'Mitos': pakar sangkal larangan tidak berasas makanan tak boleh dimakan bersama durian

Para saintis makanan menolak dakwaan di siaran media sosial yang memberi amaran tentang mengambil makanan dan minuman tertentu selepas makan durian, dengan berkata mereka menyebarkan "mitos" yang belum dibuktikan secara saintifik. Siaran palsu yang serupa telah tersebar sejak 2022 dan muncul semula ketika kemuncak musim durian di negara ini pada Julai 2024.

"Durian season kena ambil tahu ya. 4 benda jangan makan lepas makan durian," bunyi kapsyen Instagram reel disiarkan pada 8 Julai 2024, yang ditonton lebih dua juta kali. 

"Durian tidak boleh makan bersama minuman berkarbonat seperti Coca-Cola; minuman yang ada kafein boleh menyebabkan kesan buruk kepada jantung," dakwa seorang lelaki dalam video itu secara tidak berasas. 

Dia kemudian secara salah berkata jika seseorang makan durian dengan susu, ia akan menyebabkan tekanan darah meningkat.

Lelaki itu turut membuat dakwaan keliru dengan melarang orang ramai agar tidak minum kopi bersama durian kerana, katanya, campuran itu akan menyebabkan jantung berdegup laju dan meningkatkan suhu badan. Makan durian bersama terung juga akan menyebabkan badan menjadi panas, katanya lagi. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di Instagram, diambil pada 7 Ogos 2024

Dakwaan itu muncul dalam talian ketika kemuncak musim durian, yang kebiasaan berlaku dari bulan Mei hingga Ogos dan menarik penduduk tempatan dan para pelancong untuk mencuba buah ini (pautan arkib).

Video yang sama telah dikongsi di halaman Facebook pengguna sama yang mempunyai lebih 360,000 orang pengikut dan meraih lebih daripada 1.2 juta tontonan.

Lelaki yang sama berkongsi dakwaan itu pada akaun TikToknya pada 2022. Seorang wanita berkongsi dakwaan serupa yang tidak berasas itu di TikTok pada tahun berikutnya. 

Beberapa pengguna meninggalkan komen yang menunjukkan mereka percaya bahawa campuran makanan disebut dalam video itu adalah berbahaya.

"Kalau begitu, jangan makan durian sebab ia tak bagus untuk kesihatan," tulis seorang pengguna.

"Baru tahu. Terima kasih," kata seorang lagi pengguna.

Tetapi larangan itu tidak berasas, kata pakar. AFP sebelum ini menafikan dakwaan salah yang sama mengenai makan durian dengan minuman cola.

'Mitos'

"Kebimbangan dan larangan ini semuanya adalah mitos yang sudah lama tertanam dalam minda," kata Fatimah Salim, pengarah Institut Atta-ur-Rahman untuk Penemuan Produk Semulajadi di Universiti Teknologi MARA (archived link).

Beliau memberitahu AFP bahawa memakan durian dengan makanan lain tidak akan menyebabkan sebarang penyakit terutamanya apabila diambil secara bersederhana. . 

"Tidak akan berlaku tindak balas kimia yang berbahaya dalam sistem penghadaman," jelas Fatimah. 

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa mereka yang menghidap penyakit kronik, seperti sakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis perlu mengehadkan kuantiti durian yang dimakan. 

Jelasnya, ini kerana durian tinggi dengan kandungan bahan kimia potassium yang akan mengganggu fungsi kontraksi otot jantung. 

Durian juga kaya dengan sukrosa dan glukosa yang akan menaikkan paras gula dalam darah, katanya. 

"Pesakit kencing manis yang kronik perlu berwaspada dengan jumlah pengambilan durian," kata Fatimah. 

Mohd Sabri Pak Dek dari Jabatan Sains Makanan Universiti Putra Malaysia juga memberitahu AFP bahawa "kenyataan tersebut masih belum dibuktikan secara saintifik dan tidak mempunyai asas yang kukuh" (pautan arkib).

"Kalau makan durian, walaupun tanpa susu, terung dan kopi, badan seseorang akan merasa panas kerana sebatian sulfur dalam durian," jelasnya. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami