Siaran salah nyata video stesen penyiaran China sebagai 'promosi rasmi pelancongan Malaysia' di Melaka

Video stesen penyiaran China yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China telah diedarkan semula dalam talian bersama dakwaan yang mengelirukan bahawa ianya adalah promosi oleh kerajaan Malaysia untuk menarik pelancong ke Melaka. Bagaimanapun, rakaman rasmi jabatan pelancongan negeri itu memaparkan adegan berbeza daripada apa yang ditunjukkan dalam siaran mengelirukan itu.

"Video promosi melawat Melaka tapi nampak macam video melawat Guangzhou je," bunyi kapsyen siaran X pada 31 Julai 2024, yang telah diulang siar 1,000 kali. 

Video yang turut disertakan dengan siaran itu berdurasi dua minit, 20 saat dan memaparkan kapsyen dalam bahasa Cina ringkas bersama logo platform media sosial China, Xiaohongshu di penjuru kiri sebelah atas. 

Video terbabit menunjukkan sekumpulan penari berpakaian tradisional menyanyi dan menari berlatar belakangkan pelbagai mercu tanda bersejarah di Melaka, yang kebanyakannya kelihatan berketurunan Cina.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan X, diambil pada 23 Ogos 2024

Pentadbiran terkini Malaysia dilihat semakin rapat dengan China, terutamanya selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pada Jun bahawa Malaysia mahu menyertai kumpulan negara-negara membangun BRICS (pautan arkib).

Tetapi hubungan akrab itu juga telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan nasionalis Melayu tentang kebangkitan semula identiti Cina di negara ini (pautan arkib).

Siaran mengelirukan yang sama di X di sini, di sini, di sini dan di sini berkongsi video serupa bersama-sama dakwaan kebimbangan bahawa orang Melayu mungkin kehilangan hak mereka di negara Asia Tenggara itu. 

Bagaimanapun, klip itu telah dikongsi dalam konteks yang mengelirukan -- ia dihasilkan oleh syarikat penyiaran negara China untuk menandakan 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Klip penyiar China

Carian kata kunci di Xiaohongshu menemui klip yang sama yang dikongsi oleh sebuah agensi pelancongan Malaysia, Golden Point Leisure & MICE Holiday pada 19 Julai 2024 (pautan arkib).

Kapsyen berbahasa Cina ringkasnya menyatakan lagu itu adalah kolaborasi antara penyanyi Malaysia Ah Niu dan penyanyi Cina Huang Ying, yang menyanyikan gabungan lagu rakyat berbahasa Melayu "Rasa Sayang" dan lagu rakyat Cina "Bunga Melati" untuk menandakan 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara itu. 

Ia juga menyatakan sumber video itu ialah "Kongres Lagu Rakyat Baru".

Carian kata kunci lanjut di Google mendapati program itu diterbitkan oleh penyiar negara China, Guangxi TV sebagai sebahagian daripada rancangan selama sejam pada 6 Julai 2024 untuk meraikan hubungan China-Malaysia (pautan arkib).

Klip itu boleh dilihat menerusi siaran penuh pada minit ke 38 dan 53 saat, yang turut menunjukkan kedua-dua penyanyi itu meneroka negeri bersejarah Melaka. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video yang digunakan dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan rakaman daripada Guangxi TV (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi video yang digunakan dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan rakaman daripada Guangxi TV (kanan)

Jabatan pelancongan rasmi negeri, Tourism Melaka, turut berkongsi versi lebih panjang video muzikal itu di laman Facebook rasminya pada 6 Julai, menyatakan rakaman rasmi itu dikeluarkan di Guangxi TV dengan harapan dapat meningkatkan jumlah pelancong dari China, terutamanya dari wilayah Guangxi (pautan arkib).

Video promosi rasmi "Visit Melaka" telah diterbitkan di YouTube oleh jabatan pelancongan itu pada 20 Julai 2023 dan menunjukkan pelbagai pengaruh budaya di negeri itu (pautan arkib):

Image
Tangkapan skrin video promosi rasmi Visit Melaka 2024, diambil pada 27 Ogos 2024

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami