Ini gambar pemasangan karya di Sepanyol, bukan 'ketam laut gergasi' muncul di pantai Malaysia
- Diterbitkan pada hari Jumaat 27/09/2024 pukul 05:26
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Petanda apa ni!! Dua ekor ketam laut dalam muncul dengan tiba² di jeti batu bur... malaysia nakk sunami," bunyi kapsyen Facebook disiar pada 24 Ogos 2024.
Siaran itu disertakan dua gambar yang menunjukkan dua ekor ketam gergasi di tepi pantai berhampiran dinding konkrit.
Gambar dengan dakwaan sama juga diedarkan di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini selain turut dikongsi di India dan Indonesia.
Namun, gambar itu menunjukkan pemasangan karya di Sepanyol.
Pemasangan karya di Sepanyol
Carian imej terbalik di Google menemui video yang dimuat naik ke TikTok pada 23 Jun 2024 oleh seorang pengguna @felixcebrian0 (pautan arkib).
Video itu kemudiannya disiarkan di portal berita MSN dengan kapsyen: "Pada 23 Jun 2024, berhampiran pantai di Chipiona, Sepanyol, satu adegan mengejutkan berlaku ketika dua ketam besar menunggu giliran mereka untuk diangkat oleh kren. Menerusi video dikongsi oleh @felixcebrian0, krustasea gergasi ini tegak berdiri, menarik perhatian penonton dengan saiznya yang mengagumkan" (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan imej palsu (kiri) dan tangkapan skrin video tulen di TikTok (kanan):
Terdahulu, akaun TikTok yang sama telah menyiarkan video lain yang menunjukkan orang mengendalikan replika ketam itu menggunakan kren (pautan arkib).
Gambar pemasangan karya itu turut dimuat naik ke laman Facebook majlis perbandaran Chipiona pada 22 Jun 2024 (pautan arkib).
Menurut siaran itu, karya seni itu direka oleh artis Sepanyol Alfredo Zarazaga (pautan arkib).
Menerusi laman webnya, Zarazaga berkata arca gergasinya "ketam di tepi pantai" memerlukan 4,300 kilogram (9,480 paun) besi kitar semula untuk dihasilkan dan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melindungi kepelbagaian marin (pautan arkib).
Carian kata kunci di Google Maps menggunakan lokasi Chipiona dan istilah "cangrejo" dan "gigante" -- bahasa Sepanyol untuk "ketam" dan "gergasi" -- menemui beberapa gambar sepadan dengan lokasi yang ditandakan pada bandar tepi laut di wilayah Cadiz, Sepanyol (pautan arkib) .
Di bawah ialah perbandingan salah satu imej siaran palsu (kiri) dan imej dari Google Maps (kanan):
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami