakwaan sama juga telah beredar di India, Pakistan dan Indonesia. AFP juga menafikan dakwaan itu selepas ia diedarkan dalam siaran berbahasa Sepanyol.
Inisiatif gelang lengan dipanggil "OneLove" yang dinyatakan dalam dakwaan palsu itu telah dilancarkan pada 2020 oleh Persatuan Bola Sepak Belanda untuk mempromosikan kepelbagaian, keterangkuman dan hak asasi manusia dalam sukan bola sepak. Ia juga bertujuan untuk memerangi diskriminasi dan menyokong kesaksamaan untuk semua, menggunakan gelang lengan dengan logo berbentuk hati dan bendera pelangi LGBTQ (pautan arkib di sini dan di sini).
Kapten untuk pasukan Jerman Manuel Neueur, pasukan Belanda Gini Wijnaldum dan pasukan Inggeris Harry Kane turut memakai gelang lengan bercorak warna LGBTQ itu semasa kejohanan, seperti yang ditunjukkan di bawah:
Bagaimanapun, pemakaian gelang lengan itu tidak diwajibkan semasa kejohanan.
Pada Jun 2024, seorang jurucakap UEFA telah menjelaskan kepada AFP bahawa "tiada kewajipan" bagi seorang kapten untuk memakai gelang lengan tertentu.
"Kapten boleh memakai gelang lengan RESPECT atau meminta untuk memakai yang lain, untuk satu atau perlawanan lain," kata jurucakap itu. "Oleh itu, memakai gelang lengan pelangi dibenarkan jika seseorang kapten mahu, tetapi tidak wajib untuk berbuat demikian."
Peraturan kit bagi badan bola sepak Eropah menyatakan pihaknya "mungkin menyediakan gelang lengan kapten untuk perlawanan kompetitif tertentu bagi menyokong kempen UEFA". Tetapi tiada syarat untuk kapten pasukan memakai gelang lengan tertentu (pautan arkib).
Kempen kesedaran
Sebenarnya, semasa Euro 2020, Ronaldo telah memakai gelang lengan "Respect" yang merupakan sebahagian daripada kempen yang dilancarkan oleh UEFA semasa Euro 2008 untuk menggalakkan rasa hormat, toleransi dan permainan yang adil dalam bola sepak (pautan arkib).
Inisiatif ini memperjuangkan semangat menentang perkauman, diskriminasi dan tanggungjawab sosial (pautan arkib). Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, skopnya telah diperluaskan untuk merangkumi isu-isu lain seperti diskriminasi berdasarkan jantina dan orientasi seksual.
Selain Ronaldo, Giorgio Chiellini dari Itali, Simon Kjaer dari Denmark, David Alaba dari Austria, Eden Hazard dari Belgium, Luka Modric dari Croatia dan Robert Lewandowski dari Poland memakai gelang lengan yang serupa pada Euro 2020.
Beberapa kapten pasukan kebangsaan yang berbeza telah meneruskan kempen "Respect" semasa Euro 2020, termasuk Cristiano Ronaldo, Kylian Mbappé dari Perancis, kapten Romania Nicolae Stanciu, Álvaro Morata dari Sepanyol, Ilkay Gündogan dari Jerman dan Harry Kane dari England.
Hak-hak LGBTQ
UEFA menyiasat sama ada Neuer telah melanggar peraturannya berhubung kenyataan politik atau mesej di atas padang dengan memakai gelang lengan bercorak pelangi.
Gerak isyarat beliau dilihat secara meluas sebagai suatu kenyataan menyokong hak dan kepelbagaian LGBTQ. Bagaimanapun, peraturan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) mewajibkan pemain "tidak boleh memaparkan slogan-slogan berunsurkan politik, agama atau peribadi, kenyataan atau gambar-gambar" pada peralatan dan pakaian sukan mereka (pautan arkib).
Persatuan itu akhirnya membebaskan Neuer, dengan mengatakan gelang lengan pelangi melambangkan kepelbagaian dan bertujuan untuk "sebab yang baik" dan oleh itu tidak melanggar sebarang peraturan.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami