Ini video gempa di Jepun pada hari tahun baharu, bukan pada Ogos 2024
- Diterbitkan pada hari Jumaat 30/08/2024 pukul 05:18
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Pasika KHERNAMNUOY, AFP Thailand
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Gempa berkekuatan magnitud 7.1 menggegarkan Kochi, Wilayah Miyazaki, Jepun, pada Khamis 8 Ogos hari ini," bunyi sebahagian kapsyen pada siaran Facebook disiar pada Ogos 9.
Video yang dikongsi oleh laman Facebook yang mempunyai lebih 400,000 orang pengikut itu tertera logo video berita CNN Indonesia dan memberi kredit kepada agensi berita itu dengan teks pada video yang menyatakan dakwaan sama.
Ia menunjukkan orang awam tergesa-gesa mencari perlindungan dibawah meja di sebuah pusat boling manakala monitor dan rak bola boling dilihat bergegar di sekeliling mereka.
Siaran itu muncul dalam talian sehari selepas gempa bumi kuat 7.1 magnitud melanda wilayah Miyazaki di barat daya Jepun pada 8 Ogos 2024. Tiada kerosakan besar dilaporkan dan hanya tsunami kecil melanda pantai (pautan arkib).
Pada 15 Ogos, agensi cuaca negara itu telah menarik balik amaran untuk "gempa mega" yang diramalkan berkemungkinan besar berlaku susulan gegaran itu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang cedera (pautan arkib).
Video itu telah ditonton lebih daripada 6,000 kali selepas turut dikongsi di Facebook ini dan ini.
Video sama juga telah dikongsi bersama dakwaan serupa dalam beberapa bahasa lain termasuk Korea, Filipina, Burma dan Cina.
Tetapi rakaman itu mula diedarkan dalam talian pada Januari 2024 dan menunjukkan kejadian gempa bumi yang berasingan di Ishikawa, sebuah wilayah yang terletak di tengah Jepun.
Gempa 1 Januari
Carian imej terbalik menggunakan imej kecil pada video itu bersama-sama dengan carian kata kunci di Google menemui rakaman lebih panjang sama seperti yang diterbitkan di laman web Getty Images (pautan arkib).
Sebahagian kapsyen berbunyi: "Jepun: Orang Berlindung Di Bawah Meja Di Lorong Boling Di Ishikawa Semasa Gempa M7.5. Gempa bumi kuat melanda Semenanjung Noto di Wilayah Ishikawa pada 1 Januari."
Video tersebut telah dikreditkan kepada Spectee, yang mendakwa sebagai penyedia perkhidmatan pengagregatan UGC yang pakar dalam komunikasi bencana masa nyata di Jepun (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin siaran Facebook (kiri) dan video yang diterbitkan oleh Spectee (kanan):
Media antarabangsa seperti CNN dan Al Jazeera turut memaparkan video yang sama dalam laporan mereka tentang gempa bumi yang melanda Jepun pada 1 Januari (pautan yang diarkibkan di sini dan di sini).
AFP sebelum ini telah menafikan maklumat salah berkaitan gempa bumi Jepun pada 2024 di sini, di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami