Pakar sangkal dakwaan kewujudan 'gua kosong' di bawah Kuala Lumpur

Pakar geologi telah menyangkal kewujudan "gua kosong yang amat besar" di bawah ibu negara, selepas beberapa siaran media sosial mendakwa Kuala Lumpur dibina di atas "atap gua raksasa". Siaran itu tular berikutan laporan seorang pelancong wanita dari India tertimbus dalam kejadian tanah jerlus pada 23 Ogos 2024 di Jalan Masjid India. Namun, satu hantaran di TikTok jelas menyatakan ia adalah "berita hiburan dari imaginasi AI". 

"Kuala Lumpur, 25 Ogos 2024 - Dalam satu penemuan yang mengejutkan dunia geologi, Dr. Sarah Jamal, seorang ahli geologi terkemuka dari Universiti Malaya, telah mendedahkan bahawa kawasan di bawah bandaraya Kuala Lumpur adalah sebuah gua kosong yang amat besar," menurut satu hantaran di Facebook pada 26 Ogos. 

"Menurut kajian mendalam yang dilakukan oleh Dr. Sarah dan pasukannya, struktur geologi unik ini telah terbentuk berjuta-juta tahun yang lalu, menjadikan Kuala Lumpur seolah-olah sebuah bandar yang dibina di atas 'atap' sebuah gua raksasa."

Hantaran itu turut mendakwa bahawa gua itu terbentuk akibat hakisan batu kapur oleh air bawah tanah. Ia juga mempersoalkan kestabilan bandaraya Kuala Lumpur.

Imej yang disertakan menunjukkan Kuala Lumpur dibina di atas "gua kosong yang amat besar", dan juga memaparkan bangunan pencakar langit ikonik seperti Menara Berkembar Petronas dan Menara KL.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil 25 September, 2024

Dakwaan yang tular selepas kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India diikuti satu lagi kejadian tanah jerlus di lokasi yang sama lima hari kemudian. Susulan itu, pihak berkuasa telah menutup jalan tersebut dan menjalankan audit integriti sistem kumbahan bawah tanah di kawasan tersebut (pautan arkib).

Manakala operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah jerlus dihentikan selepas sembilan hari setelah mengambil kira keselamatan anggota yang terlibat dalam pencarian (pautan arkib).

Hantaran yang mendakwa kewujudan gua tersebut juga tular di FacebookInstagram and TikTok.

Namun, satu hantaran TikTok dengan dakwaan yang ditulis dalam format "berita" berkenaan penemuan gua tersebut dilabelkan sebagai "berita hiburan dari imaginasi AI".

Carian kata kunci di Google dan carian imej terbalik membawa kepada satu hantaran Facebook daripada Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Malaya yang menafikan kewujudan "Dr Sarah Jamal". Universiti itu turut berkata individu bernama "Dr Sarah Jamal" juga tidak berdaftar dengan Lembaga Ahli Geologi Malaysia (pautan arkib di sini dan di sini). 

"Kandungan artikel ini adalah tidak berdasarkan fakta dan adalah palsu," kata universiti tersebut dalam hantaran itu pada Ogos 26.

Image
Tangkapan skrin hantaran Facebook Jabatan Geologi Universiti Malaya, diambil pada 24 September 2024

'Mustahil'

"Mustahil Kuala Lumpur dibina di atas rongga kosong gua yang begitu besar," kata Nor Shahidah Mohd Nazer, pakar geologi dari Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia pada 18 September (pautan arkib). 

Beliau berkata tanah jerlus yang terbentuk bukan dari hakisan batu kapur selalunya berlaku setempat dan pada skala yang kecil. Beliau juga menggesa orang ramai kekal tenang. 

Goh Thian Lai, juga pakar geologi dari Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia berkata tanah jerlus di kawasan Jalan Masjid India berlaku akibat aktiviti manusia dan bukan fenomena alam (pautan arkib). 

Beliau memberitahu AFP pada 23 September bahawa tanah jerlus itu mungkin disebabkan kebocoran paip kumbahan bawah tanah yang menyebabkan bahan timbus di bawah laluan pejalan kaki dibawa oleh air yang mengalir dalam paip kumbahan. 

"Fenomena ini mewujudkan satu rongga kosong di bawah laluan pejalan kaki," kata beliau. 

Dalam satu kenyataan pada 7 September, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia menyangkal dakwaan  Kuala Lumpur tidak stabil (pautan arkib). 

Dari segi geologi, batuan dasar di Kuala Lumpur didasari oleh sejumlah anggaran 30 peratus batu kapur dan 70 peratus terdiri daripada batuan granit, manakala kawasan tanah jerlus didasari oleh batuan syis, filit dan kuarzit, menurut kenyataan itu. 

"Kami menasihatkan orang awam agar tidak mempercayai sebarang spekulasi yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai keadaan keselamatan bawah permukaan Kuala Lumpur serta perlu mendapatkan maklumat yang sahih dari pihak berautoriti."

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami