Ini video anak yatim Gaza makan bersama di Jordan, bukan di Indonesia

Selepas Indonesia menyatakan kesediaan memindahkan pesakit dari Gaza, sebuah video tersebar di media sosial dengan dakwaan salah bahawa ia menunjukkan anak-anak yatim yang tiba dari Palestin. Video itu sebenarnya dari kem pelarian di Jordan, menurut pekerja amal yang merakamnya. Seorang pegawai kementerian luar mengesahkan video itu tidak dirakam di Indonesia.

"Malaysia bilo lg nk ambik ank2 atim palestin. Alhamdulillah, lebih kurang 100 org lebih anak yatim korban perang Gaza telah tiba di indonesia," tulis sebahagian siaran Facebook yang berkongsi video itu pada 27 Jun 2024. 

Siaran itu menambah kanak-kanak itu "diselamatkan" dan dibawa ke "hotel empat bintang", di mana mereka tinggal selama tiga hari dan "dihiburkan" untuk membantu mereka menangani trauma mereka.

Video itu menunjukkan kanak-kanak sedang makan bersama seorang wanita yang berkata mereka sedang dijaga.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di Facebook, diambil pada 22 Jun 2024

Video itu juga dikongsi dalam siaran sama di Facebook di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini

Sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak di Gaza dianggarkan tidak ditemani atau terpisah daripada ibu bapa mereka, kata UNICEF pada Februari (pautan arkib).

Pada Jun, Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata negara majoriti Islam terbesar dunia itu bersedia untuk mengambil kanak-kanak dari wilayah Palestin (pautan arkib).

Pada 7 Oktober 2023, kumpulan militan Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, yang menurut angka rasmi terkini oleh pihak berkuasa Israel sebanyak 1,195 nyawa terkorban, kebanyakannya orang awam.

Israel bertindak balas dengan mengebom Gaza selama berbulan-bulan yang telah mengorbankan 39,090 nyawa, menurut kementerian kesihatan di wilayah Palestin yang dikuasai Hamas itu. 

Kem Irbid di Jordan

Nama akaun berbunyi "@KristinawatiHidajat" tertera pada video terbabit. Carian kata kunci di Instagram mendapati akaun itu milik Kristinawati Hidajat, seorang presiden platform pengumpulan dana Golden Future Indonesia (pautan arkib di sini dan di sini)

Beliau menyiarkan video itu di Instagram pada 21 Jun dan mengatakan bahawa video itu dirakam di kem pelarian Irbid di utara Jordan (pautan arkib).

Diterjemah dari Bahasa Indonesia, kapsyen Kristinawati berbunyi: "Ketika ini saya berada di Kem Palestin. Lebih tepat di kawasan Irbid di sempadan Syria dan Jordan.

"Anak-anak yatim dari Palestin ini semua bersemangat apabila kami menjamu mereka dengan makanan dan memberi mereka hadiah coklat, gula-gula, biskut dan mereka juga boleh memilih mainan yang mereka suka. Kami membelanjakan sekitar 45$ untuk setiap orang anak yatim ini. Ayuh, sesiapa yang mahu (untuk menderma)."

Kem Irbid telah ditubuhkan pada 1951 untuk melindungi pelarian Palestin yang melarikan diri semasa Perang Arab-Israel 1948 (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi siaran palsu (kiri) dan video daripada Instagram milik Kristinawati (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi siaran palsu (kiri) dan video daripada Instagram milik Kristinawati Hidajat (kanan)

Dalam siaran Facebook berasingan pada 25 Jun, Kristinawati menolak dakwaan bahawa video itu menunjukkan kanak-kanak Palestin dibawa ke Indonesia dan mereka telah menginap di sebuah hotel (pautan arkib).

Rakaman itu menunjukkan perkhemahan Irbid pada 19 Jun semasa hari Tasyrik, tulisnya. 

Menurut Kristinawati, pasukannya mengagihkan makanan dan hadiah hari raya kepada "ratusan anak-anak yatim Palestin".

Pengarah maklumat dan media kementerian luar Indonesia Hartyo Harkomoyo mengesahkan kepada AFP bahawa video itu tidak dirakam di Indonesia.

AFP telah menyemak fakta maklumat salah lain tentang konflik Israel-Palestin di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami