Siaran palsu tentang kandungan vaksin Covid AstraZeneca ini tiada kaitan dengan penyakit cacar monyet
- Diterbitkan pada hari Rabu 11/09/2024 pukul 03:56
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Ana PRIETO, AFP Brazil, AFP Argentina, AFP Greece, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Ara Eugenio , Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Dalam sinovac dipanggil vero cell manakala dlm astrazeneca dikenali sebagai chimpanzee adenovirus seperti yang tertulis dalam gambar dibawah," tulis sebahagian kapsyen Facebook yang disiar pada 19 Ogos 2024.
Siaran terbabit disertakan bersama dua tangkapan skrin menunjukkan maklumat vaksin pada sijil digital dengan "sel vero" dibulatkan dan penjelasan dalam bahasa Inggeris mengenai asal usul jenis sel itu.
Ia turut memasukkan satu imej menunjukkan senarai ramuan untuk vaksin Covid-19 AstraZeneca, dengan vektor "adenovirus cimpanzi" dibulatkan.
"Mpox ni bukan virus dari luar. Tapi virus dari dalam badan korang sendiri yang korang dah ambik dulu."
Dahulunya dikenali sebagai cacar monyet atau monkeypox, mpox adalah sejenis penyakit virus disebarkan daripada haiwan kepada manusia yang juga boleh berjangkit dari manusia ke manusia, menyebabkan demam, sakit otot dan lepuhan kulit.
Lonjakan semula dan pengesanan strain baharu di Afrika Tengah, yang digelar Clade 1b, mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengisytiharkan virus itu sebagai kecemasan kesihatan awam global pada tahap amaran antarabangsa tertinggi pada 14 Ogos (pautan arkib).
Siaran serupa yang mengaitkan vaksin AstraZeneca Covid-19 dengan virus mpox juga telah dikongsi di Facebook di sini, di sini dan di sini.
Siaran sama juga dikongsi di negara lain seperti di Filipina, Australia, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Brazil.
AFP sebelum ini telah menafikan dakwaan palsu serupa yang telah diedarkan pada 2022.
Dakwaan itu "nampaknya berpunca daripada idea bahawa cimpanzi secara meluas dirujuk sebagai monyet, tetapi ini sebenarnya adalah khabar angin yang tanpa kesedaran dan tidak berasas", Profesor Yoo Jin-hong, ahli epidemiologi di Universiti Katolik Korea, memberitahu AFP ketika itu (pautan arkib).
Terdahulu, penyakit cacar itu diberi nama monkeypox kerana ia pertama kali ditemui dalam sekumpulan kera pada 1958 yang sedang dikaji untuk tujuan penyelidikan tetapi saintis mengatakan tikus adalah kemungkinan punca semula jadi.
Kes pertama jangkitan melibatkan manusia dilaporkan di Republik Demokratik Congo pada 1970, sebelum vaksin Covid wujud (pautan arkib).
'Mustahil secara biologi'
Jose Luiz Modena, seorang profesor virologi di Universiti Campinas Negeri Brazil, memberitahu AFP pada 21 Ogos 2024 bahawa mpox dan adenovirus cimpanzi yang digunakan dalam vaksin AstraZeneca mempunyai "asal usul, sejarah evolusi, kerumitan zarah virus dan mekanisme replikasi yang sama sekali berbeza".
Oleh itu, jelasnya, "secara biologi adalah mustahil" untuk vaksin tersebut menyebabkan mpox.
Dalam pada itu, Giliane Trindade, seorang profesor mikrobiologi dan penyelidik di Universiti Persekutuan Minas Gerais di Brazil memberitahu AFP komponen adenovirus cimpanzi dalam vaksin AstraZeneca tidak boleh bermutasi menjadi virus yang menyebabkan mpox.
"Mutasi tidak mengubah satu virus menjadi virus lain. Mutasi boleh membawa kepada perbezaan dalam virus yang sama, tetapi tidak mengubahnya menjadi virus lain yang sedia ada di planet ini," katanya pada 19 Ogos.
Selain itu, komponen adenovirus vaksin tidak menyebabkan penyakit terhadap manusia, menurut Universiti Oxford yang membangunkan vaksin itu (pautan arkib).
"Ia telah diubah secara genetik sehingga mustahil untuk ia membiak dalam (badan) manusia," menurut laman maklumat vaksin itu.
Adenovirus yang diubah suai telah digunakan sebagai vektor vaksin untuk mengangkut arahan genetik kepada badan bagi mencetuskan pengeluaran protein spike yang serupa dengan virus yang menyebabkan Covid-19. Ini kemudiannya mendorong tindak balas imun supaya badan boleh melawan jangkitan sebenar.
Vaksin Covid-19 sering disasarkan dengan maklumat salah, walaupun pihak berkuasa kesihatan berkata berbilion-bilion orang di seluruh dunia telah selamat divaksinasi untuk melawan penyakit itu.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami