Google tidak 'buang Palestin' dalam peta ditengah-tengah konflik Israel-Gaza
- Diterbitkan pada hari Selasa 13/08/2024 pukul 04:50
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Pakistan
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Palestine telah hilang daripada peta, tetapi Palestine tetap ada di hati kami," bunyi kapsyen Facebook yang disiarkan pada 5 Jun 2024.
Gambar pada siaran mengelirukan itu memaparkan tangkapan skrin hasil carian "Palestin" di Google.
Sebuah peta dalam hasil carian itu menonjolkan Israel, Lubnan dan Jordan serta garis putus-putus menandakan wilayah Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
Menurut Google, garisan putus-putus berwarna kelabu itu menandakan sempadan yang dalam pertikaian (pautan arkib).
Siaran palsu yang serupa turut dikongsi di Facebook di sini, di sini dan di X, masing-masing disiarkan sejak 2023 dan 2019.
Dakwaan itu -- yang pertama kali disangkal oleh AFP pada Julai 2020 -- muncul semula apabila konflik di Gaza menghidupkan semula desakan seluruh dunia agar rakyat Palestin diberi hak untuk membina negara sendiri.
Majoriti negara anggota PBB mengiktiraf negara Palestin, termasuk kebanyakan negara Timur Tengah, Afrika, Amerika Latin dan Asia, tetapi bukan Amerika Syarikat, Kanada, majoriti Eropah barat, Australia, Jepun atau Korea Selatan.
Konflik itu dicetuskan oleh serangan kumpulan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel selatan pada 7 Oktober 2023 yang mengakibatkan kematian 1,198 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel.
Serangan balas Israel telah membunuh 39,790 orang di Gaza, juga kebanyakan orang awam, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang diperintah Hamas itu.
Tiada perubahan
Jurucakap Google memberitahu AFP dalam e-mel pada 9 Julai 2024 bahawa ia tidak mengubah cara "Palestin" digambarkan di Peta Google.
Mereka berkata carian untuk "Palestin" di Peta Google akan menunjukkan peta kawasan itu dengan label untuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Walau bagaimanapun, memandangkan tiada konsensus yang jelas di seluruh badan antarabangsa di wilayahnya, Google tidak dapat menunjukkan dengan pasti dan labelkan sempadannya buat masa ini.
Jelasnya, Google komited untuk memaparkan secara objektif wilayah yang dipertikaikan pada petanya, yang dilakukannya dengan merujuk data daripada pihak berkuasa kartografi global dan memaparkan sebarang sempadan yang dipertikaikan sebagai garis putus-putus berwarna kelabu.
Christine Leuenberger, seorang pensyarah kanan di Universiti Cornell yang pakar dalam sejarah dan sosiologi kartografi di Israel dan wilayah Palestin, memberitahu AFP dalam e-mel pada 21 Julai 2020 bahawa "perkataan Palestin tidak akan pernah ada pada peta ini -- paling banyak istilah Tebing Barat dan Gaza".
"Pada peta, nama 'Palestin' biasanya dikaitkan dengan Palestin yang bersejarah sebelum penubuhan negara Israel dan tidak digunakan dalam saluran berita arus perdana di Barat," katanya.
"Biasanya wilayah Palestin ditunjukkan melalui batasan garis persempadanan yang terputus, yang bermaksud wilayah yang dipertikaikan dan wilayah (Gaza dan Tebing Barat) kekal tanpa nama. Sebagai alternatif, wilayah tersebut diwakili dengan garis persempadanan yang terputus dan juga dilabelkan 'West Bank' dan 'Gaza'."
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami