Ini gambar telefon pintar meletup terbakar di Mesir, bukan letupan alat komunikasi di Lubnan

Gambar telefon pintar rosak yang terlibat dalam satu letupan di Mesir pada tahun 2021 telah dikongsi dalam siaran palsu yang mendakwa ia meletup di Lubnan. Imej itu dikongsi semula selepas serangan alat komunikasi Hizbullah di Lubnan pada bulan September 2024. 

"Sebuah iPhone turut dibom di Lubnan," bunyi siaran Facebook yang dikongsi pada 19 September. 

Ia memaparkan gambar telefon pintar yang rosak dengan komponen elektronik dalaman terdedah.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di Facebook, diambil pada 7 Oktober 2024

Gambar itu turut dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebook dan TikTok. AFP menafikan dakwaan sama selepas ia muncul dalam siaran berbahasa Arab.

Siaran itu muncul selepas serangan letupan alat peranti Hizbullah pada 17 dan 18 September mengorbankan 39 nyawa dan mencederakan hampir 3,000 orang (pautan arkib).

Serangan itu secara meluas dipersalahkan ke atas Israel yang enggan mengulas tentang dakwaan itu.

Hizbullah telah berbalas tembakan rentas sempadan hampir setiap hari dengan Israel sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas selatan Israel yang mencetuskan konflik di Semenanjung Gaza (pautan arkib).

Serangan itu mengakibatkan kematian seramai 1,205 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel yang termasuk tebusan terbunuh dalam tahanan.

Daripada 251 orang tebusan, 97 orang masih ditahan di Gaza, termasuk 37 orang -- menurut tentera Israel -- telah meninggal dunia. 

Serangan balas Israel telah membunuh 41,870 orang di Gaza, kebanyakan orang awam, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang diperintah Hamas itu. 

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan angka itu sebagai boleh dipercayai.

Namun, gambar dalam siaran salah terbabit telah diedarkan dalam talian sejak 2021.

Gambar dari Mesir

Carian imej terbalik di Google menemui gambar asal yang diterbitkan oleh akhbar Mesir, Cairo 24 pada 19 Mac 2021, bersama gambar-gambar peranti lain yang terbakar (pautan arkib).

Menurut laporan itu, sebuah iPhone meletup ketika sedang dicas dan menyebabkan kebakaran di kawasan perumahan di bahagian selatan ibu negara Mesir, Kaherah. Seorang kanak-kanak terjatuh ketika melarikan diri dari tempat kejadian sehingga menyebabkan lengannya patah, kata laporan itu. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi siaran palsu (kiri) dan gambar asal yang diterbitkan oleh Cairo 24 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi siaran palsu (kiri) dan gambar asal yang diterbitkan oleh Cairo 24 (kanan)

Pemilik telefon itu memberitahu Cairo 24 bahawa dia membuat laporan polis dan memberikan lapan gambar iPhone yang rosak termasuk pakej asal telefon itu, "menggambarkan kejadian itu dan menuduh syarikat iPhone itu sebagai cuai, menegaskan bahawa telefon itu berusia tidak lebih dari sebulan".

Kejadian yang sama dilaporkan oleh media Arab Elnabaa (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami